6 Kelebihan Sayur Bayam (Spinach) & Manfaatnya Kepada Kesihatan

Bayam, atau Spinacia oleracea merupakan sejenis sayuran berdaun yang berasal dari Persia.

Sayur ini terkenal dengan khasiatnya yang pelbagai dan kaya dengan nutrisi dan antioksidan.

Bukan itu sahaja, sayur ini juga versatil dan mudah untuk disediakan.

Lagipun, sayur ini banyak digunakan di dalam masakan kita dan mudah untuk didapati, sama ada di pasar raya atau dijual sebagai lauk-pauk.

Harganya yang murah dan rasanya yang sedap juga membuatkan sayur ini menjadi kegemaran ramai.

Malah, bayam juga mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan.

Terkenal dengan kebolehannya untuk memperbaiki kadar gula dalam darah dalam kalangan pesakit kencing manis, bayam dan juga sayur lain seperti peria dan herba seperti halba sering mejadi pilihan pesakit diabetes.

Menurut United States Department of Agriculture (USDA), 100 gram sayur ini mengandungi 28.1 miligram vitamin C, merangkumi hampir 34% dari keperluan harian kita. 

Malah, ia juga boleh ditambah ke dalam pelbagai jenis makanan dan boleh dimakan secara mentah.

Kebaikan makan bayam

Tidak dinafikan, sayur ini mempunyai pelbagai khasiat yang tersendiri. Antara kebaikan bayam untuk kesihatan ialah:

1. Kaya dengan pelbagai nutrisi

bayam

Tahukah anda, sayur bayam mengandungi 0 lemak dan hanya 20 kalori? Walaupun rendah kalori, ia kaya dengan pelbagai nutrisi.

Selain vitamin C, 3 cawan bayam juga boleh membekalkan 300% keperluan vitamin K serta 160% vitamin A harian. Kedua-dua vitamin ini bagus untuk kulit yang sihat dan sistem imun yang lebih mantap.

Vitamin K juga amat bagus untuk kesihatan. Ia selalunya dikaitkan dengan kesihatan tulang yang lebih baik.

Bukan itu sahaja, bayam turut mengandungi folat, sejenis vitamin B yang dapat membantu pembentukan darah. Jadi, kalau anda kurang darah, tambahkan sayur bayam dalam diet anda.

2. Mengandungi pelbagai antioksidan

Selain kandungan vitamin dan mineralnya yang tinggi, sayur bayam turut mengandungi pelbagai antioksidan yang bersifat anti inflamasi dan mampu melindungi kita daripada pelbagai jenis penyakit.

Bayam mengandungi kaemferol, sejenis flavonoid yang dapat mengurangkan risiko kanser dan menghalangnya daripada terus membesar dan merebak.

Selain itu, sayur ini juga mengandungi quercetin yang baik untuk memori serta dapat melindungi kita daripada penyakit jantung dan kencing manis.

3. Melindungi kita daripada pelbagai jenis penyakit

bayam

Menurut kajian, sayur ini boleh mengurangkan tekanan oksidatif, mengelakkan kerosakan DNA, dan menghalang pelbagai jenis penyakit.

Bukan itu sahaja, sayur ini juga boleh membuatkan anda lebih kenyang daripada biasa. 

Untuk pengetahuan anda, bayam mengandungi sejenis hormon yang boleh membuatkan kita kurang rasa lapar.

Disebabkan khasiatnya yang pelbagai, pengambilan lebih banyak sayur hijau juga boleh mengelakkan kita daripada menghidap penyakit kronik seperti serangan jantung, kanser, diabetes jenis 2 dan obesiti. 

4. Bayam baik untuk kesihatan otak

Sifat anti radang yang terkandung dalam sayur ini membuatkan ia amat baik untuk kesihatan otak.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan ke atas 950 warga emas selama 5 tahun, mereka yang mengambil lebih banyak sayuran hijau terutamanya bayam mempunyai keupayaan kognitif yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak makan sayuran hijau.

Oleh sebab itu, amalkanlah pengambilan sayur hijau sebanyak 1 atau 2 hidangan setiap hari.

Mereka yang sering makan sayur didapati mempunyai keupayaan kognitif bersamaan dengan individu yang 11 tahun lebih muda!

5. Dapat membantu mengawal tekanan darah

bayam

Buat penghidap hipertensi, pengambilan sayur ini dapat membantu anda mengawal tekanan darah secara semula jadi.

Menurut kajian yang dimuatkan di dalam The Journal of Nutrition, 11 orang lelaki dan wanita telah mengambil 4 jenis jus yang mengandungi sayuran yang berbeza, salah satunya ialah jus bayam.

Pengkaji mendapati mereka yang mengambil jus bayam mempunyai tekanan darah yang lebih rendah.

Malah, bacaan diastolik mereka yang rendah kekal sehingga 5 jam selepas mengambil minuman tersebut.

6. Bayam melindungi mata daripada kerosakan

Sejenis antioksidan yang dikenali sebagai lutein yang terkandung di dalam bayam didapati dapat mengurangkan kerosakan yang berlaku pada mata disebabkan umur.

Penyakit ini boleh menyebabkan aktiviti biasa seperti membaca dan memandu menjadi sukar.

Buat masa ini, masih belum ada lagi sebarang rawatan yang boleh merawat degenerasi makula. Malah, ia juga merupakan punca utama masalah penglihatan dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas.

Jadi, mencegah adalah cara yang terbaik untuk mengelakkan penyakit ini.

Masak bayam dengan baik untuk elak hilang nutrisi

Menurut sebuah kajian, lebih lama sayur ini dimasak, kandungan nutrisinya akan semakin berkurang, lebih-lebih lagi peratusan lutein di dalam bayam tersebut.

Malah, jika digoreng pada suhu yang tinggi, sebahagian besar nutrisi dalam sayur ini akan musnah dalam masa 2 minit.

Oleh sebab itu, cara yang terbaik untuk mengambil bayam adalah dengan mengambilnya secara mentah atau masak pada suhu yang rendah.

Tidak rugi jika anda makan lebih banyak bayam dan tambahkannya ke dalam diet harian anda. Ia bukan sahaja mudah didapati, harganya juga sangat murah. 

Jadi, tunggu apa lagi, rugi tau kalau tak makan bayam!

Rujukan

  1. Gunnars, K. (2019, May 14). Spinach 101: Nutrition Facts and Health Benefits. Healthline. Retrieved December 10, 2021, from https://www.healthline.com/nutrition/foods/spinach#nutrients
  2. Hypertension Management: 5 Green Vegetables That May Help Manage Blood Pressure. (n.d.). NDTV.com. Retrieved December 10, 2021, from https://www.ndtv.com/food/hypertension-management-5-green-vegetables-that-may-help-manage-blood-pressure-1962215
  3. Top 5 health benefits of spinach. BBC Good Food. Retrieved December 10, 2021, from https://www.bbcgoodfood.com/howto/guide/ingredient-focus-spinach
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: