Kaya Dengan Protein dan Mineral, Ini Khasiat Ikan Merah Untuk Kesihatan

Sumber protein dari ikan sememangnya baik untuk diamalkan dalam diet seharian. Antara ikan yang menjadi pilihan di kalangan rakyat Malaysia ialah ikan merah. 

Sering dimasak dalam hidangan seperti asam pedas, masak merah dan sup, ikan merah juga mengandungi pelbagai nutrisi penting untuk tubuh badan seperti protein, kalium dan fosforus. 

Kredit Foto : exportersindia.com

Walaupun tidak dinafikan harganya yang agak mahal, ikan merah masih diminati ramai kerana rasanya yang cukup lazat. Isinya yang kental juga menjadikan ikan merah sesuai dimasak dalam pelbagai cara seperti bakar, kukus dan goreng. 

Tidak hanya itu, khasiatnya yang cukup padat menjadikan ikan merah sebagai sumber protein yang cukup baik untuk diamalkan setiap hari. 

Baca Juga : Manfaat Ikan Haruan Pada Kesihatan Ibu Mengandung dan Seisi Keluarga

Khasiat Ikan Merah Untuk Kesihatan Badan

1. Melindungi Kesihatan Jantung

Ikan merah diperkaya dengan khasiat kalium iaitu nutrisi yang penting untuk kesihatan jantung. 

Mineral kalium berfungsi dengan menstabilkan tekanan darah.

 Di samping itu, mineral ini juga berperanan bertindak balas untuk mencegah kesan sebatian natrium dalam darah yang boleh menjadi punca kepada penyakit seperti strok dan serangan jantung. 

Khasiat lain dalam ikan merah seperti asid lemak omega 3 dan selenium juga adalah sangat baik untuk kesihatan jantung. 

khasiat ikan merah

2. Baik Untuk Mencegah Anemia

Seperti yang kita tahu, anemia merupakan masalah kesihatan yang berlaku akibat kekurangan sel darah merah dalam badan. 

Ikan merah yang padat dengan kebaikan vitamin B 12 sangat baik diamalkan kerana ia dapat meningkatkan lagi pembentukan sel darah merah. 

Pengambilan vitamin B 12 yang mencukupi dalam diet juga baik untuk melindungi kesihatan minda daripada kerosakan neuron. 

3. Sumber Protein Yang Baik 

Dalam setiap 100 gram ikan merah, ia mampu membekalkan sehingga 40% keperluan protein harian serta rendah lemak.

 Ini menjadikan ikan merah sesuai untuk diambil bagi membantu membina otot badan bagi yang aktif bersenam. 

Diet yang kaya protein juga baik untuk kesihatan tulang, kulit serta perkembangan tisu dalam badan. 

4. Membantu Menguruskan Berat Badan

Ikan merah kaya dengan protein dan rendah kalori menjadikannya sesuai diamalkan bagi yang sedang berdiet.

 Pemakanan yang kaya dengan protein boleh membantu seseorang berasa lebih kenyang serta mengelakkan keinginan untuk makan berlebihan.

5. Kaya Dengan Kebaikan Mineral Selenium 

Setiap 170 gram ikan merah mengandungi sehingga 83.3 miligram selenium iaitu jumlah yang ideal untuk keperluan diet harian.

 Kadar mineral selenium yang cukup tinggi dalam ikan merah memainkan pelbagai peranan pada tubuh. 

Pengambilan selenium yang mencukupi dapat melindungi badan daripada kerosakan tisu, mengaktifkan enzim untuk perkembangan sel, penghasilan hormon tiroid dan metabolisma otot. 

6. Baik Untuk Diamalkan Bagi Ibu Mengandung 

Kadar protein yang tinggi serta paras merkuri yang selamat dalam ikan ini menjadikannya sesuai untuk dimakan bagi ibu mengandung.

Namun, berdasarkan pregnancyfoodchecker,bu mengandung disarankan untuk pelbagaikan sumber protein dan hadkan pengambilan ikan merah sebanyak seminggu sekali sahaja.

Ini adalah kerana kadar merkurinya yang sederhana dan khasiat asid lemak omega-3 yang agak rendah berbanding ikan lain iaitu 0.2 gram. 

Oleh itu, ibu mengandung disarankan untuk mengambil 1.4 gram asid lemak omega 3 setiap hari untuk perkembangan otak bayi dalam kandungan dan kesihatan ibu semasa tempoh hamil. 

Disebabkan ikan mentah tidak sesuai dimakan ketika mengandung, pastikan ikan merah dimasak sepenuhnya sebelum dimakan.

Ikan mentah dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan bakteria dan keracunan makanan pada ibu mengandung. 

Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan oleh ikan merah, ia sangat sesuai untuk dijadikan hidangan harian bagi memenuhi keperluan nutrisi anda.

Sesuai dipilih sebagai sumber protein yang tinggi protein dan rendah lemak, ikan merah mampu memenuhi keperluan buat ibu mengandung, orang yang ingin membina otot atau menurunkan berat badan. 

 Selain protein, mineral protein yang terkandung di dalamnya seperti selenium, kalium dan vitamin B12 memainkan peranan yang cukup penting bagi meningkatkan kesihatan tubuh. 

Sumber :

Red Snapper: Nutrition & Benefits

https://www.organicfacts.net/red-snapper.html

Red Snapper Health Benefits & Nutrition Facts

https://www.nourishdoc.com/nutrition/red-snapper-health-benefits-nutrition-facts

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85