Doa Akhir Tahun Rumi : Lafaz Bacaan & Amalan di Bulan Muharram

Mengikut takwim tarikh 1 Muharram atau juga dikenali sebagai awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan salah satu daripada hari yang penting bagi seluruh umat Islam. Bersempena dengan hari tersebut, umat Islam sangat digalakkan untuk membaca doa akhir tahun dan awal tahun.

Doa akhir tahun

“Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, Wassolatu wassalamu ‘ala sayyidina Muhammadin wa ‘ala aalihi wasohbihi ajmain. Allahumma maa ‘amilna fii hazihis sanati mimma nahaitana ‘anhu, Falam natub minhu walam tardohu walam nashasu. Wahalumta ‘alaina ba’da qudrotika, ‘ala ‘uquubatinaa, wada’utana Ilat taubati minhu ba’da jur atina ‘ala maghsiyatika. Fainnana nastaghfiruka faghfirlana, wamaa ‘amilna fiihaa mimma tardohu wawa ‘adtana ‘alaihit tawwab, Fanas aluka Allahumma Ya Karimu Ya Dzal Jalaali Wal Ikramm. An tataqobbalahu minna walaa taqtogh rajaa ana minka Ya Karim. Rabbanaa aatina fiddunya hasanatan wa fil aakhirati hasanatan waqina ‘aazabannar. Was sollallahu ‘ala sayyidinaa Muhammadin aa ‘ala aalihi wasohbihi ajmain. Walhamdulillahi rabbil ‘alamin”

Maksudnya: “Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta para keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah, segala yang telah kami kerjakan selama ini dari apa yang menjadi larangan Mu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakan dan Engkau bersabar (dengan kasih Sayang Mu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk kami, dan Engkau telah mengajak kami untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat.

Kerana itu ya Allah, kami mohon ampunanMu dan berilah ampun kepada kami dengan kemurahan Mu. Segala apa yang telah kami kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau redhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, kami memohon kepada Mu, wahai Zat Yang Maha Pemurah,

Wahai Zat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepada Mu, wahai Zat Yang Maha Pemurah. Ya Allah, berikan kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di Akhirat, serta jauhkan kami dari azab api neraka.

Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad, Keluarga dan sahabatnya. Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.”

Peristiwa awal Muharram

Muharram adalah bulan pertama dalam takwim hijrah. Nama lain yang turut digelar kepadanya adalah bulan Allah atau ‘syahrullah’. Perkataan Muharram itu sendiri bermaksud “Diharamkam” iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah.

Terdapata dua peristiwa penting yang kita sebagai umat Islam perlu ingati. Pertama, Muharram adalah satu dari empat bulan yang dimuliakan dan diagungkan oleh Allah SWT dan Rasul Nya sebagai bulan haram.

Kedua, Muharram juga merupakan bulan di mana peristiwa Hijrah Rasulullah SAW daripada Kota Mekah dan Madinah berlaku pada tahun 622 Masihi.

Menghayati sambutan Maal Hijrah

Secara umumnya, sambutan Maal Hijrah disambut atas tanda memperingati peristiwa Rasulullah SAW dan para sahabat yang melakukan hijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah bermaksud perpindahan daripada satu tempat ke tempat yang lain.

Bahkan penghjrahan juga akan memberi makna berubah kepada satu keadaan yang lebih baik dari sebelumnya. Hikmah hijrah pada zaman Nabi SAW sangat besar di mana kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, kewujudan surah Makkiyah dan Madaniyah di dalam al-Quran, dan agama Islam telah tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia, berhijrahlah dan berpegang teguhlah dengan Islam. Ini adalah kerana selama jihad kekal, selama itulah hijrah (keluar di jalan Allah SWT) akan berkekalan.” – (Hadis Riwayat Tabrani)

Amalan sunat

Amalan sunat yang sangat digalakkan sepanjang bulan ini adalah dengan melaksanakan puasa sunat. Rasulullah SAW berkata, bulan yang paling baik untuk berpuasa selepas Ramadan ialah puasa pada Muharram.

Tarikh 9,10, dan 11 Muharram adalah waktu yang disunatkan untuk berpuasa mengikut mazhab Syafie. Bahkan 10 Muharram juga dipanggil As-Asyura. Dan antara kelebihan terbesar pada hari tersebut adalah diberikan keampunan dosa bagi tahun yang lalu.

Dari Abu Qatadah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

“Dan berpuasa pada hari Asyura’ seseungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya.” – (Hadis Riayat Muslim)

Amalan sunat lain yang boleh dilakukan adalah seperti:

  • Melakukan sembahyang sunat
  • Berpuasa
  • Menghubungkan silaturrahim
  • Bersedekah
  • Membersihkan diri (mandi sunat)
  • Memakai celak (bagi lelaki)
  • Menziarahi orang-orang alim
  • Menziarahi orang-orang sakit
  • Menyapu kepala anak-anak yatim
  • Meluaskan makanan kepada ahli keluarga
  • Memotong kuku
  • Memperbanyakkan baca Al-Quran

Kesimpulan

Mari kita sambut kedatangan tahun baru Hijrah dengan amal kebaikan yang berlipat kali ganda agar pahalanya juga boleh kita peroleh sebanyak yang mampu. Apa yang penting, jadikanlah tahun baru ini sebagai penghijrahan yang terbaik dalam kehidupan kita untuk lebih bertakwa dan bertambah keimanan lagi kepada Allah SWT.

Rujukan

  1. Muharram Tahun Baharu Umat Islam (Ogos 9). Harakahdaily dari, https://harakahdaily.net/index.php/2021/08/09/muharram-tahun-baharu-umat-islam/
  2. Kelebihan & Amalan Di Bulan Muharram Selain Daripada Membaca Doa AKhir Serta Awal Tahun. Seismik dari, https://says.com/my/seismik/kelebihan-amalan-di-bulan-muharram-selain-daripada-membaca-doa-akhir-serta-awal-tahun
  3. Bayan Linnas Siri Ke-39: 10 Muharram: Kelebihan & Faktanya. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1821-bayan-linnas-ke-39-10-muharram-kelebihan-faktanya
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113