Khasiat Pegaga, Herba Semulajadi Untuk Menyihatkan Kulit Wajah!

Pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica adalah merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga daun pasli. Ia adalah salah satu jenis ulaman yang terkenal dan sering dijadikan menu hidangan serta digunakan untuk tujuan perubatan. 

Rasa tumbuhan pegaga ini agak sedikit pahit. Oleh itu ia sering dihidangkan bersama dengan sambal belacan untuk dicicah bersama ulam-ulaman yang lain. Ia boleh dimakan secara mentah atau dimasak terlebih dahulu. Bahkan boleh juga dijadikan dalam bentuk jus.

Khasiat pegaga

Pegaga telah dikenal pasti mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan dalaman dan luaran tubuh manusia.

Di India misalnya, pegaga sering digunakan dalam perubatan ayurveda untuk merawat merawat pelbagai jenis penyakit secara tradisional. Manakala, di China pula, ia sering dijadikan ekstrak dalam bentuk serbuk untuk tujuan perubatan dan rawatan kecantikan. 

Untuk pengetahuan anda, pegaga turut diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba yang diklasifikasikan sebagai satu spesies tumbuhan paling penting di dunia.

Tunggu apalagi, mari kita baca khasiat pegaga yang telah disenaraikan dibawah. 

Khasiat Pegaga

  1. Menyihatkan Kulit Wajah

Tumbuhan pegaga ini telah digunakan secara meluas dalam bidang kosmetik dan penjagaan kulit. Terdapat banyak produk penjagaan kulit yang menggunakan ekstrak pegaga sebagai salah satu ramuan utama. 

Hal ini kerana, pegaga dipercayai mampu merawat kerosakan kulit secara tradisional selain meningkatkan peredaran darah untuk menaikkan seri wajah. Ia juga terbukti dapat membantu merawat masalah kulit seperti parut dan kulit selulit yang sering dialami oleh para wanita. 

khasiat pegaga

Pengambilan daun pegaga secara mentah atau dijadikan air rebusan mampu membantu menjadikan kulit anda halus, awet muda dan bebas daripada masalah kulit kusam. Kandungan nutrisi yang terdapat dalam pegaga mampu menyokong pembentukan kolagen, seterusnya melambatkan kesan penuaan kulit  serta melembapkan kulit secara semula jadi. 

  1. Menyembuhkan Luka

Pegaga juga mempunyai sifat-anti bakteria dan anti-radang yang dapat membantu mempercepatkan pemulihan luka dengan merawat tisu yang rosak dan mengurangkan parut akibat kesan jerawat dan lain-lain. 

Kandungan asiaticoside yang terdapat dalam pegaga mampu membantu untuk meningkatkan pembentukan kolagen di kawasan luka.

Secara tidak langsung, ia akan merangsang proses pembentukan salur darah yang baru (angiogenesis) untuk menyokong penyembuhan dan pembentukan kulit baru.

  1. Mencegah Strok Sekunder dan Membantu Meningkatkan Keupayaan Kognitif Pasca-Strok

Strok adalah merupakan salah satu jenis penyakit yang sering dialami oleh masyarakat Malaysia. Ia terjadi disebabkan oleh beberapa faktor kesihatan seperti hipertensi dan lain-lain. 

Antara kesan strok adalah mengakibatkan penurunan keupayaan kognitif. Oleh itu, matlamat untuk pasca strok adalah berusaha mencegah strok sekunder (diserang strok lagi sekali) dan untuk menambah baik keupayaan kognitif. Beberapa kajian mendapati, ekstrak pegaga dapat membantu untuk mencapai tujuan ini. 

  1. Kaya Dengan Kandungan Antioksida

Pegaga juga kaya dengan kandungan antioksida yang boleh memberi perlindungan kepada tisu badan daripada kerosakan disebabkan oleh radikal bebas bagi mencegah pelbagai jenis penyakit. 

Kandungan polifenol, vitamin C, flavonoid, dan beta-karotena yang terkandung dalam pegaga membantu meningkatkan aktiviti antioksida yang terdapat di dalam tumbuhan ini. 

  1. Membantu Merawat Vena Varikos (Varicose Veins)

Terdapat nutrisi yang terkandung di dalam pegaga yang boleh membantu menambahbaik peredaran darah dalam tubuh. Dengan itu, ia sangat bermanfaat untuk membantu memulihkan vena varikos. 

Nota:  Vena varikos adalah satu keadaan di mana urat membengkak, berbelit, dan kerap terjadi pada bahagian kaki. 

  1. Membantu Mengawal Paras Gula 

Pengambilan pegaga juga dapat membantu meningkatkan penghasilan hormon insulin untuk membantu mengawal paras gula dalam darah. Walaubagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum memulakan pengambilan. 

Kesimpulan 

Sesungguhnya khasiat pegaga untuk kesihatan tidak dapt diragukan lagi kerana banyak kajian yang telah menyokong keberkesanannya. Namun begitu, pengambilan hendaklah dilakukan secara sederhana dan tidak berlebihan. Pastikan anda dapatkan pandangan daripada ahli perubatan sekiranya perlu. 

Sumber: https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/1303/2017/07/291091/khasiat-awet-muda-pegaga

https://hellodoktor.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161