Herba Berbau Unik Dari Sabah, Ini Khasiat Tuhau dan Potensinya Pada Kesihatan

Anda pernah dengar tentang herba dari Sabah yang bernama tuhau ? Tuhau dengan nama saintifinya Etlingera coccinea merupakan herba yang tidak asing lagi bagi kaum Kadazan dan Dusun.

Tergolong dalam keluarga halia (Zingiberaceae), tuhau merupakan herba yang cukup terkenal di negeri di bawah bayu itu.

Tidak hanya terkenal di Sabah,  herba ini juga dikenali di kalangan Sarawak dengan nama tepus.  

Tumbuhan ini hidup meliar di dalam hutan hujan di sekitar Kepulauan Bornero, terutamanya di Tambunan, Ranau dan Keningau.

khasiat tuhau
Kredit Foto : Facebook Cafe Toud Tokou

Disebabkan permintaan tuhau yang semakin meningkat, ramai penduduk Sabah yang turut menanam tuhau untuk tujuan komersial.

Ia juga boleh dibeli di pasar pagi bersama ulam dan hasil tanaman lain.

Baca Juga : Baik Untuk Badan Dan Otak, Ini Khasiat Daun Selom Yang Anda Perlu Tahu

Bagi yang tidak pernah melihat pokok tuhau, ia boleh dibayangkan seperti pokok kantan kerana rupanya yang agak sama namun saiznya lebih besar.

Bagi masyarakat Kadazan dan Dusun, tuhau sering digunakan di dalam hidangan serta popular sebagai ramuan dalam makanan tahan lama seperti jeruk, serunding dan acar.

Kredit Foto : Facebook Sabah Food Industries

Rasanya pula dikatakan pedas masam. Umbut tuhau boleh dimakan mentah sebagai ulam dan sesuai dipadankan dengan hidangan ringkas seperti nasi panas serta ikan goreng.

 Menurut masyarakat Sabah, tidak semua orang boleh terima rasa tuhau kerana ia juga mempunyai bau yang agak kuat.

Ada juga yang katakan baunya mirip seperti bau serangga atau daun ketumbar.

Ia sering digunakan dalam rawatan tradisional bagi merawat sakit perut, keracunan serta gastrik.

Pucuk tuhau muda juga sering digunakan untuk merawat luka dengan cara merendamkannya ke dalam air.

Para wanita juga turut memanfaatkan tuhau untuk membuang bau kurang menyenangkan dari badan ketika berpantang.

khasiat tuhau

Selain dikomersial dalam industri pemakanan, tuhau juga kini mula mendapat tempat sebagai bahan produk kecantikan seperti skrub dan kosmetik.

Walaupun kajian masih jarang dilakukan bagi mengenalpasti khasiat tuhau pada kesihatan, ia dikatakan baik untuk mencuci darah yang kotor, serta menstabilkan tekanan darah.

 Dengan kandungan serat sebanyak 19.8 gram bagi setiap 100 gram tuhau, tumbuhan ini boleh dijadikan sumber serat yang baik bagi melancarkan sistem pencernaan dan bagi mengelakkan pelbagai penyakit berkaitan perut seperti sembelit dan kembung perut.

Ia juga didapati kaya dengan khasiat vitamin dan mineral seperti kalium dan vitamin B1.

Potensi Khasiat Tuhau Pada Kesihatan

1. Sumber Antioksida Yang Baik

Antioksida memainkan peranan penting pada tubuh dengan mencegah aktiviti radikal bebas, menguatkan sistem imuniti serta mencegah keradangan.

Menerusi kajian yang diterbitkan oleh Jurnal Sains Kesihatan Malaysia, ekstrak daun tuhau didapati kaya dengan sebatian antioksida iaitu fenol dan flavonoid.

 Dalam kajian ini, kepekatan antioksida yang rendah dari ekstrak daun tuhau didapati berpotensi dalam mencegah aktiviti radikal bebas yang boleh mengakibatkan penyakit kronik.

Namun, kajian yang lebih terperinci perlulah dijalankan bagi mengenalpasti manfaat antioksidanya dengan lebih jelas.

2. Berpotensi Sebagai Antibakteria

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah pula melihatkan potensi tuhau dalam menghapuskan pembiakan bakteria seperti seperti S. aureus dan Candida albicans yang sering menjadi punca bagi penyakit kulit.

Sebagai rakyat Malaysia, adalah tanggungjawab kita untuk meraikan kepelbagaian tumbuhan tempatan yang tinggi khasiat seperti tuhau.

Memang rugi jika kita tidak rasakan sendiri keistimewaan yang ditawarkan oleh tumbuhan unik dari Sabah ini.

Ia juga dikatakan baik untuk kesihatan perut dan kaya dengan khasiat antioksida serta vitamin B1.

Kredit Foto : Cili Tuhau Sabah

Walaupun sukar untuk kita ke Sabah untuk dapatkannya, kini semua orang boleh nikmati khasiat tuhau dengan lebih mudah dengan penjualan tuhau secara komersial.

 Bagi menambah rasa dan memastikan ia tahan lama, ia juga telah diolah menjadi pelbagai produk makanan seperti jeruk, sambal dan serunding yang mudah untuk dinikmati.

Jangan lupa untuk dapatkan tuhau dan alami sendiri keenakan herba liar dari Sabah ini !

Sumber :

The Protective Effect of ettlingera coccinea (TUHAU) against Autoxidation-induced

Ox Brain Homogenate

http://journalarticle.ukm.my/12938/1/23998-76976-1-PB.pdf

TUHAU DAN KEBAIKANNYA

https://www.facebook.com/JerukTuhauAsadapKopio/photos/105805201950053

Antioxidant and antibacterial properties of tuhau

http://eprints.ums.edu.my/id/eprint/10609/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85