Ketahui Waktu Subur Selepas Haid Agar Mudah Hamil
Menantikan kehadiran permata hati adalah suatu perkara yang indah. Namun, ia tidak semudah yang disangkakan. Tidak semua pasangan direzekikan zuriat dalam waktu yang diinginkan.
Berikutan itu, antara nasihat yang sering diberikan oleh pakar adalah untuk berusaha bersama pasangan semasa waktu subur. Oleh itu, mengetahui waktu subur selepas haid adalah satu perkara yang signifikan meningkatkan peluang anda untuk hamil.
Okay, teruskan membaca bagi mengetahui mengenai waktu subur selepas haid seperti yang dirungkaikan di bawah.
Waktu Subur Selepas Haid
Waktu subur adalah waktu terbaik untuk melakukan hubungan suami isteri. Hal ini kerana, dalam tempoh tersebut telur dilepaskan ke tiub fallopian yang menyambungkan ovari ke rahim.
Sekiranya terdapat sperma yang berjaya mensenyawakan telur tersebut maka terjadilah kehamilan. Sperma akan mempunyai peluang yang tinggi untuk disenyawakan di dalam rahim wanita pada waktu tersebut.
Hari yang paling subur adalah 3 hari menjelang ovulasi dan hari subur itu sendiri. Oleh itu, hubungan kelamin terbaik dilakukan pada waktu subur wanita.
Cara Kira Waktu Subur
Kebiasaannya, kitaran haid yang normal memakan masa sekitar 28 ke 30 hari dan hari mula anda datang bulan dikira sebagai hari pertama. Waktu subur wanita bagi kitaran haid 28 hari yang normal jatuh pada hari ke-13 hingga ke-15 dari hari pertama haid.
Bagaimana kalau kitaran haid tidak tetap?
Sekiranya haid anda datang tidak tetap, anda boleh rujuk beberapa tanda fizikal yang disenaraikan berikut untuk membantu mengetahui waktu subur anda. Antaranya ialah:-
- Peningkatan suhu tubuh (selepas bangun tidur)
- Lendiran pada bibir rahim
- Rasa sakit pada bahagian perut/belakang
- Perasaan ghairah (libido)
- Peningkatan deria bau (lebih berselera atau sebaliknya)
Selain itu, anda juga boleh menggunakan kit ramalan ovulasi di rumah. Ia berfungsi dengan mengesan LH (hormon luteinizing). Hormon ini akan meningkat 1 ke 2 hari sebelum proses ovulasi berlaku. Dengan itu, alat ini dapat membantu anda untuk mengetahui apabila waktu subur menghampiri, tetapi ia tidak dapat mengesan ovulasi saat ia berlaku.
Anda juga boleh menggunakan kit ujian progesteron. Kit ini amat sesuai digunakan oleh wanita yang mengalami haid yang tidak teratur, seperti masalah PCOS. Ia berfungsi dengan mengesan progesteron (hormon yang dikeluarkan tepat selepas ovulasi). Oleh itu anda boleh mengetahui sama ada anda mengalami ovulasi ataupun sebaliknya
Walau bagaimanapun, untuk memudahkan proses pengiraan waktu subur, anda boleh gunakan kalkulator ovulasi secara online. Apa yang penting, anda perlu tahu tarikh pertama kitaran haid terakhir anda dan berapa hari secara puratanya kitaran anda berlaku (kebiasaannya di antara 20 hingga 45 hari).
Kesimpulan
Jangan pernah berputus asa untuk mencuba. Catat tarikh awal dan akhir anda datang setiap period untuk mengira waktu subur dengan mudah. Anda juga perlu sentiasa menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan sekiranya perlu.
Sumber: https://thezuriat.com/, hellodoktor.com