Manisan Daripada Seribu Bunga, Ini 5 Sebab Mengapa Anda Perlu Makan Madu!

Madu atau honey merupakan sejenis makanan yang dihasilkan oleh lebah untuk lebah menggunakan nektar daripada ribuan bunga. Namun, ia bukanlah pemanis biasa. Sebenarnya, ada banyak khasiat madu yang mungkin anda tidak tahu!

Madu asli datangnya daripada sarang lebah. Ia ditapis secara minimum untuk memastikan kandungannya 100% asli.

Berbeza dengan madu asli, madu yang didapati di kedai melalui proses pemanasan yang membuatkannya lebih melekit dan mudah untuk ditapis.

Di seluruh dunia, wujud sekurang-kurangnya 320 jenis madu. Semua jenis madu ini juga mempunyai bau, warna dan rasa yang berbeza.

Sebalang madu mengandungi gula dan juga campuran asid amino, vitamin, mineral, zat besi, zink dan antioksidan.

Ia juga digunakan secara turun temurun untuk merawat batuk dan merawat luka fizikal pada badan disebabkan sifat antiseptiknya.

Fakta nutrisi

khasiat madu

Madu sebenarnya ialah gula. Walau bagaimanapun, kalorinya lebih tinggi berbanding gula biasa yang digunakan untuk memasak dan membakar.

Disebabkan rasanya yang lebih manis, anda mungkin tidak perlukan banyak madu untuk menggantikan gula.

Bukan itu sahaja, madu juga mempunyai rasa yang unik, tidak seperti gula biasa.

Menurut Mayo Clinic, satu sudu madu mengandungi:

  • Kalori: 64
  • Protein: 0 gram
  • Lemak: 0 gram
  • Karbohidrat: 17 gram
  • Serat: 0 gram
  • Gula: 17 gram

Ia juga mempunyai beberapa jenis vitamin dan mineral dalam kuantiti yang sedikit seperti:

  • Zat besi
  • Zink
  • Potassium

5 Khasiat madu untuk kesihatan

Tidak dinafikan, madu mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Antaranya:

1. Berguna untuk menurunkan berat badan

khasiat madu

Tahukah anda, madu dapat membantu anda menurunkan berat badan? Menurut pakar nutrisi Mike McInnes, madu dapat membakar lemak walaupun ketika badan sedang tidur.

Anda juga boleh mengamalkan pengambilan sesudu madu sebelum tidur untuk mempercepatkan pembakaran lemak.

Selain itu, anda juga boleh cuba tambahkan honey ke dalam diet harian, sama sebagaimana anda gunakan gula.

Ingin maniskan air? Tambah madu. Makanan kurang manis? Letakkan sedikit madu.

Malah, madu juga boleh jadikan kopi atau teh lebih sedap daripada biasa tau! Belum cuba, belum tahu!

Khasiat madu 2: Menguatkan sistem imun badan

Madu juga telah digunakan selama bertahun-tahun dalam perubatan tradisional. Selalunya, ia dapat membantu melegakan masalah batuk, sakit tekak dan jangkitan.

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan dalam jurnal BMJ Evidence-Based Medicine pada tahun 2021 juga mendapati bahawa madu mungkin dapat mengurangkan jangkitan yang berlaku pada saluran pernafasan.

Menurut pakar, madu mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi. Jika ia diambil setiap hari, madu mungkin dapat meningkatkan sistem imun badan.

3. Baik untuk kulit muka dan badan

Ada sebabnya mengapa madu sering digunakan dalam produk penjagaan wajah. Individu yang mempunyai kulit kering boleh menggunakan produk yang mengandungi honey sebagai pelembap.

Bukan itu sahaja, disebabkan ia merupakan sejenis antiseptik semula jadi, madu juga boleh digunakan untuk merawat luka dan jangkitan lain pada kulit.

4. Khasiat madu – dapat menguatkan memori

Siapa sangka, pemanis semula jadi ini sebenarnya dapat menguatkan memori!

Polifenol dalam pemanis ini mungkin dapat mengurangkan inflamasi pada kawasan hippocampus, bahagian otak yang berkait rapat dengan memori.

Ia bukan sahaja bagus untuk ingatan, madu juga dapat meningkatkan fungsi otak dan menjadikannya organ yang lebih sihat dan kuat.

5. Penawar semula jadi untuk batuk

khasiat madu

Madu merupakan antara penawar terbaik untuk masalah batuk.

Malah, kajian juga menunjukkan, mereka yang minum secawan campuran air kosong dan madu dapat mengurangkan iritasi pada kawasan tekak.

Selain itu, madu juga merupakan bahan semula jadi utama untuk merawat batuk terutamanya untuk kanak-kanak.

Ia juga boleh mengurangkan kahak dan membantu kita untuk tidur dengan lebih lena pada waktu malam!

Risiko madu

Madu yang mengandungi bakteria Clostridium botulinum sangat berbahaya kepada bayi.

Malah, Centers for Disease Control and Prevention (CDC) juga melarang ibu bapa untuk memberikan madu kepada anak-anak yang berusia 1 tahun ke bawah.

Gejala keracunan botulisme pada bayi ialah:

  • Sembelit
  • Pernafasan yang perlahan
  • Kelopak mata kendur
  • Sering tersedak
  • Tidak dapat mengawal kepala dengan baik
  • Kelesuan
  • Tangisan lemah

Jika anak anda mempunyai simptom di atas, jumpa doktor secepat mungkin.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: