Sedapnya minum air kelapa pada waktu panas! Namun, tahukah anda, ada banyak khasiat air kelapa terhadap kesihatan anda?
Air kelapa bukan sahaja dapat melegakan kehausan. Ia juga mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang sukar untuk kita dapati daripada diet harian. Potassium, sodium dan magnesium juga sangat penting untuk kesihatan kita.
Jika anda menyukai air kelapa, kami ada berita baik untuk anda! Jom lihat apakah kebaikan serta khasiat air kelapa untuk kesihatan kita.
6 Khasiat air kelapa untuk kesihatan
1. Dapat membantu mengelakkan dehidrasi
Air kelapa mempunyai keupayaan yang sama dengan minuman sukan atau isotonik. Walau bagaimanapun, tidak seperti air kelapa, minuman sukan mengandungi banyak gula dan perasa tambahan.
Malah, kandungan elektrolit seperti potassium, sodium dan magnesium di dalam air kelapa membuatkan minuman ini setara dengan minuman isotonik yang boleh didapati di pasaran.
Air kelapa sangat sesuai diminum selepas bersenam. Malah, ia sangat bermanfaat untuk mereka yang bersenam dalam satu tempoh masa yang panjang.
Namun, air kosong masih lagi merupakan pilihan yang terbaik.
2. Kaya dengan potassium
Kebanyakkan orang tidak mendapat potassium yang cukup daripada diet harian. Tetapi, mengapakah potassium penting untuk badan?
Pertama sekali, ia dapat mengeluarkan lebihan garam dari badan. Malah, ia juga dapat membantu mengawal tekanan darah.
Kajian menunjukkan, antara khasiat air kelapa ialah kemampuannya untuk menurunkan tekanan darah, terutamanya dalam kalangan penghidap hipertensi.
Walau bagaimanapun, jangan sesekali gantikan ubat-ubatan sedia ada dengan air kelapa. Penghidap tekanan darah tinggi perlu mengambil ubat seperti biasa. Jangan bergantung 100% dengan air kelapa.
Dapatkan nasihat doktor jika anda ingin mengambil air kelapa untuk menurunkan tekanan darah.
3. Rendah kalori
Jus buah-buahan yang lain mengandungi gula, kalori dan karbohidrat yang tinggi. Namun, berbeza dengan jus buah lain, air kelapa mempunyai kalori yang lebih rendah walaupun ia manis.
Setiap 250 ml air kelapa mengandungi sekitar 40 hingga 60 kalori, ½ daripada jumlah kalori dalam jus oren.
Jika anda menyukai rasa air kelapa, ia boleh dimasukkan ke dalam pemakanan harian anda sebagai sebahagian daripada diet yang sihat.
Khasiat air kelapa 4: Bebas lemak dan kolesterol
Air kelapa mengandungi 94% air. Ia juga bebas lemak dan kolesterol. Walau bagaimanapun, jangan simpan air kelapa terlalu lama.
Semakin lama air kelapa disimpan, semakin ‘peliklah’ rasanya. Malah, ia juga akan kehilangan nutrisi jika disimpan terlalu lama.
5. Dapat mengelakkan pembentukan batu karang
Di Amerika Syarikat, 11% lelaki dan 6% wanita mengalami masalah batu karang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, menurut statistik WHO.
Cara yang terbaik untuk mengelakkan batu karang ialah dengan minum air secara mencukupi.
Menurut sebuah kajian pada tahun 2018, air kelapa dapat membuang lebihan potasium, klorida dan sitrat di dalam air kencing. Semua bahan ini boleh menggalakkan pembentukan batu karang.
6. Khasiat air kelapa, baik untuk kulit yang lebih sihat
Air kelapa juga mungkin dapat mengurangkan jerawat! Bagi mereka yang mempunyai masalah kulit, cuba amalkan pengambilan air kelapa. Sifat anti mikrobnya dapat membantu melawan pembentukan jerawat.
Tip minum air kelapa
Ada banyak jenis air kelapa yang dijual di pasar raya. Namun, sebelum mencuba, ada beberapa perkara yang perlu anda titik beratkan:
- Baca label dulu sebelum beli. Pilih produk yang mengandungi 100% air kelapa tanpa sebarang gula atau pengawet.
- Minum selepas bersenam untuk elakkan dehidrasi.
- Anda boleh minum air kelapa pada bila-bila masa. Tidak ada masalah jika anda minum selepas makan atau semasa perut kosong.
- Elakkan air kelapa jika anda mengandung. Buat masa ini, masih belum ada sebarang bukti bahawa air kelapa bermanfaat untuk ibu mengandung.
- Campur dengan air lain jika anda tidak suka rasa kelapa. Malah, anda boleh gunakannya dalam pelbagai jenis pencuci mulut atau campur dengan sparkling water.