Khasiat Buah Dabai | Buah Ini Hanya Boleh Ditemui Di Borneo?

Buah dabai, Sibu Olive atau Canarium odontophyllum adalah merupakan buah yang sangat popular dan hanya boleh dijumpai di kepulauan Borneo terutamanya di daerah Kapit dan Sibu, Sarawak. 

Buah dabai mempunyai rasa berlemak dan agak tawar. Oleh itu, ia biasanya dimakan bersama kicap atau gula setelah direndam selama 15 minit untuk melembutkan isinya.

Walaubagaimanapun, buah ini telah dikomersialkan secara meluas dalam pelbagai jenis produk antaranya ialah jus dabai, sos dabai, mayonis dabai bahkan turut dibekukan dan diawet agar tahan lebih lama. 

Buah dabai

Apabila sudah masak, isinya akan berwarna kuning krim dan kulitnya berwarna hitam keungguan. Buah ini juga dikatakan mempunyai tekstur seperti buah zaitun. Sekiranya anda lihat sekilas, ia menyamai seperti bentuk buah kurma. 

Nak tahu lebih lanjut mengenai buah ini? Mari teruskan membaca. 

Khasiat Buah Dabai 

Seperti buah-buahan yang lain, buah dabai juga mempunyai khasiat dan manfaatnya yang tersendiri. Terdapat beberapa kajian telah dijalankan untuk mengetahui potensi dan khasiat buah ini. Antaranya ialah:-

1. Kaya Dengan Kandungan Antioksidan

Buah dabai kaya dengan kandungan antioksidan seperti antosianin, asid vanilik, asid elagik, apigenin katekin, epikatekin dan sebagainya.

Ini adalah merupakan antara khasiat utama buah dabai. Untuk pengetahuan anda, kulit buah ini mengandungi antioksidan lebih tinggi daripada isinya. 

Berikut ialah antara manfaat antioksidan:

  • Melawan penyakit dan mengurangkan risiko terkena kanser: Kandungan antioksidan tertentu seperti asid elagik berupaya mengurangkan risiko terkena kanser. Selain itu, ia juga membantu untuk melawan radikal bebas yang menjadi punca pelbagai penyakit.
  • Mencegah penyakit kardiovaskular: Kandungan antosianin yang terdapat dalam buah ini sangat bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan jantung. 
  • Menurunkan kolesterol: Minyak yang diekstrak daripada buah ini didapati boleh membantu untuk menurunkan paras kolesterol jahat (LDL) dan trigliserida serta meningkatkan paras kolesterol baik. Secara tidak langsung, ia mampu mencegah hiperkolesterolemia, penyakit jantung dan juga strok. 
  • Mencegah penyakit berkaitan hati: Kandungan kolesterol yang tinggi boleh memberi kesan kepada organ hati. Kandungan antioksidan buah ini berupaya menurunkan kadar kolesterol untuk mencegah sebarang penyakit hati. Selain itu, kandungan asid syiringik juga membantu melindungi fungsi hati. 

2. Kaya Dengan Kandungan Serat

  • Melancarkan penghadaman: Kandungan serat yang terdapat dalam buah ini sangat bermanfaat untuk kesihatan usus serta membantu melancarkan penghadaman. Pengambilan buah yang kaya dengan serat tidak larut air akan memudahkan anda untuk membuang air besar (menyebabkan najis lembut) sekaligus mencegah sembelit. 
  • Sesuai dimakan oleh individu yang sedang mengamalkan diet: Serat memberikan rasa kenyang yang lebih lama. Hal ini akan membantu anda untuk mengurangkan pengambilan kalori yang berlebihan sekaligus membolehkan penurunan berat badan lebih cepat. 

3. Mengawal Paras Gula

Daun daripada pokok buah ini juga didapati menyumbang kepada paras gula yang lebih rendah apabila diambil secara konsisten.

Individu yang menghidapi diabetes disarankan untuk mengamalkan ekstrak daun pokok dabai agar bacaan gula lebih terkawal. Walaubagaimanapun, kajian lebih lanjut masih perlu dijalankan bagi mengetahui sejauh mana keberkesanannya. 

4. Kaya Dengan Pelbagai Nutrisi Penting 

Buah dabai juga mengandungi kalsium, kalium dan magnesium yang tinggi. Kesemua nutrisi ini mempunyai bermanfaat untuk kesihatan tubuh. 

Kesimpulan

Sekiranya anda berkunjung ke Sarawak, jangan lupa untuk mencuba buah ini. Manfaat buah ini untuk kesihatan sememangnya tidak diragukan lagi. Namun begitu, pengambilan haruslah tidak berlebihan. 

Sumber: https://jiwasihat.com/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161