Kurap : Punca, Simptom, Rawatan dan Kaedah Pencegahan

Kurap merupakan jangkitan pada kulit dan boleh dialami oleh sesiapa sahaja.

Penyakit yang juga dikenali dengan istilah perubatannnya tinea corporis merupakan penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan kulat daripada golongan dermatophyte.

kurap
Kredit Foto : healthline.com

Baca Juga : Kudis Buta : Punca, Simptom, Dan Kaedah Rawatan

Memetik portal MyHealth, terdapat tiga jenis dermatophte yang boleh menyebabkan kurap iaitu :

  • Trichophyton
  • Microsporum
  • Epidermophyton

Selain kulit, kulat-kulat ini juga boleh menjangkiti kawasan lain yang sentiasa lembap seperti kuku dan rambut.

Punca Kurap

Penyakit ini boleh merebak pada tubuh apabila seseorang menggaru pada kawasan kulit lain.

Di samping itu, ia juga boleh berjangkit melalui cara berikut :

  • Dari individu lain yang turut dijangkiti kurap
  • Daripada haiwan peliharaan
  • Daripada sentuhan objek yang dicemari kulat. Ia juga boleh melekat pada pakaian, tuala dan sikat.
  • Dari tanah atau permukaan lantai yang kotor akibat tidak memakai kasut

Simptom & Tanda-Tanda Kurap

Kredit Foto : sciencephoto.com
  1. Kulit kemerah-merahan dan bersisik
  2. Kulit rasa gatal-gatal
  3. Timbul bintik-bintik merah atau bisul halus di sekeliling kurap
  4. Tumbuh di mana-mana bahagian termasuklah kawasan yang sering berpeluh dan tertutup seperti punggung, peha dan perut.
  5. Tumbuh tompok-tompok merah pada kulit
  6. Kurap yang semakin teruk boleh membesar dan membentuk gelang kemerah-merahan

Rupanya yang seperti gegelang inilah yang membuatkan ia sinonim dengan panggilan ringworm walaupun ia tiada kena mengena dengan jangkitan cacing.

Kaedah Diagnosis

Memang tidak dinafikan penyakit ini agak sukar untuk dikenal pasti kerana ia boleh menyerupai masalah kulit lain seperti eczema, psoriasis dan kusta.

Oleh itu, doktor perlulah mengambil sedikit sampel kulit yang bermasalah untuk diuji di makmal.

Kaedah Rawatan

kurap
Kredit Foto : cdnparenting.com

Bergantung kepada faktor seperti tahap jangkitan dan kekerapan jangkitan, rawatan bagi jangkitan kurap mungkin berbeza mengikut individu.

Antara rawatan yang sesuai bagi mengatasi masalah ini ialah :

  1. Ubat sapuan krim dengan bahan aktif seperti imidazole, allylamine, tolnaftate and cicloprox adalah sesuai bagi masalah kurap yang melibatkan kawasan kulit terhad.
  2. Pil antikulat fluconazole, itraconazole dan terbinafine untuk mengatasi kurap di banyak kawasan pada kulit.

Harus diingat bahawa ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan tersendiri dan boleh mengganggu interaksi ubat lain yang sedang diambil pesakit.

Pastikan ubat didapati daripada pengamal perubatan bertauliah dan elakkan ubat tanpa preskripsi.

Komplikasi

Meskipun jarang berlaku, komplikasi boleh terjadi pada pesakit dengan sistem pertahanan badan yang lemah.

Golongan ini boleh terdedah kepada jangkitan bawah kulit dan lebih sukar sembuh berbanding orang lain.

Cara Mencegah Kurap

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, anda boleh amalkan beberapa berikut :

  • Pastikan kulit sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kering
  • Elakkan jalan berkaki ayam lebih-lebih lagi di kawasan lembap
  • Tukar stokin dan pakaian dalam sekurang-kurangnya sekali sehari.
  • Basuh tangan dengan air dan sabun selepas bermain dengan haiwan peliharaan. Jika haiwan peliharaan anda turut dijangkiti, rujuklah pada doktor haiwan segera.                     

Biasanya kurap boleh diatasi dengan mudah atas panduan doktor.

Namun, jika gejala masih tidak berkurangan selepas 2 minggu, anda perlulah kembali pada doktor untuk mendapatkan preskripsi ubat yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah ini.    

Sumber :

Kurap

http://www.myhealth.gov.my/tinea-corporis/

Ringworm (body)

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ringworm-body/symptoms-causes/syc-20353780

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85