Jus Delima, Minuman Yang Sangat Berkhasiat Untuk Badan!

Tidak dinafikan, ada pelbagai khasiat delima terhadap tubuh badan kita. 

Jus delima kini telah menjadi minuman yang popular disebabkan khasiatnya yang pelbagai. 

Buah daripada pokok Punica granatum ini mengandungi hampir 30 miligram vitamin C, 40% daripada keperluan harian badan.

Kajian menunjukkan, jus delima dapat membantu mengurangkan inflamasi, meningkatkan kesihatan jantung dan baik untuk kulit.

Walaupun begitu, jus delima tidak boleh diambil secara keterlaluan. 

Ada beberapa kesan sampingan yang tidak diingini mungkin berlaku disebabkan pengambilan delima yang terlalu banyak.

7 Khasiat delima untuk badan

khasiat delima

Khasiat delima merupakan sesuatu yang diakui oleh sains. Buah berwarna merah ini kaya dengan antoksidan dan vitamin seperti vitamin A, vitamin C dan vitamin E.

Malah, sifat anti viralnya juga membuatkan buah ini amat berkesan dalam meningkatkan imuniti badan.

Nak tahu khasiat buah delima dengan lebih lanjut? Jom ikuti artikel kami di bawah.

1. Buah delima kaya dengan antioksidan

Buah delima kaya dengan antioksidan yang dikenali sebagai polifenol. Ia dapat melindungi badan kita daripada radikal bebas. 

Radikal bebas terbentuk disebabkan pendedahan terhadap matahari dan toksin di sekitar kita.

Malah, jus delima juga mempunyai kandungan anioksidan yang lebih tinggi berbanding jus buah yang lain. Antioksidannya juga 3 kali ganda lebih tinggi berbanding teh hijau!

Selain itu, khasiat delima juga dapat melindungi sel kita daripada kerosakan dan mengurangkan inflamasi.

2. Mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi

Jus buah delima mengandungi 40% keperluan vitamin C badan. Walau bagaimanapun, vitamin C boleh terlerai jika melalui proses pempasturan.

Jadi, pilihlah jus delima yang diperah terus dari buah. Jus ini mengandungi nutrisi yang paling banyak. Malah, rasanya juga sedap!

Jangan lupa, kurangkan juga gula dalam jus. Jika tidak, khasiatnya tidak akan dikira!

3. Dapat mengelakkan kanser

Baru-baru ini, jus delima telah menggemparkan bidang perubatan. 

Menurut satu kajian, bahan yang terkandung di dalam jus ini mampu menghentikan tumbesaran sel kanser prostat.

Walaupun banyak kajian yang dijalankan menemui keputusan yang hampir sama, masih banyak lagi kajian lain perlu dijalankan untuk mengetahui kesan sebenarnya terhadap kesihatan kita.

Tetapi, tidak salah bukan jika anda mengamalkan pengambilan jus delima setiap hari? 

Bukan sahaja ia kaya dengan antioksidan dan vitamin, jus delima juga mungkin mampu melindungi anda daripada kanser!

4. Khasiat delima mampu mengurangkan Alzheimer

Tahap antioksidan di dalam jus delima juga didapati dapat memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer dan memastikan memori kita sentiasa kuat!

5. Membantu pencernaan

Antara khasiat delima ialah ia boleh mengurangkan inflamasi di kawasan perut dan membantu proses pencernaan.

Malah, individu yang mempunyai penyakit Crohn dan masalah usus dapat menerima manfaat yang sangat banyak daripada pengambilan jus delima secara berkala.

Walau bagaimanapun, elakkan mengambil terlalu banyak jus delima kerana ia boleh menyebabkan cirit-birit.

6. Khasiat delima: Merendahkan tekanan darah

khasiat delima

Cuba amalkan segelas jus delima setiap hari untuk merendahkan tekanan darah.

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Pharmacological Research, pengambilan jus delima juga amat bermanfaat untuk kesihatan jantung!

7. Jus delima mempunyai sifat anti viral

Buah delima juga mempunyai sifat anti viralnya yang tersendiri. Oleh sebab itu, ia mungkin berkesan dalam melawan jangkitan virus yang menyebabkan demam panas.

Kesan sampingan jus delima

khasiat delima

Jus delima tidak berbahaya jika diambil secara sederhana. Namun, untuk individu dengan perut yang sensitif, anda tidak digalakkan untuk mengambil terlalu banyak jus ini.

Malah, ada juga individu yang mungkin alah terhadap jus delima. Antara tanda alahan ialah:

  1. Gatal-gatal.
  2. Bengkak.
  3. Hidung berair.
  4. Sukar bernafas.
  5. Anafilaksis (reaksi alahan yang boleh membawa maut).

Jika anda mengandung atau sedang menyusukan anak, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat doktor jika ia selamat untuk anda.

Malah, ada juga individu yang akan sakit perut disebabkan buah delima. Salah satunya ialah cirit-birit.

Selain itu, akar dan batang pokok delima perlulah dielakkan kerana ia mungkin berbahaya jika diambil dalam jumlah yang banyak.

Oleh sebab itu, dapatkan konsultasi doktor sebelum mengambil jus delima. Ia juga boleh memberi reaksi negatif terhadap ubat-ubatan tertentu.

Rujukan

  1. 15 health benefits of pomegranate juice. (n.d.). Medical News Today. Retrieved February 13, 2022, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/318385#Benefits-of-pomegranate
  2. Pomegranate Juice: Benefits, Side Effects, and Preparations. (2022, February 7). Verywell Health. Retrieved February 13, 2022, from https://www.verywellhealth.com/pomegranate-juice-may-interact-with-certain-medications-89171
  3. 12 Health Benefits of Pomegranate. (2018, August 15). Healthline. Retrieved February 13, 2022, from https://www.healthline.com/nutrition/12-proven-benefits-of-pomegranate#TOC_TITLE_HDR_9
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: