Khasiat Kacang Kuda | Pilihan Snek Diet Yang Disyorkan!

Di Malaysia, kacang kuda sangat mudah didapati. Biasanya ia dijual secara mentah, direbus/kukus, dipanggang, atau digoreng. Anda boleh menjumpai kacang ini dijual di pasar tani, kawasan R&R, pasar malam dan sebagainya dengan harganya yang mampu milik.  

Kacang ini juga dikenali sebagai Chickpeas dalam bahasa Inggeris, atau Cicer arietinum dalam nama saintifiknya. Ia merupakan salah satu pilihan kudapan yang digemari ramai. Selain memiliki rasa yang sedap, kacang kuda juga mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan. 

Khasiat Kacang Kuda

1. Membantu Menurunkan Berat Badan

Salah satu khasiat kacang kuda yang popular ialah mampu membantu untuk menurunkan berat badan. Sehubungan dengan itu, kacang ini sering dijadikan sebagai salah satu menu diet untuk individu yang inginkan berat badan ideal. 

kacang kuda

Kacang ini kaya dengan kandungan serat dan juga protein yang memberi rasa kenyang lebih lama dengan melambatkan proses penghadaman (untuk menghadam serat & protein, tubuh kita memerlukan masa yang lebih kerana struktur serat dan protein yang kompleks). 

Berikutan itu, ia akan membantu anda untuk mengurangkan makan dengan kerap sekaligus mengurangkan pengambilan kalori. Kurang kalori bermaksud, berat badan anda pun berpotensi untuk menurun dengan mudah.

2. Baik Untuk Sistem Penghadaman 

Kandungan serat yang tinggi terkandung dalam kacang ini juga sangat membantu untuk melancarkan sistem penghadaman, mengelakkan sembelit serta memudahkan anda untuk membuang air. 

Sekiranya anda mengalami masalah penghadaman atau berkaitan dengan kesihatan usus, anda boleh cuba amalkan pengambilan kacang ini di dalam diet harian anda. 

3. Membantu Mengawal Kadar Gula 

Kandungan serat yang terdapat dalam kacang ini juga membantu penyerapan gula yang terhasil daripada karbohidrat. Ini boleh membantu mengawal kadar gula dalam badan. 

Pengambilan kacang kuda juga sesuai untuk pesakit diabetes. Hal ini kerana, ia mempunyai indeks glisemik yang rendah. Sekiranya anda inginkan snek sihat, kacang kuda adalah salah satu pilihan kekacang yang disyorkan. 

4. Baik Untuk Kesihatan Tulang 

Kacang ini juga mengandungi pelbagai nutrisi seperti vitamin dan mineral termasuklah kalsium, fosforus, dan vitamin K. Kesemua vitamin dan mineral ini sangat baik untuk memastikan tulang anda kekal sihat, kuat dan juga tumpat.

Tulang yang kuat yang membantu seseorang untuk terus aktif menjalani aktiviti seharian walaupun sudah berusia. 

Bukan sahaja tulang, ia turut memberi manfaat kepada gigi anda. Walaubagaimanapun, pastikan anda memakan kacang ini dengan berhati-hati dan elakkan mengunyah terlalu kuat. 

5. Sesuai Untuk Pesakit Anemia

Anemia adalah satu penyakit disebabkan oleh kekurangan sel darah merah (haemoglobin). Ini mengakibatkan oksigen tidak dapat dihantar ke seluruh badan dengan efisien dan efektif.

kacang kuda

Pengambilan zat besi adalah penting untuk membantu menambah bilangan sel darah merah agar oksigen boleh dihantar dengan efisien ke seluruh bahagian tubuh anda. 

Kacang kuda mengandungi zat besi yang boleh membantu pesakit anemia. Pengambilan kacang ini amat disyorkan untuk individu yang menghadapi masalah kekurangan zat besi seperti anemia. Walaubagaimanapun, sila dapatkan nasihat pakar perubatan anda terlebih dahulu. 

6. Baik Untuk Kesihatan Otak 

Untuk pengetahuan anda, kandungan choline  yang terdapat di dalam kacang kuda berupaya untuk membantu menguatkan daya ingatan, menajamkan fikiran, mengawal mood dan sebagainya. Ia sangat penting untuk membantu fungsi otak digunakan secara semaksima mungkin. 

Kesimpulan 

Kacang kuda sememangnya memberi banyak manfaat untuk kesihatan tubuh. Walaubagaimanapun, ia tidak  boleh gunakan sebagai rawatan utama untuk sebarang penyakit.

Pastikan anda dapatkan pandangan daripada pakar perubatan sebelum memulakan pengambilan kacang ini sekiranya perlu. Jika anda mempunyai alergik kacang, elakkan memakan kacang ini. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat!

Sumber: https://hellodoktor.com/ , https://jiwasihat.com/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161