Khasiat Bawang Putih, Boleh Hilangkan Kutu?

Bawang putih atau nama saintifiknya, Allium sativum adalah merupakan salah satu bahan masakan yang wajib ada di dapur. Semua orang pasti tahu bawang putih kan, kalau ada yang tak tahu tu memang tak tahulah nak cakap macam mana!

Selalunya, ia digunakan dalam bentuk segar, atau, boleh dikeringkan untuk diproses agar menjadi dalam bentuk serbuk.

Bukan sahaja digunakan sebagai bahan utama dalam kebanyakkan masakan, ia juga mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat untuk kesihatan. 

Khasiat Bawang Putih

Komponen utamanya ialah allicin iaitu,  cecair berminyak dan berwarna sedikit kuning yang memberikan bau khas bawang putih. Ia adalah merupakan ‘produk’ yang diperoleh apabila enzim alliinase terhasil ketika anda mencincang/menghancurkan bawang putih. 

Allicin mempunyai sifat anti bakteria, antiseptik, antioksidan, mampu merawat keradangan dan lain-lain. Seperti yang dinyatakan di atas, ia boleh diperolehi setelah bawang putih diketuk, ditumbuk atau dipotong.

Selain itu, ia juga kaya dengan pelbagai lagi jenis vitamin dll, yang baik untuk kesihatan. 

Tunggu apa lagi, jom baca!

Khasiat Bawang Putih

  1. Ubat Kutu

Rambut yang didiami kutu sudah pasti memberi ketidakselesaan kepada kulit kepala. Sekiranya anda sudah ikhtiar pelbagai cara tetapi gagal, apa kata anda cuba gunakan air bawang putih (campur air dan bawang putih) untuk mencuci rambut anda. Lakukan dengan kerap. 

Ini adalah kerana, kutu tidak gemar dengan bau dan rasa bawang putih. Selain itu, campuran air dan bawang putih juga boleh digunakan untuk menghalau nyamuk dan lalat.

  1. Mengurangkan Jerawat

Siapalah yang tak suka kulit licin dan sihat kan? Kadang tu dah macam-macam produk cuba tapi hasilnya tetap tak memuaskan. Jerawat pun tak hilang-hilang. 

Dengar-dengan bawang putih boleh membantu kurangkan jerawat, betul ke?

Ye cik akak dan abang, betul la tu. 

Bawang putih ni mengandungi bahan yang anti bakteria iaitu bahan yang boleh membantu membunuh bakteria yang biasanya menjadi penyebab jerawat berlaku. 

Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan boleh membantu  mengurangkan bengkak, keradangan dan menambah baik aliran darah yang mana sangat bermanfaat untuk membaik pulih kesihatan kulit anda.

Caranya mudah sahaja, cincang seulas bawang putih halus-halus dan sapukan pada bahagian berjerawat. Biarkan selama beberapa minit, kemudian basuh dengan air bersih. 

Tetapi, sekiranya anda mengalami kegatalan atau rasa terbakar pada kulit, anda dinasihatkan untuk alihkannya dari kulit wajah anda. Ini bermakna terdapat kandungan dalam bawang putih tersebut yang tidak sesuai untuk kulit anda. 

Atau, sekiranya kulit anda sensitif pada bawang putih, anda boleh cuba cincang bawang putih dan campurkan dengan satu sudu besar air dan letakkan pada jerawat untuk beberapa minit. Ambil airnya sahaja, bawangnya tak perlu. Kemudian, bilas dengan air dan keringkan.

Bolehlah cuba dulu dekat kawasan yang tertentu dalam jumlah sedikit, jangan terus letak satu muka pulak okay. Buat skin test patch dulu ye!

  1. Mencegah Penyakit Darah Tinggi 

Antara penyakit yang sering dihidapi oleh rakyat Malaysia ialah tekanan darah tinggi atau hipertensi yang selalunya berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat ataupun keturunan. 

Tahukah anda, dengan mengamalkan memakan bawang putih yang mentah atau yang telah dibakar, ia mampu mencegah penyakit darah tinggi. 

Hal ini adalah kerana, bawang putih mampu meningkatkan penghasilan nitric oxide yang secara tidak langsung mampu membantu mengembangkan saluran darah untuk melancarkan pengaliran darah. 

Tambahan pula, memakan seulas bawang putih mentah setiap hari mampu mengurangkan risiko saluran darah tersumbat disebabkan kolesterol yang berlebihan serta mencegah penyakit aterosklerosis.

  1. Meningkatkan Imuniti Tubuh

Campurkan bawang putih dengan madu, kemudian makan. Walaupun agak pelik, campuran ini sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat antaranya ialah dapat membantu mengurangkan selsema. 

Kandungan Allicin di dalam bawang putih meningkatkan tindak balas sel darah putih terhadap virus. Jika anda mengalami selsema, anda boleh makan bawang putih untuk mengurangkan simptom atau mengamalkan pengambilannya setiap hari untuk meningkatkan imuniti tubuh. 

  1. Diabetes 

Untuk pengetahuan anda, antara khasiat bawang putih adalah mengawal kadar gula dalam darah. Di dalam satu kajian, pakar saintis telah mendapati bahawa memakan bawang putih mentah ataupun bakar mampu mencegah pesakit kencing manis daripada mendapat komplikasi diabetes. 

Sumber: https://www.doctoroncall.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161