Khasiat Sumac, Sejenis Herba Yang Kaya Vitamin C
Sumac adalah merupakan sejenis tumbuhan berbunga, berbentuk seperti buah beri dan mempunyai genera yang berkaitan dalam keluarga gajus (Anacardiaceae ). Biasanya ia akan dikeringkan dan dikisar sehingga menjadi serbuk.
Antara kegunaan Sumac adalah; sesuai dijadikan rempah untuk masakan, pewarna, dan turut digunakan dalam perubatan. Ia digunakan sebagai pewarna makanan kerana mempunyai warna merah terang.
Sumac mempunyai rasa yang lebih kurang sama seperti lemon namun tidak semasam lemon. Ia sering dicampur bersama rempah-rempah lain untuk dijadikan pewarna merah yang masam untuk digunakan dalam pelbagai jenis masakan.
Jom ketahui khasiat sumac seperti yang telah disenaraikan dibawah.
Khasiat Sumac
- Membantu Mencegah & Melegakan Batuk
Sumac mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi untuk membantu menguatkan sistem imunisasi tubuh sekaligus mencegah penyakit seperti demam dan batuk.
Ia juga mengandungi thymol, geraniol dan carvacrol yang didapati mampu merawat penyakit seperti batuk, sakit tekak dan sesak dada.
- Tinggi Kandungan Antioksida
Mengandungi antioksida yang tinggi, Sumac sememangnya terbukti dapat mengurangkan risiko penyakit seperti osteoarthritis, penyakit jantung serta kanser.
Ini menambahkan lagi manfaat Sumac untuk melindungi tubuh daripada penyakit yang tidak diingini. Kajian mendapati bahawa ekstrak sumac mempunyai aktiviti antioksida yang tinggi di mana ianya mampu untuk menghalang aktiviti radikal bebas.
- Bersifat Anti-mikrob & Anti-kulat
Sifat anti-mikrob yang terdapat dalam sumac dapat membantu mencegah jangkitan bakteria sekaligus mencegah penyakit yang disebabkan oleh bakteria tersebut seperti cirit birit, pneumonia dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, sumac juga bersifat anti kulat yang boleh mencegah jangkitan kulat pada manusia. Ini melengkapkan lagi perlindungan yang mampu diberikan oleh buah ini. Ekstrak sumac berkesan untuk menghalang aktiviti kulat seperti Alpergillus flavus, Candida albicans dan Penicillium citrinum.
Kulat ataupun fungi adalah merupakan sejenis organisma kecil yang boleh didapati pada udara, air dan pada badan manusia.
- Mampu Membantu Mengawal Paras Gula & Kolesterol
Diabetes adalah merupakan salah satu penyakit yang sering dialami oleh rakyat Malaysia. Ia disebabkan oleh paras gula di dalam darah melebihi paras normal, kekurangan insulin ataupun insulin menjadi kurang sensitif.
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa pengambilan sumac secara konsisten mampu menstabilkan paras gula dan membantu di dalam penurunan HbA1c darah.
Bukan itu sahaja, sumac juga mampu mengawal paras kolesterol dalam darah. Kadar kolesterol yang tinggi dan tidak terkawal boleh meningkatkan risiko untuk mendapat beberapa penyakit lain terutama yang berkait dengan jantung.
Pengambilan sumac dapat meningkatkan paras kolesterol baik (HDL) dan menurunkan paras kolesterol tidak baik (LDL).
Sumac juga mengandungi omega-3 dan asid docosahexaenoic yang bermanfaat untuk menjaga kesihatan jantung.
- Melegakan Sakit Otot
Kandungan nutrisi yang terdapat dalam ekstrak sumac berpotensi untuk melegakan sakit otot terutamanya semasa anda sedang melakukan aktiviti lasak.
- Mengatasi Masalah Penghadaman
Dalam perubatan tradisional, sumac juga digunakan untuk melegakan sakit perut, kembung perut, sembelit dan lain-lain.
Ia juga dipercayai boleh membantu mengurangkan simptom haid yang teruk seperti senggugut dan juga merawat discaj yang berlebihan daripada vagina.
- Baik Untuk Kesihatan Tulang
Seiring usia bertambah, masalah tulang adalah antara perkara yang tidak dapat dielakkan. Antara penyakit berkaitan tulang yang sering dialami ialah osteoporosis atau tulang rapuh.
Pengambilan herba sumac ini didapati dapat mengatasi masalah kerapuhan tulang dengan mengurangkan risiko kehilangan jisim tulang yang boleh menyebabkan tulang rapuh.
Kesimpulan
Khasiat sumac untuk kesihatan sememangnya begitu banyak sekali dan tidak salah dicuba untuk menjadi salah satu ikhtiar dalam rawatan. Namun, anda tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap herba ini kerana masih banyak kajian dan penelitian yang perlu dilakukan bagi mengetahui keberkesanannya.
Penjagaan kesihatan bermula daripada diri kita sendiri. Oleh itu, amalkan gaya hidup dan pemakanna yang sihat bermula sekarang.
Sumber: