Buah Keras
Buah keras adalah merupakan salah satu bahan yang sering digunakan dalam masakan oleh masyarakat di Malaysia dan juga beberapa negara lain seluruh dunia.
Bahkan, ia pernah dijadikan sebagai pokok rasmi negara Hawaii yang membawa maksud simbol perlindungan dan keamanan.
Buah keras mempunyai bentuk yang bulat, isinya berwarna putih serta mempunyai permukaan seperti bertepung dan keras seperti kekacang tetapi bersaiz lebih besar.
Ia juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti; kemiri (Indonesia), kekuna (Sri Lanka), lumbang bato (Filipina), kyainthee (Myanmar), kukui (Hawaii) dan sebagainya. Nama saintifiknya pula ialah, Aleurites moluccanus.
Salah satu keunikan buah ini ialah, ia menghasilkan minyak yang biasanya digunakan untuk menghidupkan lampu pada zaman dahulu. Sehubungan dengan itu, ia mudah untuk berbau tengik (kerana kandungan minyak yang tinggi).
Tambahan lagi, buah keras juga mengandungi toksik dan perlu digoreng kering terlebih dahulu untuk membuang toksiknya. Tidak diragukan, ia juga mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan tubuh badan kita.
Mari teruskan membaca!
Khasiat Buah Keras Untuk Kesihatan
1. Membantu Masalah Insomnia
Masalah insomnia ialah masalah sukar tidur yang boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah depresi, terlalu banyak fikiran dan sebagainya.
Terdapat banyak cara untuk menyelesaikan masalah ini termasuklah dengan pengambilan makanan yang mengandungi buah keras.
Buah keras mengandungi hormon melatonin, iaitu sejenis hormon yang dihasilkan oleh otak untuk membolehkan anda lebih bertenang dan tidur dengan lena.
2. Membantu Melegakan Sembelit
Mengandungi serat yang tinggi, pengambilan buah keras boleh membantu untuk melancarkan sistem pencernaan sekaligus melegakan masalah sembelit.
Selain itu, ia juga bermanfaat untuk melegakan masalah cirit birit kerana mempunyai sifat antimikrobial yang mampu melawan kuman, punca cirit birit.
Kandungan minyak yang terdapat dalam buah ini juga membantu pergerakan usus agar lebih lancar dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan usus.
Anda boleh cuba cari resipi atau cara mengamalkan petua menggunakan buah keras bagi membantu anda melegakan masalah sembelit, cirit birit, dan melancarkan sistem pencernaan anda.
3. Membantu Menghilangkan Nafas Berbau
Untuk pengetahuan anda, air rendaman kulit pokok dan buah tumbuhan ini yang masih berwarna hijau dipercayai boleh membantu menghilangkan nafas berbau. Bukan itu sahaja, ia juga boleh melegakan sakit tekak, batuk dan tonsilitis.
4. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Tahukah anda, buah keras juga memberi manfaat kesihatan jantung dan mengurangkan risiko terkena penyakit jantung.
Hal ini kerana, ia boleh membantu menurunkan kadar kolesterol jahat yang mampu menyumbat saluran jantung dan juga meningkatkan kolesterol baik dengan mengurangkan proses penyerapan lemak di bahagian usus serta merencatkan penghasilan kolesterol oleh hati.
5. Membantu Mengawal Tekanan Darah
Buah keras juga kaya dengan kandungan potassium yang berupaya untuk membantu mengawal tekanan darah.
Potassium mempunyai keupayaan untuk mengurangkan ketegangan pada salur darah agar darah boleh mengalir dengan lebih mudah. Secara tidak langsung, ia juga menyumbang kepada penurunan risiko terkena penyakit jantung.
6. Membantu Melebatkan Rambut
Minyak buah keras juga terbukti boleh membantu untuk melebatkan rambut, membantu pertumbuhan misai, janggut atau jambang dengan penggunaan yang kerap.
Kesan Sampingan
Pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan anda sakit perut, cirit birit dan sebagainya.
Selain itu, pastikan anda tidak mengambil apa-apa suplemen berasaskan buah keras yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ia boleh membahayakan kesihatan adan juga nyawa anda.
Sekiranya anda mempunyai apa-apa penyakit atau mengalami kesan setelah pengambilan makanan atau bahan berasaskan buah keras, pastikan anda dapatkan rawatan di hospital dengan segera.
Jangan lupa dapatkan nasihat doktor sebelum sebarang pengambilan sekiranya perlu.
Sumber: https://hellodoktor.com/, jiwasihat.com