Kunyit Hitam – Khasiat, Kesan Kegunaan & Cara Makan

Kunyit Hitam

Selalunya kunyit yang sering digunakan dalam masakan dirumah adalah kunyit yang berwarna kuning. Tahukah anda, terdapat satu lagi jenis kunyit yang juga popular dalam kalangan masyarakat kita, iaitu kunyit hitam atau nama saintifiknya Curcuma caesia

Perbezaannya dengan kunyit biasa ialah, isinya yang berwarna ungu kebiruan berbanding kunyit biasanya yang berwarna kuning keorenan. Penggunaan kunyit jenis ini amat jarang kita dengari kerana harganya yang lebih mahal daripada kunyit biasa. 

Kunyit Hitam'

Kunyit ini juga termasuk salah satu spesies herba yang terancam. Namun begitu, ia sering digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai jenis penyakit kerana khasiatnya yang sangat banyak. 

Berikut kami kongsikan beberapa khasiat kunyit hitam untuk kesihatan tubuh. Jom baca!

Khasiat Kunyit Hitam

1. Tinggi Kandungan Antioksidan 

Kunyit hitam didapati mempunyai kandungan sebatian antioksidan yang agak tinggi. Ini telah dibuktikan melalui banyak kajian.

Kandungan antioksidan sangat bermanfaat untuk melindungi sel-sel tubuh daripada radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti strok, serangan jantung dan sebagainya. 

Oleh itu, pengambilan makanan berasaskan kunyit ini atau penggunaan minyak patinya sangat bermanfaat untuk melindungi kesihatan tubuh. 

2. Mengelakkan Jangkitan Bakteria & Kulat 

Minyak pati kunyit hitam juga mempunyai sifat anti-bakteria (Staphylococcus Aureus &  Escherichia Coli) dan anti-kulat (Candida Albicans).

Minyak pati yang dihasilkan daripada ekstrak daun kunyit berupaya untuk menghalang pertumbuhan bakteria yang menjadi penyebab jangkitan pada kulit dan juga keracunan makanan. 

Selain itu, ia juga sangat berkesan untuk mencegah jangkitan kulat membiak. Jangkitan kulat boleh berlaku di kemaluan wanita, kuku, kulit dan sebagainya. 

3. Bersifat Anti-Radang

Seterusnya, kunyit hitam juga mempunyai sifat anti-radang yang boleh membantu melegakan keradangan yang terjadi pada tubuh. Keradangan adalah salah satu reaksi atau tindak balas tubuh apabila berlakunya ‘pencerobohan’ terhadap sistem imun tubuh kita. Keradangan sering berlaku kepada individu yang mempunyai autoimun atau sistem imun yang lemah. 

4. Merawat Masalah Asma

Secara umumnya, asma terjadi apabila berlakunya penyempitan atau keradangan pada saluran pernafasan sehingga menyukarkan seseorang untuk bernafas.

Ekstrak kunyit hitam didapati boleh membantu melonggarkan saluran pernafasan yang sempit dan membantu otot-otot yang terlibat untuk lebih rileks. Ini akan membantu memberi kelegaan kepada pesakit asma agar boleh bernafas secara normal lagi. 

5. Mengawal Masalah Keresahan (anxiety), Kemurungan, Panik DLL. 

Ekstrak batang (rizom) kunyit hitam didapati mempunyai ciri-ciri depresen (kesan pelalian, pengenduran otot, dan sebagainya).

Ciri-ciri ini membolehkan ekstrak kunyit hitam digunakan untuk membantu rawatan masalah kemurungan, keresahan, panik berlebihan, stress dan juga sangat berguna untuk individu yang sukar tidur. 

6. Mengelakkan Ulser Peptik (Perut)

Pengambilan ekstrak kunyit hitam boleh membantu mengurangkan keasidan perut, mengurangkan aktiviti pepsin sekaligus membantu mencegah ulser perut. 

Menurut portal rasmi KKM, ulser ini berlaku apabila terdapat luka di bahagian dinding perut dan duodenum disebabkan oleh pengeluaran asid yang berlebihan di perut.

7. Membantu Merawat Kerosakan Saraf

Kerosakan saraf seringkali berlaku kepada individu yang mempunyai kencing manis atau diabetes. Biasanya, kerosakan saraf di bahagian kaki yang sering terjadi.

Pengambilan ekstrak kunyit hitam didapati boleh membantu merawat kerosakan saraf disebabkan diabetes dengan komponen anti radang dan anti-bakteria yang dimilikinya. 

Kesimpulan 

Manfaat daripada kunyit hitam yang disenaraikan adalah berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan secara mendalam. Walaubagaimanapun, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan sebelum memulakan sebarang pengambilan sekiranya perlu. 

Jangan sesekali menggunakan kunyit ini sebagai ubat utama untuk merawat penyakit anda. Sila dapatkan rawatan di hospital atau klinik berdekatan dan makan ubat yang diberikan. 

Sumber: https://rootofscience.com/, https://jiwasihat.com/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: