Khasiat Daun Ketum & Kenapa Ia Diharamkan?

Menurut Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, pokok ketum (juga dikenali sebagai pokok biak), atau  nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah merupakan sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. 

Pokok ini selalunya hidup subur di kawasan bertanah lembap yang mempunyai kandungan humus yang tinggi. Kebanyakannya ditemui tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung.

Ciri-ciri pokok ini ialah, ia mempunyai batang yang berkayu keras dan bercabang serta boleh mencapai sehingga 25 meter dengan garis pusat batang pokok boleh mencapai sehingga 1 meter. Bahagian yang digunakan daripada pokok ketum adalah daunnya. 

Persoalannya, sebenarnya apakah khasiat daun ketum ini dan kenapa ia diharamkan? 

Tunggu apa lagi, mari teruskan membaca!

 khasiat daun ketum

Khasiat Daun Ketum & Kenapa Ia Diharamkan?

Untuk pengetahuan anda, penggunaan ketum diharamkan di beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand, Australia serta beberapa negara di benua Eropah. Tetapi, di Amerika Syarikat ia sering digunakan sebagai ubat alternatif. 

Dengan penggunaan pada kadar (dos) yang rendah, ketum dipercayai mampu berfungsi sebagai ramuan kesihatan untuk mengatasi batuk, cirit birit, diabetes, ubat tahan sakit, dll. Sementara dos yang lebih tinggi, ia akan memberi kesan sedatif atau menenangkan.

Menurut satu kajian European Monitoring Centre for Drugs and Drug Addiction (EMCDDA), pengambilan ketum dengan dos yang sangat rendah dipercayai mampu memberikan kesan positif seperti berikut:

  • Kepekaan
  • Ketenangan
  • Kecergasan
  • Kekuatan

Selain itu, air ketum juga dipercayai mampu merawat sakit seperti sengal otot, lemah sendi, kepenatan, kegelisahan serta pelbagai keadaan kesihatan lain. 

Hal ini adalah kerana, ketum mengandungi alkaloid mitragynine and 7-hydroxymitragynine. Kedua bahan aktif ini memiliki kesan sebagai ubat analgesik yang membantu melegakan rasa sakit. Ia juga berfungsi sebagai agen anti-radang dan mengurangkan keradangan  otot.

Walaupun mempunyai khasiat yang dinyatakan di atas, penggunaannya diharamkan disebabkan oleh beberapa perkara. 

Pelbagai kajian terkini telah mengesahkan bahawa pengambilan daun ketum ini mempunyai lebih banyak keburukan berbanding kebaikannya jika dilihat pada sudut kesan sampingannya. 

Perkhidmatan rawatan di negara kita juga mempunyai ubat rawatan yang lebih baik dan terbukti berkesan untuk penyakit-penyakit yang dikatakan mampu di rawat menggunakan daun ketum. Jadi, kegunaan daun ketum belum lagi menjadi keutamaan dalam rawatan kerana rawatan sedia ada lebih selamat dan berkesan. 

Kesan Buruk Daun Ketum 

Antara kesan sampingan yang mungkin boleh terjadi akibat minuman daun ketum ini termasuklah:

  • Penurunan berat badan secara mendadak
  • Hilang selera makan
  • Badan menggigil
  • Badan berpeluh
  • Kering mulut
  • Mual-mual
  • Muntah-muntah
  • Sistem perkumuhan terjejas
  • Sakit tubuh badan
  • Rosak organ hati
  • Kesan minuman ketum pada mental
  • Sakit kepala
  • Mabuk, khayal atau tidak keruan
  • Perubahan mood
  • Berhalusinasi
  • Berdelusi
  • Stres
  • Depresi

Tambahan pula, ia juga mampu menyebabkan masalah lebih besar jika diambil dalam dos yang terlalu banyak. Antara kesan sampingannya ialah mengalami sawan, koma atau lebih teruk lagi, meninggal dunia.

Disamping itu, kandungan mitragynine dalam daun ketum dapat memberikan kesan ketagihan apabila diambil dalam dos yang tinggi. Kesan sampingannya ini menyebabkan ia sering disalahgunakan dan seterusnya membawa kepada kesan sosial yang lain. 

Ramai yang mempercayai bahawa air ketum mampu memberikan kesan kegembiraan pada fikiran namun secara teorinya, kandungan dalam daun ini malah akan memperburuk gejala gangguan mental yang anda alami, hingga meningkatkan keinginan untuk bunuh diri.

Bukan itu sahaja, daun ketum juga memberi kesan buruk kepada ibu hamil kerana bayi yang dilahirkan oleh ibu yang meminum air daun ketum memiliki risiko lahir dengan gejala ketagihan daun ketum tersebut.

Kesimpulan 

Konklusinya, pengambilan daun ketum adalah tidak digalakkan dan perlu dielakkan sama sekali. Hal ini adalah kerana sekiranya anda perlukan rawatan untuk penyakit yang anda hidapi, anda boleh ikhtiar bermacam cara lain yang lebih selamat dan dapatkan nasihat serta rawatan daripada hospital. 

Ingat, jangan salah guna tau!

Sumber: https://hellodoktor.com/, http://www.myhealth.gov.my/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161