Oh,Ini Rupanya Khasiat Cendawan Susu Harimau!
Cendawan Susu Harimau
Cendawan susu harimau juga dikenali sebagai Lignosus rhinocerus atau Polyporus rhinocerus dalam nama saintifiknya. Ia adalah merupakan spesies tumbuhan yang berasal daripada keluarga Polyporaceae.
Dalam kalangan masyarakat Malaysia, cendawan susu harimau atau tiger milk mushroom ini dipercayai adalah tumbuh berasal daripada titisan susu ibu sang harimau yang baru melahirkan anaknya.
Walaubagaimanapun, kebenarannya tidak dapat dibuktikan dan ia hanya sekadar mitos orang terdahulu.
Cendawan spesis ini sangat sukar ditemui dan boleh didapati tumbuh di sekitar kawasan hutan tebal sahaja. Contohnya seperti di Banjaran Titiwangsa. Ia juga merupakan salah satu spesies cendawan yang hampir pupus.
Ciri-ciri cendawan ini ialah, ia mempunyai ubi di bahagian bawah yang tertanam dan payungnya terkeluar di atas tanah. Menurut beberapa kajian, cendawan ini terbukti mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan tubuh.
Nak tahu apa kebaikan dan khasiat cendawan susu harimau ini? Jom teruskan membaca!
Khasiat Cendawan Susu Harimau
1. Membantu Melawan Jangkitan Bakteria & Kulat
Ekstrak cendawan ini terbukti mempunyai sifat anti bakteria dan kulat yang boleh membantu melawan jangkitan berkaitan.
Ia boleh melawan bakteria jenis Staphylococcus, Bacillus, Salmonella, Pseudomonas, Klebsiella, Corynebacterium, Micrococcus, dan Escherichia. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, saluran kencing, keracunan makanan dan sebagainya.
Selain itu, cendawan ini boleh menghalang jangkitan kulat jenis Mucor atau Candida pada faraj, otak, kulit, mulut, kerongkong dan sebagainya.
2. Membantu Mencairkan Darah Beku
Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh Universiti Teknologi MARA, cendawan susu harimau ini mempunyai ciri-ciri sebagai agen trombolitik, iaitu pencair darah.
Ia bermanfaat untuk membantu mencairkan darah beku pada jantung atau pembuluh darah bagi mengelakkan berlaku penyakit kardiovaskular yang boleh mengancam nyawa.
3. Membantu Merawat Asma
Ekstrak cendawan susu harimau juga mempunyai manfaat dalam rawatan asma. Hal ini kerana, cendawan ini mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu mengurangkan keradangan, paras antibodi dalam darah serta meningkatkan fungsi paru-paru.
Pengambilan ekstrak cendawan ini selama 3 bulan (pagi dan petang, 300mg) terbukti boleh membantu mengurangkan gejala asma dan juga keradangan.
4. Melindungi Perut Daripada Terkena Ulser
Cendawan ini juga mempunyai manfaat yang boleh membantu sistem pencernaan. Ia boleh melindungi perut daripada terkena ulser gastrik yang terjadi disebabkan oleh jangkitan bakteria atau kesan pengambilan ubat tertentu dalam jangka masa yang panjang.
5. Membantu Mengurangkan Risiko Kanser
Pengambilan ekstrak cendawan susu harimau juga didapati boleh membantu mengurangkan risiko terkenan beberapa jenis kanser seperti kanser paru-paru, kanser payudara, kanser kolorektal dan sebagainya.
Ia menghalang pertumbuhan sel yang boleh menyebabkan terjadinya kanser. Namun begitu, kajian masih aktif dijalankan bagi membuktikan lagi manfaat cendawan ini.
Cendawan Susu Harimau Untuk Perubatan Tradisional
Dalam perubatan tradisional, cendawan ini sering digunakan untuk merawat batuk, sakit tekak, bengkak payudara, tonik, sakit sendi dan pelbagai lagi.
Selain itu, ia juga sering diberikan kepada wanita berpantang untuk merawat badan yang lesu. Cendawan ini juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional cina.
Kesimpulan
Cendawan susu harimau adalah merupakan spesies tumbuhan yang berharga dalam sektor perubatan dan perlu dimanfaatkan khasiat yang dimilikinya sebaik mungkin.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda mengalami apa-apa masalah kesihatan pastikan anda mendapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar perubatan dengan segera dan jangan sesekali bergantung pada rawatan alternatif.
Sumber: https://jiwasihat.com