Khasiat Bunga Cengkih, Mampu Melegakan Sakit Perut & Gastrik

Cengkeh atau nama saintifiknya Syzygium aromaticum adalah merupakan sejenis tumbuhan yang ditanam sepanjang tahun dan boleh tumbuh dengan ketinggian 10-20 m, mempunyai pelbagai khasiat di sebalik daun berbentuk lonjong yang berbunga pada pucuk-pucuknya. 

Kuntum bunga cengkih (yang belum kembang) biasanya dikeringkan untuk dijadikan herba. Selain itu, ia juga boleh didapati dalam serbuk. Ia mempunyai rasa yang manis dan aroma bau yang menyelerakan.

Khasiat Bunga Cengkeh

Cengkeh mempunyai banyak kegunaan, contohnya, digunakan sebagai bahan masakan, minuman, menghilangkan rasa hanyir makanan dan juga digunakan dalam pembuatan biskut dan kek. Bahkan, ia juga sering digunakan sebagai bahan ubat tradisional. 

Khasiat bunga cengkeh ini tidak perlu lagi diragukan kerana telah digunakan secara meluas sejak puluhan tahun lalu. Mari kita baca khasiat-khasiat cengkeh di bawah satu persatu. 

Khasiat Bunga Cengkeh

  1. Mencegah Keracunan Makanan

Untuk pengetahuan anda, cengkeh mempunyai sifat antimikrobial yang mampu membantu mengelakkan pembiakan mikroorganisma seperti bakteria. Dengan itu, ia dapat mencegah terjadinya keracunan makanan yang disebabkan oleh mikroorganisma.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa minyak cengkih mampu membunuh bakteria seperti E.Coli, iaitu sejenis bakteria yang sering menyebabkan terjadinya keracunan makanan.  

  1. Membantu Melegakan Sakit Perut/Gastrik 

Sakit perut atau gastrik adalah merupakan salah satu penyakit yang dihidapi ramai. Apabila menyerang, sakitnya bukan kepalang lagi. 

Gastrik terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan asid dan pepsin pada usus. Dalam satu kajian, pengambilan minyak pati cengkih mampu meningkatkan pengeluaran cecair yang boleh membantu mencegah hakisan dinding perut daripada asid pencernaan di dalam perut. 

Bukan itu sahaja, cengkeh juga sangat bermanfaat untuk mengurangkan kesakitan ulser perut. . Ulser perut ialah kesakitan atau luka yang terjadi pada dinding perut, duodenum dan esofagus. Ianya terjadi apabila lapisan perlindungan di perut semakin menipis disebabkan stress, jangkitan dan genetik.

Caranya mudah sahaja, ambil bunga cengkeh kemudian gigit. Biarkan seketika di dalam mulut. Bunga cengkeh mampu mengurangkan keasidan perut sekaligus melegakan sakit perut anda. 

  1. Menjaga Kesihatan Gusi

Ekstrak bunga cengkeh sangat bermanfaat untuk kesihatan gusi. Ini kerana sifat antimikrobial bunga cengkeh mampu membunuh bakteria yang menjadi penyebab kepada sakit atau keradangan gusi. 

Anda boleh jadikan air rendaman cengkeh bersama minyak pokok teh dan selasih sebagai alat pencuci mulut. Kumur air rendaman tersebut untuk mengelakkan rasa sakit pada gusi. 

Bukan itu sahaja, ia juga mampu menghilangkan plak pada gigi dan mengelakkan mulut anda berbau. 

  1. Membantu Melegakan Penyakit Berkaitan Saluran Pernafasan

Bunga cengkeh juga sering digunakan untuk merawat batuk dalam perubatan tradisional. Selain itu, ia juga turut digunakan untuk merawat masalah pernafasan seperti batuk, asma, bronchitis dan resdung.

Biasanya wap air rebusan cengkeh digunakan bagi melegakan simptom batuk, bronchitis, selesema, dan asma. Ia juga boleh dikunyah untuk mengubati sakit tekak dan keradangan pada saluran pernafasan. Campurkan dengan madu untuk hasil yang lebih baik. 

  1. Ubat Tahan Sakit

Eugenol adalah merupakan salah satu komponen utama yang terdapat dalam cengkeh. Eugenol ini lah yang menyebabkan rangsangan kalsium dan klorida di dalam sistem saraf yang mampu memberikan kesan analgesik. 

Oleh itu, bunga cengkeh sangat berguna sebagai ubat tahan sakit dan telah digunakan sebagai ubat penahan sakit sejak abad ke-13 lagi. Ianya digunakan di dalam sakit gigi, mahupun sakit pada bahagian sendi. 

Walaubagaimanapun, untuk kesan yang lebih baik, anda memerlukan dos (kuantiti cengkeh yang banyak) yang tinggi iaitu 50 – 100mg/kg berat badan.

  1. Mengawal Paras Gula Dalam Darah 

Tahukah anda, cengkeh sangat bermanfaat untuk penghidap penyakit kencing manis kerana ia mampu mengawal paras gula di dalam darah. Tahap gula darah merujuk pada jumlah glukosa dalam darah kita. Lazimnya, gula ini datang dari apa saja yang kita makan dan minum termasuk gula yang tersimpan dalam hati dan otot

Kajian mendapati komponen nigericin yang terdapat di dalam cengkeh mampu meningkatkan pengambilan gula daripada darah kepada sel. Justeru mengurangkan paras gula di dalam kerana gula telah disalurkan ke dalam sel untuk menjadi tenaga. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan rembesan insulin dan membaiki fungsi sel untuk membuat insulin.

Insulin ialah sejenis hormon yang bertanggungjawab di dalam membawa gula daripada darah kepada sel. Fungsi insulin yang baik akan membantu mengawal kenaikan paras gula.  Namun begitu, dengan gabungan diet yang seimbang, pengambilan cengkih mampu mengawal paras gula di dalam darah.

Kesimpulan 

Khasiat bunga cengkeh memang banyak namun begitu, anda perlu dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan sebarang pengambilan sekiranya perlu. 

Pati minyak dikira selamat penggunaannya jika diambil dalam kuantiti yang rendah dari 1500 mg/kg berat badan. Sekiranya diambil dalam kuantiti yang berlebihan dikhuatiri akan memberikan kesan kepada hati. Sila ambil dengan kadar yang sederhana ya!

Sumber: https://rootofscience.com/, https://www.hmetro.com.my

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161