Suka Makan Epal? Ini 5 Khasiat Epal Merah Terhadap Kesihatan

Semua orang tahu mengenai khasiat epal merah terhadap kesihatan. Ia bukan sahaja sedap dimakan, epal merah juga mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral yang penting untuk badan.

Bukan itu sahaja, epal merah juga sesuai dimakan oleh semua orang, sama ada mereka yang berdiet atau menghidap diabetes jenis 2; semuanya disebabkan kandungan seratnya yang tinggi.

Sebiji epal boleh dijadikan snek yang padat dengan nutrisi. Secara puratanya, epal bersaiz sederhana mempunyai 95 kalori, 25 gram karbohidrat, 4 gram serat dan pelbagai jenis vitamin seperti vitamin C dan vitamin K.

Tidak kiralah apa jua jenis epal yang anda gemari, buah ini mempunyai 1001 kebaikan terhadap kesihatan. Bak kata pepatah, sebiji epal sehari dapat menjauhkan anda daripada doktor!

Dalam artikel kali ini, kami akan menerangkan lebih lanjut mengenai khasiat epal merah. Jika anda ingin tahu lebih lanjut, mari teruskan pembacaan.

5 Khasiat epal merah untuk kesihatan

khasiat epal merah

Siapa sangka buah epal kaya dengan pelbagai manfaat untuk kesihatan.

Menurut Jessica Levinson, pakar nutrisi di New York, epal sudah lama terbukti dapat mengurangkan risiko pelbagai jenis penyakit seperti strok, tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung, obesiti dan sesetengah kanser.

Epal juga merupakan sumber serat yang baik. Menurut Healthline, sebiji epal mengandungi 4.4 gram serat, merangkumi 16% keperluan pemakanan kita. Malah, epal juga mengandungi 8.4 miligram vitamin C serta banyak lagi vitamin dan mineral lain.

Antara khasiat epal merah untuk kesihatan ialah:

1. Dapat mengurangkan kolesterol badan

Kajian menunjukkan pengambilan epal merah dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Dapatan ini mungkin berkait rapat dengan serat yang terkandung dalam buah epal.

Serat yang turut dikenali sebagai pektin ini merupakan fiber semula jadi yang terbentuk dalam tumbuh-tumbuhan. Malah, pengambilan buah epal didapati membawa manfaat yang lebih besar berbanding jus epal.

Tambah lagi, menurut sebuah kajian yang dimuatkan dalam University of Illinois, serat yang larut air dapat mencegah pembentukan kolesterol di dalam salur darah dan mengurangkan risiko aterosklerosis, sejenis penyakit yang menyebabkan pembentukan plak dalam arteri.

2. Mengurangkan risiko diabetes antara khasiat epal merah

Jika anda mempunyai diabetes jenis 2, cuba tambah lebih banyak epal ke dalam diet anda.

Benar, rasanya manis. Tetapi, buah epal mempunyai indeks glisemik (GI) yang rendah disebabkan kandungan seratnya yang tinggi.

Serat ini juga dapat memperlahankan penyerapan gula dalam darah. Oleh sebab itu, pesakit diabetes yang gemar makan epal merah selalunya mempunyai kadar gula dalam darah yang rendah.

Malah, mereka yang suka makan epal juga kurang berisiko untuk menghidap diabetes pada masa akan datang, semuanya disebabkan kandungan nutrisi serta seratnya yang tinggi.

3. Dapat mengelakkan obesiti

khasiat epal merah

Anda sedang berdiet? Apa kata anda tambah epal dalam diet harian anda.

Kajian menunjukkan bahawa pektin dalam epal merah bagus untuk bakteria dalam perut. Ia juga dapat mengurangkan obesiti dan mengelakkan penyakit keradangan yang lain.

Bukan itu sahaja, serat dalam epal juga boleh buatkan anda rasa lebih kenyang dalam masa yang lama. Jadi, tidak adalah anda mengunyah 24 jam nanti!

4. Dapat melindung anda daripada penyakit jantung

Selain itu, antara khasiat epal merah yang lain ialah ia mampu melindungi kita daripada penyakit jantung.

Epal kaya dengan polifenol, sejenis komponen yang terbukti dapat merendahkan risiko penyakit kronik, terutamanya penyakit jantung.

5. Baik untuk sistem pencernaan contoh khasiat epal merah

Serat sangat baik untuk sistem pencernaan manusia. Malah, ia juga dapat membantu memperlahankan proses pencernaan dan membuatkan kita rasa kenyang dalam masa yang lama.

Kedua-dua jenis serat – serat larut air dan tidak larut air, sangat baik untuk kesihatan perut.

Jika anda kerap alami sembelit, cuba makan lebih banyak epal. Sebiji buah epal mengandungi kedua-dua jenis serat yang dapat membantu anda melegakan masalah sembelit.

Adakah epal selamat dimakan oleh semua orang?

khasiat epal merah

Secara amnya, epal merupakan sejenis buah yang selamat dimakan. Walau bagaimanapun, epal, buah pic, avokado dan beri biru mengandungi sejenis kompaun yang dikenali sebagai salicylates.

Ada orang yang lebih sensitif terhadap salicylates. Malah, mereka juga lebih berisiko untuk mengalami reaksi alahan selepas makan buah epal. Jadi, jika anda mengalami simptom-simptom alahan selepas makan epal, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin!

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: