7 Khasiat Sumac, Sejenis Rempah Timur Tengah Yang Kaya Anti Oksidan

Sehingga hari ini vaksin COVID-19 masih lagi belum ditemui, namun ada pihak yang mendakwa bahawa khasiat sumac mampu menjadi penawar bagi wabak tersebut.

Mungkin ramai antara kita yang tak pernah tahu kewujudan sejenis herba sumac ini, malah nak menyebut perkataannya pun kita tak pasti.

Jadi, jom kita baca selanjutnya tentang khasiat sumac secara saintifik dan apakah benar ianya mampu merawat Coronavirus seperti yang ditularkan di media sosial.

Apakah Sumac?

Tahukah anda, sumac juga dikenali dengan beberapa ejaan lain seperti sumach, sumak, soumak, atau sumaq ini dijejaki etimologinya daripada Perancis Lama, Bahasa Syria atau Arab سُمَّاق‎ (summāq) yang bermaksud ‘merah’.

Rempah ini terkenal di Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Utara.

Ia mempunyai rasa masam seakan lemon dan sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan.

Secara botaninya, sumac adalah pokok renek dan kecil yang mempunyai ciri berikut

  • boleh mencapai ketinggian 1–10 m
  • daunnya berpilin
  • bunganya padat dan sangat kecil, kehijauan, putih krim atau merah dengan 5 kelopak
  • buahnya membentuk kelompok padat buah berbiji merah
  • rempah sumac didapati daripada biji kering pohon Rhus coriaria, iaitu nama saintifiknya

7 Khasiat Sumac Yang Luarbiasa Untuk Kesihatan

Rempah ini telah digunakan sejak sekian lama bukan hanya kerana warna dan rasanya yang menaikkan lagi selera dalam hidangan, tetapi juga pelbagai kelebihan sumac terhadap kesihatan.

Berikut adalah antara khasiat sumac yang telah dikaji secara saintifik.

1. Mengawal Kandungan Gula Dalam Darah

Menurut Dr. Josh Axe menerusi Dr. Axe.com, terdapat kajian telah membuktikan bahawa khasiat sumac dapat membantu mengekalkan bacaan gula normal dalam darah, serta membantu menurunkan kadar gula sehingga 13%.

Hal ini turut disokong oleh sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2014 menerusi Journal of Research in Medical Sciences, di mana ia dikatakan berpotensi mengawal kadar insulin dan menstabilkan kadar gula dalam darah.

2. Kaya Anti-Oksidan

Salah satu kelebihan sumac juga adalah kerana kandungan anti oksidannya yang tinggi berbanding kebanyakan herba dan rempah lain.

Menurut sumber, kandungan anti oksidan yang terdapat dalam sumac adalah melebihi kayu manis, oregano, acai berry serta banyak lagi buah-buahan dan sayuran lain.

Apa kelebihan makanan yang kaya anti-oksidan ini?

Antaranya dapat mencegah penyakit jantung, melawan radikal bebas yang menyebabkan kanser dan mengurangkan gejala osteoarthritis.

3. Mengurangkan Kadar Kolesterol

Dalam sebuah penelitian oleh Tehran University of Medical Sciences di Iran, antara khasiat sumac yang telah didapati adalah ia berupaya mengurangkan kadar kolesterol dan trigliserida.

Seperti yang kita tahu, kadar kolesterol yang terlalu tinggi dalam arteri akan membentuk sumbatan pada otot jantung hingga terpaksa bekerja lebih keras sekaligus menjadi faktor risiko terhadap penyakit jantung .

4. Digunakan Secara Tradisional Untuk Kesihatan Wanita

Sumac juga boleh dijadikan jus atau teh dan ia digunakan secara turun-temurun untuk merawat masalah kesihatan wanita, menambah susu ibu, mengurangkan senggugut dan cramp.

Ia turut digunakan secara luaran untuk mengatasi masalah discaj vagina yang berlebihan.

5. Membantu Kekuatan Tulang

Terdapat kajian mendakwa sumac berpotensi digunakan untuk meningkatkan kekuatan tulang.

Ini kerana ia mampu mencegah pereputan tulang serta menghilangkan risiko kehilangan jisim tulang.

6. Tinggi Vitamin C

Jus sumac biasa dijadikan minuman oleh orang asli Amerika untuk merawat demam, batuk dan penyakit skurvi oleh kerana sifatnya yang kaya dengan vitamin C.

7. Mengurangkan Kesakitan Otot

Dalam Hungarian Academy of Sciences, kajian mendapati bahawa jus sumac mampu mengurangkan kesakitan otot yang dialami selepas bersenam.

Disebabkan kandungan anti-oksidannya yang tinggi, ia turut membantu mengurangkan inflamasi dalam memberi kelegaan kepada sesiapa yang mengambilnya secara sederhana.

Bolehkah Sumac Merawat COVID-19?

Walaupun banyak khasiat sumac sama ada secara saintifik mahupun tradisional, namun masih belum ada kajian secara spesifik yang membuktikan bahawa ia mampu merawat atau menyembuhkan COVID-19.

Ini kerana COVID-19 adalah penyakit yang baru dikesan dan masih terlalu banyak tidak diketahui mengenainya.

Sebarang ubat-ubatan yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit, termasuk coronavirus (COVID 19) perlu menjalani ujian klinikal dan menepati piawaian badan khas sebelum diluluskan untuk kegunaan ramai.

Kesimpulannya, tak salah jika kita mahu memakan sumac untuk mendapatkan manfaat kesihatannya namun ia belum terbukti sebagai penawar COVID-19 yang disahkan secara klinikal ya!

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazurah Hassan
Nazurah Hassan

Berpengalaman sebagai pegawai penyelidik, kini mengurus keluarga sambil menulis artikel online. Hasil penulisan pernah diterbitkan di portal online TheAsianParent.com, PantangPlus.com, TZKRH, Majalah Labur dan SirapLimau.

Articles: 10