Khasiat Pisang Pada Kesihatan Badan Yang Anda Perlu Tahu

Pisang bukan sahaja rasanya lazat malah ia juga kaya dengan khasiat.

Harganya juga tidak mahal dan mudah dicari kerana berbuah sepanjang tahun.

Di negara kita, buah pisang bukan sahaja dimakan mentah, malah ia juga sering digunakan sebagai ramuan dalam hidangan lauk dan kuih tradisional.

Sebenarnya terdapat banyak manfaat pisang untuk kesihatan tubuh.

khasiat pisang
Kredit Foto : hsph.harvard.edu

Sebiji pisang (126 gram) mengandungi pelbagai nutrisi penting untuk badan seperti :

  • Vitamin C
  • Kalium
  • Magnesium
  • Kuprum
  • Riboflavin
  • Folat
  • Serat
  • Karbohidrat

Baca Juga : 10 Manfaat Buah Bidara Pada Kesihatan Tubuh

Khasiat Pisang Untuk Kesihatan Badan

Antara khasiat pisang kepada tubuh badan ialah :

1. Baik Untuk Sistem Penghadaman

Sebiji pisang mampu membekalkan sehingga 3 gram serat.

Pengambilan makanan berserat sering dikatakan mampu menyihatkan sistem percernaan.

Kajian juga mendapati komponen pektin yang dijumpai dalam pisang dapat melembutkan tinja dan sangat membantu dalam mengatasi masalah sembelit.

Ujian tabung uji makmal juga mencadangkan potensi pektin dalam melindungi sistem penghadaman daripada risiko kanser kolon.

2. Membantu Mengurangkan Berat Badan

Buah ini juga sesuai dimakan bagi yang ingin menurunkan berat badan. Buah ini mengenyangkan dan mengandungi sekitar 112 kalori sahaja.

Pengambilan buah-buahan kaya serat seperti pisang juga terbukti berkesan dalam mengurangkan berat badan.

Di samping itu, pisang juga mengandungi 12 mg choline iaitu vitamin B yang berperanan dalam menghalang pengumpulan lemak pada abdomen.  

3. Baik Untuk Kesihatan Jantung

Kalium merupakan mineral yang sangat penting untuk kesihatan jantung dan pengurusan tekanan darah.

Pisang merupakan sumber kalium yang mudah diamalkan setiap hari dan mampu membekalkan sehingga 10% keperluan kalium setiap hari.

Selain kalium, pisang juga mengandungi magnesium yang juga baik untuk kesihatan sistem kardiovaskular.

4. Sumber Antioksidan Yang Baik

Buah-buahan termasuklah pisang merupakan sumber antioksidan yang baik.

Buah ini mengandungi beberapa antioksidan penting seperti flavonoid dan amine.

Kedua-dua komponen ini mampu memberikan manfaat pada kesihatan jantung dan melindungi badan daripada penyakit akibat penuaan.

Kebaikan antioksida yang dijumpai dalam pisang juga dapat melindungi sel dalam badan daripada aktiviti radikal bebas yang boleh menjejaskan kesihatan.

5. Buah Yang Baik Dimakan Selepas Bersenam

Buah pisang juga dikatakan sebagai snek yang terbaik untuk ahli sukan.

Ini adalah disebabkan rangkaian khasiat yang terkandung dalamnya seperti karbohidrat yang mudah dihadam, dan mineral kalium dan magnesium yang juga berfungsi sebagai elektrolit.

Ketika anda berpeluh, badan anda kehilangan banyak elektrolit.

Pengambilan pisang selepas bersenam dapat mengembalikan keperluan elektrolit dalam badan dan sekaligus melindungi badan daripada kekejangan otot dan lenguh badan.

Sebuah kajian juga mendapati pengambilan buah pisang jauh lebih berkesan daripada minuman isotonik dalam mengembalikan elektrolit dalam badan.

Walaupun lebih banyak kajian perlu dijalankan bagi mengesahkan kebaikan buah pisang sebagai makanan selepas bersenam, kebanyakan pengamal sukan sudah lama mengamalkannya sebagai makanan pemulih tenaga selepas bersenam.


Kredit Foto : thealternativedaily.com

6. Meningkatkan Penyerapan Kalsium

Walaupun pisang tidak menawarkan kebaikan kalsium, namun ia membantu dalam mengekalkan kesihatan tulang.

Berdasarkan sebuah artikel terbitan Journal of Physiology and Biochemistry, pisang mengandungi komponen karbohidrat fructooligosaccharide yang merangsang penyerapan kalsium dalam badan.

7. Baik Untuk Membaiki Mood

Kajian yang dijalankan oleh Indian Journal of Psychiatry mendapati pesakit yang mengalami tekanan kekurangan mineral folat dalam badan sehingga 25%.

Pisang boleh menjadi sumber folat yang mudah diambil bagi memenuhi keperluan folat harian anda.

 Berdasarkan National Institutes of Health (NIH), kandungan folat atau vitamin B9 dalam pisang juga didapati berfungsi sebagai antimurung semulajadi yang baik bagi mengatasi kemurungan.  

8. Membantu Melawan Kolesterol Jahat

Pengambilan makanan segera dalam diet harian membuatkan badan kita terdedah kepada kolesterol LDL atau kolesterol jahat.

Kadar kolesterol jahat yang tinggi dalam darah boleh menjadi punca kepada pelbagai penyakit seperti serangan jantung dan strok.

Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh amalkan pisang bagi melawan kolesterol jahat.

Menurut kajian dalam The Journal of Nutrition, pisang mengandugi phytosterol iaitu komponen yang mampu mengurangkan kesan kolesterol jahat.

9. Baik Untuk Kesihatan Mata

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya pisang juga baik untuk kesihatan mata!

Kandungan vitamin A dan C dalam pisang merupakan nutrisi penting untuk mata yang sihat.

Di samping itu, pisang juga mengandungi antioksida penting iaitu beta carotene yang bertindak dalam melindungi kerosakan sel.

Khasiat lain dalam pisang seperti Vitamin E dan lutein juga menambahkan lagi kebaikan pada kesihatan mata.

Lutein merupakan nutrisi yang didapati membantu melindungi mata daripada kerosakan makular.

khasiat pisang

Pisang dapat memberikan banyak manfaat kepada tubuh badan.

Ia juga mampu membekalkan pelbagai nutrien penting seperti vitamin c, folat, kalium dan magnesium.

Tak hanya itu, pisang juga didapati sesuai dijadikan snek berkhasiat selepas sesi senaman.

Namun, pisang tidaklah sesuai untuk orang yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti pesakit buah pinggang dan migrain.

Pesakit diabetes juga perlu menghadkan pengambilan buah pisang kerana kandungan karbohidrat dan nilai glisemiknya yang tinggi iaitu 51.

Sumber :

11 Evidence-Based Health Benefits of Bananas

https://www.healthline.com/nutrition/11-proven-benefits-of-bananas

Amazing Things That Happen to Your Body When You Eat Bananas

https://www.eatthis.com/benefits-of-bananas/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85