Ketahui 6 Cara Hilangkan Sakit Tekak Dengan Cepat & Berkesan

Tekak terasa perit? Nak telan liur pun sakitnya pun kepalang. Apalagi nak telan makanan, hilang selera terus!

Sakit tekak biasanya boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah:

  • Selesema
  • Jangkitan pada bahagian tekak, 
  • Tonsillitis, 
  • Diphtheria (jangkitan bakteria serius yang boleh menjejaskan membran mukus pada tekak dan hidung), 
  • Croup (masalah pernafasan kanak-kanak yang disebabkan oleh pembengkakan laring (larynx), trakea, dan bronkitis) 
  • Virus herpes simplex
  • Esophageal candidiasis (sejenis jangkitan yis yang kerap berlaku dalam kalangan individu yang memiliki HIV)
  • Menelan makanan atau trauma mekanikal (makan makanan dalam cebisan yang besar, makanan agak keras dan makanan yang bergerigi seperti biskut atau kerepek)
  • GERD

Setiap rawatan adalah berdasarkan punca dan faktor yang menyebabkan sakit tekak berlaku bagi memastikan rawatan yang diberikan berkesan dengan baik. Okay tunggu apa lagi, mari baca cara-cara hilangkan sakit tekak di bawah.

6 Cara Hilangkan Sakit Tekak

Cara Hilangkan Sakit Tekak
  1. Makan Antibiotik 

Sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan bakteria boleh disembuhkan dengan memakan antibiotik. Setelah mendapat rawatan di hospital/klinik, doktor akan memberikan pil antibiotik. Anda perlu habiskan antibiotik tersebut walaupun sudah sembuh.

  1. Acetaminophen Atau Ubat Pelega Sakit Ringan 

Sakit tekak juga boleh disebabkan oleh jangkitan virus yang biasanya datang sekali bersama demam, selesema dan batuk. Ia biasanya akan sembuh dalam masa 7 hari dan tidak memerlukan rawatan perubatan.

Walaubagaimanapun, untuk meredakan demam dan keradangan tekak yang berlaku, doktor biasanya akan memberikan Acetaminophen atau pelega kesakitan ringan bagi membantu kesakitan dan demam yang dialami. 

Untuk kanak-kanak pula, sila bawa terus ke bahagian kecemasan untuk mendapatkan rawatan segera. 

  1. Semburan Hidung Zink (Zinc Nasal Spray)

Anda juga boleh cuba cara ini untuk menghilangkan sakit tekak. Namun begitu, kanak-kanak tidak boleh menggunakan kaedah ini kerana dikhuatiri boleh menyebabkan mudarat yang membawa maut. 

  1. Remedi Tradisional 

Selain mencuba rawatan moden, anda juga boleh ikhtiar menggunakan remedi tradisional seperti yang disenaraikan dibawah. 

  • Minum banyak air suam: Dengan meminum banyak air, tubuh anda akan terhidrat dengan baik sekaligus membantu mengelakkan tekak anda kering yang boleh menyebabkan tekak menjadi semakin sakit. 

Tanpa air yang cukup, badan tidak boleh menghasilkan jumlah air liur dan mukus yang cukup di dalam tekak. Apabila badan anda kehilangan pelincir semula jadi tersebut, ia akan menyebabkan simptom sakit tekak anda lebih menyakitkan.

  • Minum Air Asam: Ambil sekeping asam, dan larutkan bersama air suam. Minum ketika air masih suam-suam. Ini akan membantu melegakan keradangan pada tekak. 
  • Kumur dengan air garam atau cuka epal: Dengan berkumur air garam atau cuka epal, ia boleh membantu menarik keluar lendiran pada tisu yang sedang mengalami radang dan kebengkakan akibat proses patologi sakit tekak. Maka, dengan itu ia mampu memberikan kelegaan sakit tekak yang anda alami. 

Caranya mudah sahaja, ambil garam dan larutkan bersama air. Kumur-kumur menggunakan air larutan tersebut selama beberapa saat. Lakukan secara berulang selama beberapa kali dalam sehari sehingga mendapatkan kesan yang optimum.

  • Makan Madu: Pengambilan madu juga dipercayai sangat berkesan dalam merawat sakit tekak. Anda juga boleh campurkan satu sudu madu bersama dengan air teh bagi mengekalkan tahap hidrasi anda pada paras optimum. 

Tambahan pula, sesetengah teh seperti teh hijau turut mempunyai sifat antibakteria, kaya dengan antioksidan serta mampu membantu menurunkan tahap radang di dalam tekak.

Terdapat kajian yang mendapati bahawa madu bukan sahaja boleh menghilangkan sakit tekak, malah mampu bertindak sebagai agen yang mengawal simptom batuk. 

  1. Ambil Lozeng/ Gula-gula (tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah 5 tahun): 

Terdapat banyak jenama dan produk yang dikeluarkan untuk membantu melegakan sakit tekak seperti lozeng dan gula-gula pedas yang membantu untuk mengurangkan sakit tekak. Anda boleh mendapatkannya dengan mudah di farmasi atau kedai-kedai yang berkaitan. 

Selalunya, lozeng atau gula-gula pedas ini mengandungi menthol; iaitu sejenis bahan yang boleh membantu membuatkan tekak anda berasa kebas sekaligus mengurangkan kesakitan dan keradangan tekak. 

Disamping itu, anda juga digalakkan untuk menghisap lozeng atau gula-gula dengan lebih lama. Ini kerana ia akan membantu meningkatkan penghasilan air liur untuk memastikan tekak anda tidak terlalu kering.

NOTA: Elakkan daripada memberikan lozeng atau gula-gula kepada kanak-kanak. Mereka boleh tercekik.

  1. Jauhi Bahan Penyebab Alahan, Bahan Kimia, Dan Asap Rokok: 

Sekiranya anda merokok, sila berhenti merokok ketika sakit tekak. Berhenti sepenuhnya juga amat disarankan untuk kesihatan anda. 

Manakala, sekiranya anda tidak merokok, jauhkan diri daripada persekitaran asap rokok atau mana-mana sumber asap. Asap boleh menyebabkan alahan lalu menyebabkan keradangan pada tekak.

Selain itu, jauhi juga penyebab alahan dan bahan kimia yang boleh menjadi punca sakit tekak anda semakin teruk. 

Kesimpulan 

Sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk melegakan sakit tekak yang anda boleh cuba. Walaupun sakit tekak adalah sesuatu perkara yang normal berlaku, namun sila dapatkan rawatan daripada pakar perubatan sekiranya ia berpanjangan kerana boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk jika tidak dirawat dengan segera.

Sumber: hellodoktor.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161