Kanak-kanak dan permainan tidak dapat dipisahkan. Ia bukan sahaja memberi keseronokan tetapi juga berperanan membantu perkembangan diri dan minda kanak-kanak.

Walaubagaimanapun, sebagai ibu bapa anda perlu bijak dalam memilih mainan untuk anak-anak anda. Hal ini kerana, terdapat mainan kanak-kanak yang tidak sesuai dan selamat untuk anak anda terutamanya yang masih berusia dibawah 5 tahun. 

Oleh itu, anda perlu mengambil setiap langkah wajar bagi memastikan alat permainan mereka adalah selamat dan bersesuaian dengan usia serta peringkat perkembangannya.

Mainan Kanak-kanak Yang Selamat & Sesuai Mengikut Umur 

Mainan yang digunakan perlu sesuai dengan usia mereka untuk membantu perkembangan mereka. Bukan itu sahaja, mainan tersebut juga perlu mempunyai ciri-ciri keselamatan untuk digunakan. Dengan itu, anak anda kurang terdedah kepada bahaya daripada barang mainan dan boleh gembira bermain serta memperolehi manfaat daripadanya.

Untuk memastikan anda memilih alat permainan yang selamat adalah dengan membaca label dengan teliti. Pastikan mainan tersebut:

  • Bersesuaian dengan usia anak anda; barang mainan untuk kanak-kanak yang lebih tua mungkin berbahaya di tangan kanak-kanak muda.
  • Cukup besar supaya tidak boleh tercekik.
  • Tidak berantai atau bertali panjang yang boleh menyebabkan bahaya terjerut. Panjangnya tidak patut melebihi 30cm.
  • Mainan disumbat boleh dicuci, tidak mengandungi stapel di dalamnya dan bahagian kecil yang dijahit tidak mudah ditanggalkan.
  • Dicat dengan cat bebas plumbum dan tidak mengelupas.
  • Tidak mempunyai pin, stapel atau paku yang terdedah.
  • Diperbuat daripada bahan-bahan tidak bertoksik.

Berikut pula ialah alat permainan yang sesuai mengikut usia:

  • 0-6 bulan – Bayi akan belajar mencapai dan menggenggam apa yang mereka lihat (koordinasi mata-tangan). Barang mainan yang sesuai termasuk kerincing ringan, alat permainan daripada getah yang berciut-ciut, kotak-kotak dan barang permainan untuk tab mandi yang boleh timbul.
  • 6-8 bulan – Kini bayi sudah boleh memegang barang mainan kecil; mereka suka memindahkan barang permainan daripada tangan ke tangan. Cuba bola ringan diperbuat daripada kain, blok bergambar dan barang permainan mobil (yang boleh ditolak ke sana ke mari).
  • 8-18 bulan – Bayi mula bereksperimen dengan saiz, bentuk dan ruang. Barang mainan sesuai adalah jenis tolak/tarik (seperti troli kecil), blok-blok, gegelung pada tiang, penyusun bentuk, barang mainan mudah dicerai dan buku bergambar.
  • 18-24 bulan – Kanak-kanak bertatih suka berimaginasi. Anda boleh dapatkan anak patung, set permainan dapur/minum teh, permainan rumah dan kereta mainan (seperti set keretapi, lori) untuk anak.
  • 2-4 tahun – Kanak-kanak bertatih akan mengembangkan kemahiran dalam pelbagai bidang. Ibu bapa boleh memberi alat permainan yang membantu perkembangan kanak-kanak, seperti bahan seni untuk membentuk kreativiti, teka-teki mudah dan set pembinaan untuk membantu kemahiran motor halus dan kasar, set bola keranjang miniatur serta peralatan permainan luar untuk melatih kemahiran fizikal.

Bahaya Alat Permainan yang Perlu Diawasi

Berikut adalah beberapa jenis alatan yang perlu dijauhkan daripada anak kecil anda.

  • Alat permainan yang mempunyai bucu tajam; Boleh mencederakan, mencucuk atau menikam anak anda secara tidak sengaja. 
  • Alat permainan diperbuat daripada gelas atau plastik rapuh; mudah pecah dan meninggalkan penjuru atau bucu tajam.
  • Pakaian dan aksesori anak patung yang mempunyai pin dan stapel.
  • Anak panah dan damak yang bukan untuk kanak-kanak.
  • Objek kecil; Boleh menyebabkan tercekik.
  • Alat permainan kecil dan mempunyai bahagian kecil yang mudah terkeluar.
  • Until-until kecil di dalam mainan lembut sumbat boleh terkeluar akibat pembuatan yang kurang baik.
  • Alat permainan yang mengeluarkan bunyi kuat; Boleh menyebabkan kerosakan pendengaran.
  • Kerincing, barang permainan berciut-ciut dan bermuzik yang menghasilkan bunyi kuat.

Kesimpulan 

Pemilihan alat permainan yang sesuai dan selamat untuk anak-anak sangat penting. Di Amerika Syarikat, dalam tahun 2008, telah dianggarkan sebanyak 235,300 kecederaan berkaitan dengan, walaupun tidak semestinya akibat barang permainan dirawat di jabatan kecemasan.

Lebih kurang 35% daripadanya berlaku pada kanak-kanak yang lebih kecil daripada 5 tahun.

Bahagian yang paling lazim terjejas adalah kepala dan muka, malah terdapat juga beberapa kes kematian berkaitan dengan alat permainan dalam kanak-kanak daripada usia 8 bulan hingga 9 tahun.

Oleh itu, sebagai ibu bapa anda perlu sentiasa berjaga-jaga agar tidak berlaku perkara yang boleh memudaratkan anak anda. 

Sumber: United States Consumer Product Safety Commission (US CPSC)

Leave a comment

Your email address will not be published.