Baik Untuk Badan Dan Otak, Ini Khasiat Daun Selom Yang Anda Perlu Tahu

Khasiat Daun Selom Menurut Kajian Sains

Pengambilan ulam dalam hidangan seharian sudah menjadi tradisi turun temurun bagi kaum Melayu.

Ia bukan sahaja mudah didapati, malah ulam-ulaman juga kaya dengan pelbagai nutrisi yang baik untuk tubuh badan dan dikatakan baik untuk mengekalkan keremajaan wajah.

khasiat daun selom
Kredit Foto : siraplimau.com

 Antara ulam yang biasa dimakan ialah daun selom. Ulam ini juga sering dimakan bersama lauk pauk dan dijadikan ramuan bagi hidangan urap.

Daun selom dengan nama saintifiknya Oenanthe javanica memang mudah didapati di negara kita serta di sekitar Asia.

 Ia juga dikenali dengan nama lain seperti water celery dan Java water dropwort. Di Jepun, ia dikenali sebagai Seri, manakala di Korea, daun selom dikenali dengan nama Minari.

Selain dimakan sebagai ulam, orang-orang terdahulu juga sering menggunakan daun ini sebagai ramuan bagi rawatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti penyakit kuning, demam, sakit perut dan jangkitan salur kencing.

Baca Juga : 7 Khasiat Daun Semambu, Ajaib Untuk Tubuh Badan Dalaman Dan Luaran

Beberapa kajian sains juga telah mengesahkan potensi tinggi yang dimiliki oleh ulam ini.

100 gram daun selom pada dengan pelbagai nutrisi dan mineral seperti berikut :

Protein : 2.6 g

Serat : 0.90 g

Fosforus : 32 mg

Magnesium : 16 mg

Kalsium : 160 mg

Kaium : 212 mg

Natrium : 40.6 mg

Vitamin C : 5.0 mg

Vitamin A : 5.36 mg

Khasiat Daun Selom Untuk Tubuh Badan

1. Melindungi Kesihatan Hati

Memetik HelloDoktor, daun selom memiliki potensi yang tinggi dalam melindungi kesihatan hati.

 Daun selom juga biasa digunakan dalam perubatan tradisional di China untuk merawat pelbagai penyakit berkaitan hati.

Sebuah kajian yang dijalankan ke atas tikus makmal mendapati komponen fenolik daripada ulam ini berupaya untuk melindungi hati daripada kerosakan akibat tekanan pengoksidaan.

 Kajian lain juga mendapati komponen aktif yang dijumpai dalam daun ini iaitu persicarin mampu mencegah kerosakan hati akibat diabetes.

2. Mencegah Keradangan

Keradangan berlaku apabila badan bertindak balas untuk melawan jangkitan atau kecederaan.

Ia boleh menjejaskan kesihatan sekiranya dibiarkan berlarutan. Oleh itu, diet yang kaya dengan komponen antiradang seperti daun selom semestinya baik untuk mengatasi masalah keradangan.

Sebuah hasil kajian mendapati komponen flavanoid dalam ulam ini iaitu isohamnetin dan hyperoside dapat mencegah dan mengurangkan tindak balas  keradangan.

Kajian haiwan lain pula mendapati komponen persicarin dalam daun selom memiliki sifat antiradang dan berpotensi untuk digunakan bagi merawat penyakit keradangan pembuluh darah seperti sepsis.

3. Menstabilkan Paras Gula Dalam Darah

Khasiat daun selom juga boleh dilihat dalam mencegah peningkatan paras gula dalam darah.

Kebaikan daun selom ini dapat dilihat dalam sebuah kajian terhadap haiwan yang mengambil ekstrak air daun selom.

Hasil kajian mendapati haiwan yang terlibat mencatatkan penurunan paras gula kepada tahap normal.

Kajian lain yang dijalankan ke atas tikus diabetes turut mengesahkan kebaikan sebatian flavon dalam daun selom berupaya dalam merendahkan kadar gula, meningkatkan rembesan insulin dan mengurangkan paras lemak dalam darah.

khasiat daun selom

4. Berpotensi Sebagai Antivirus

Khasiat daun selom dalam mencegah rebakan virus telah ditemui dalam sebuah kajian makmal.

 Hasil kajian tersebut mendapati sebatian flavon dan fenolik dalam ulam ini dilihat berkesan dalam mencegah jangkitan virus hepatitis B.

5. Baik Untuk Kesihatan Otak

Semakin usia meningkat, fungsi otak juga boleh merosot sehingga boleh menjurus kepada penyakit seperti Alzheimer, Parkinson atau dementia.

Sebuah kajian mendapati daun selom juga mengandungi khasiat dalam melindungi neuron dalam otak daripada kerosakan akibat kekurangan oksigen dalam salur darah.

Sebuah kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati daun selom juga berperanan dalam melindungi neuron dan menguatkan ingatan.

6. Mencergaskan Badan

Dalam sebuah kajian yang menggunakan ekstrak daun selom turut melaporkan bahawa ekstrak ulam ini membantu melambatkan rasa keletihan, meningkatkan penghasilan enzim yang membantu menukarkan gula kepada tenaga serta meningkatkan enzim yang mencegah kerosakan tisu dalam badan.

khasiat daun selom

7. Menyihatkan Jantung

Penyakit jantung merupakan salah satu penyakit tidak berjangkit (non-communable disease) yang sering menjadi punca kematian di kalangan rakyat Malaysia. Amalan diet yang baik untuk kesihatan jantung amat penting bagi memastiikan jantung dapat berfungsi dengan normal.

Sebuah kajian mendapati penggunaan daun selom dapat menstabilkan ritma jantung yang tidak normal.

Komponen flavonoid yang terkandung di dalamnya pula berpotensi dalam merawat penyakit keradangan pembuluh darah yang kronik.

8. Baik Untuk Keremajaan Kulit Wajah

Amalan makan ulam seperti daun selom sering digalakkan sebagai petua awet muda.

Kajian saintifik juga mencadangkan kandungan fenolik dalam ulam ini berupaya untuk melindungi kulit daripada kekusaman akibat sinaran UV, mengurangkan keradangan kulit dan meningkatkan penghasilan kolagen.

khasiat daun selom

9. Meningkatkan Kesihatan Buah Pinggang

Kajian lain juga mendapati ulam ini berpotensi dalam melindungi kesihatan buah pinggang dengan mengurangkan tekanan pengoksidaan dalam buah pinggang melalui peningkatan enzim antioksidan dalam badan.

Memag cukup tinggi potensi daun selom dalam merawat pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan buah pinggang.

Ia dikatakan baik kerana terdapat pelbagai komponen penting yang terkandung di dalamnya seperti fenolik dan flavonoid yang baik bagi mencegah penyakit serta merancakkan penghasilan enzim yang baik untuk meningkatkan fungsi badan.

Namun, kajian yang lebih mendalam perlulah dijalankan bagi mengesahkan dos dan penyediaan yang sesuai untuk digunakan bagi merawat penyakit.

Sesuai dengan amalan tradisi, daun selom tetap baik untuk diamalkan dalam diet seharian sebagai ulam segar yang padat dengan khasiat seperti serat, protein dan pelbagai mineral.

Sumber :

Rajinkan Diri Untuk Makan Ulam-Ulaman, Ini 8 Jenis Ulam Yang Popular, Rugi Tak Cuba Makan!

hellodoktor.com

10 Khasiat Daun Selom Untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

jiwasihat.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85