Khasiat Limau Kasturi & Petua Untuk Kehidupan Seharian
Limau kasturi atau nama saintifiknya, Citrus microcarpa adalah merupakan buah daripada pokok limau kasturi yang mudah ditemui di Asia Tenggara terutamanya Thailand dan Filipina. Ia juga dikenali dengan gelaran Kalamasi atau Limau Panama.
Ia mempunyai saiz sebesar ibu jari, berbentuk bulat dan berwarna hijau atau kekuningan sekiranya terlalu masak.
Rasa limau kasturi ini agak masam dan selalunya digunakan dalam masakan, pembuatan sambal atau sebagai pelengkap hidangan contohnya seperti laksa, sup, dan sebagainya. Ia juga sering dicampurkan ke dalam minuman atau dijadikan sebagai minuman.
Khasiat limau kasturi untuk kesihatan tidak boleh diragukan kerana ia sangat kaya dengan kandungan pelbagai nutrisi seperti vitamin C, Floretin-G, asid askorbik dan macam-macam lagi!
Mari kita baca khasiat limau kasturi di bawah.
Khasiat Limau Kasturi
- Kaya Dengan Kandungan Antioksidan
Limau kasturi kaya dengan kandungan antioksida (phloretin, vitexin) yang lebih banyak dari epal dan teh hijau. Kandungan antioksida berfungsi untuk membantu melawan radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit termasuklah kanser.
- Melambatkan Penuaan Kulit
Ia juga mengandungi asid ferulic yang bermanfaat untuk membantu melambatkan penuaan dan menganjalkan kulit agar anda kelihatan sentiasa awet muda.
- Menguatkan Imuniti & Mempercepatkan Luka Sembuh
Limau kasturi juga kaya dengan kandungan vitamin C yang mampu membantu menguatkan sistem imunisasi tubuh.
Antara manfaat vitamin C ialah, merangsang penghasilan sel darah putih yang merupakan lapisan pertahanan yang pertama buat tubuh badan apabila diserang oleh jangkitan atau penyakit. Ia juga mampu mengelakkan kerosakan DNA di dalam sel-sel yang sihat.
Bukan itu sahaja, kandungan vitamin C yang terdapat di dalam limau kasturi juga memainkan peranan yang sangat penting dalam penghasilan kolagen untuk memastikan pertumbuhan dan dan pembangunan otot, sel kulit, tisu dan tulang berjalan dengan baik.
Selain itu, penghasilan kolagen ini juga penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka.
- Mengelakkan Anemia
Anemia terjadi disebabkan oleh kekurangan zat besi. Simptom anemia adalah lemah, letih, keliru dan sukar untuk tidur.
Kandungan zat besi yang terdapat dalam limau kasturi membantu mencegah kekurangan zat besi bagi mencegah anemia.
- Bermanfaat Untuk Rambut & Kulit Kepala
Limau kasturi juga sering digunakan untuk penjagaan rambut secara tradisional. Ia dipercayai dapat mewangikan rambut, menyejukkan kepala, serta mengurangkan kelemumur.
Caranya mudah saja, ambil beberapa biji limau dan hiris. Kemudian, gosokkan ke seluruh kepala dan biarkan beberapa minit. Setelah itu, cuci kepala anda hingga bersih.
Anda juga boleh gunakannya bersama bahan lain seperti air rendaman daun rambutan dan sebagainya.
- Menghilangkan Bau Badan
Limau kasturi juga sering digunakan sebagai salah satu bahan campuran untuk mandian bagi menghilangkan bau badan.
Carannya, perah dua biji limau kasturi ke dalam air mandian dan mandi seperti biasa. Anda juga boleh campurkan bahan-bahan lain yang sesuai.
Atau, gosokkan potongan limau kasturi yang telah dibelah dua terus pada kawasan yang berbau seperti ketiak. Anda juga boleh campurkan kapur sirih.
Amalkan setiap hari selepas mandi. Sapukan campuran ini pada ketiak dan biarkan beberapa waktu sebelum dibasuh. Lakukan pagi dan petang.
- Menghilangkan Minyak Pada Baju
Sekiranya anda tercari-cari cara untuk hilangkan minyak yang terkena baju, anda mungkin boleh cuba petua ini.
Perahkan sebiji limau kasturi dan campurkan sedikit garam. Kemudian, gosokkan campuran di atas pada bahagian pakaian yang terkena minyak. Biarkan 5 hingga 10 minit.\ sehingga kotoran dan perahan limau tersebut menjadi ‘sebati’. Basuh seperti biasa.
- Mengilatkan Kaca Mata
Untuk mengilatkan kaca mata anda yang kabur, anda boleh juga gunakan sedikit perahan limau kasturi ini. Anda hanya perlu perahkan sedikit limau kasturi pada kacanya dan kemudian lap bersih.
Petua ini akan membuatkan kaca mata anda lebih jelas dalam tempoh yang agak lama berbanding menggunakan air biasa.
Kesimpulan
Jelaslah bahawa, khasiat limau kasturi begitu banyak manakala petua menggunakannya juga sangat bermanfaat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Elakkan pengambilan yang berlebihan kerana ia bersifat asid yang boleh memberi risiko sekiranya diambil berlebihan.
Sumber: https://hellodoktor.com/