9 Khasiat Lemon Untuk Kesihatan. Salah Satunya Bagus Untuk Jantung!
Lemon merupakan sejenis buah yang popular. Ia digunakan dengan meluas dalam masakan disebabkan rasanya yang masam. Walaupun ia boleh didapati dengan saiz yang berbeza di seluruh dunia, buah ini dikatakan berasal dari Myanmar dan China. Malah, khasiat lemon terhadap kesihatan juga tersangatlah banyak sehingga ia sering diamalkan oleh kebanyakan orang.
Buah lemon telah digunakan secara turun temurun untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Ia dapat membantu menurunkan berat badan dan menjadi penawar untuk masalah sakit tekak dan juga demam panas.
Air lemon sedap diminum begitu sahaja. Hirisannya juga boleh ditambah ke dalam air kosong ataupun teh. Tidak kiralah apa jua cara anda menikmati buah ini, ia mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan yang mungkin anda tidak tahu.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai khasiat lemon, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.
9 Khasiat lemon terhadap kesihatan badan
Ada banyak khasiat lemon untuk kesihatan kita. Antaranya ialah:
1. Bagus untuk kesihatan jantung
Buah lemon mengandungi 31 gram vitamin C, 2 kali ganda lebih banyak daripada keperluan harian badan.
Pengambilan air lemon bukan sahaja boleh menguatkan daya tahan badan, vitamin C yang terkandung dalam buah lemon boleh mengurangkan risiko strok dan penyakit jantung.
Bukan itu sahaja, buah lemon juga mengandungi banyak serat yang baik untuk kesihatan perut. Ia juga dapat mengurangkan tahap kolesterol LDL dalam badan.
Kolesterol yang terlalu tinggi boleh meningkatkan risiko aterosklerosis, sejenis penyakit yang membuatkan salur darah menjadi keras.
2. Dapat melegakan sakit tekak
Air lemon hangat yang dicampur bersama madu merupakan penawar turun-temurun untuk masalah sakit tekak. Pada musim sejuk, minuman ini bukan sahaja dapat membantu anda menghangatkan badan, ia juga dapat membantu mencegah sakit tekak.
Pada masa yang sama, vitamin C yang terkandung dalam perahan lemon juga boleh meningkatkan sistem imun badan. Jadi, buat mereka yang sering jatuh sakit pada musim sejuk, banyak-banyakkanlah minum air lemon untuk kuatkan daya tahan badan.
3. Membantu mengawal berat badan
Serat yang terkandung dalam lemon juga dapat membantu mengawal berat badan. Serat yang turut dikenali sebagai pektin ini akan mengembang apabila ia masuk ke dalam sistem pencernaan badan dan membuatkan anda rasa kenyang buat masa yang lama.
Sebab itulah, air lemon sering dicanang-canang sebagai minuman terbaik untuk menguruskan badan. Namun, minum air kosong dengan kerap juga mempunyai kesan yang sama dengan pengambilan air lemon.
4. Dapat mencegah kanser antara khasiat lemon
Menurut kajian, lemon mempunyai sifat anti kanser. Malah, bahan kimia yang terkandung dalam sebiji lemon dapat mengelakkan penghasilan tumor.
Bukan itu sahaja, ada juga kajian yang menunjukkan kebekersanan jus sitrus dalam menentang pembembentukan kanser.
5. Mengelakkan pembentukan batu karang
Jus lemon juga dapat menghalang pembentukan batu karang dengan cara meningkatkan tahap sitrat di dalam air kencing. Sitrat akan terikat dengan kalsium dan menghalang batu karang daripada terbentuk.
National Kidney Foundation menggalakkan agar pesakit mencampurkan 120 ml jus lemon bersama air kosong sebagai penawar untuk masalah batu karang.
6. Khasiat lemon untuk kesihatan perut
Buah lemon juga mengandungi sejenis serat yang dikenali sebagai pektin. Pektin dapat meningkatkan penghasilan enzim pencernaan pada organ hati dan membantu badan mengumuhkan bahan buangan secara lebih efektif.
Selain itu, buah-buahan yang kaya dengan serat juga dapat membantu mengurangkan masalah sembelit.
7. Dapat meregulasi kadar gula dalam darah
Bukan itu sahaja, serat juga dapat memastikan kadar gula dalam darah terkawal. Malah, ia juga dapat mengurangkan risiko diabetes atau membantu mereka dengan penyakit ini untuk mengawal kadar gula dalam darah.
8. Membuatkan kulit nampak lebih sihat dan bermaya
Buah lemon kaya dengan vitamin C yang diperlukan untuk penghasilan kolagen. Lemon juga mempunyai sifat antibakteria, sama seperti kebanyakan produk kecantikan yang dijual di pasaran.
Jadi, anda boleh gunakan hirisan lemon untuk mencerahkan kulit muka, sebagai skrub ataupun untuk membuang blackhead pada kawasan hidung. Perahan lemon juga boleh mengurangkan kelimumur jika disapukan pada kulit kepala.
9. Dapat mengawal tekanan darah
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Nutrition and Metabolism, pengambilan lemon dan juga amalan berjalan kaki selama 30 hingga 60 minit setiap hari dapat membantu mengawal tekanan darah berbanding mereka yang tidak makan buah lemon.
Tidak dinafikan, jus lemon sangat berkhasiat untuk badan. Malah, ia boleh menjadi minuman yang sangat menyegarkan pada waktu panas. Jika anda inginkan minuman yang berkhasiat, amalkanlah jus lemon. Anda pasti terkejut dengan khasiat lemon terhadap kesihatan anda.