Makanan Untuk Kencing Manis Yang Baik Dan Perlu Dihindarkan? 16 Jenis Hidangan Ini Pasti Buat Anda Pelik
Nak makan ini takut, nak makan itu pun takut. Ishhh… stressnya kalau ada kencing manis ni! Sabar dulu, jangan panik. Pesakit kencing manis bukannya tak boleh makan semua makanan tetapi ada tips yang perlu anda ikut. Jom kita tengok senarai makanan untuk kencing manis yang baik dan yang perlu dihindarkan.
Apa itu kencing manis?
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.
Populasi ini adalah yang sangat membimbangkan kerana setiap tahun peratusan akan meningkat di tahap yang teruk.
Diabetes Melllitus (DM) adalah satu keadaan di mana sekumpulan penyakit metabolisma yang dicirikan dengan kandungan gula dalam darah yang tinggi untuk jangka masa panjang (kronik).
Ramai orang tidak ambil serius penyakit ini kerana mereka lihat ahli keluarga sendiri dapat hidup dengan normal walaupun menghidapinya.
Namun hakikat yang tidak mereka tahu untuk jangka masa panjang, kencing manis membawa komplikasi yang teruk kepada pelbagai jenis penyakit seperti tekanan darah tinggi (hipertensi), gangguan saraf, katarak, kegagalan fungsi buah pinggang, serangan jantung, dan pendarahan dalam otak sehingga membawa maut.
3 peringkat penyakit kencing manis
- Diabetes Mellitus jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus, T1DM)
- Diabetes Mellitus jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus,T2DM)
- Diabetes Mellitus ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus, GDM)
Apa yang perlu seorang pesakit itu buat untuk kawal gula dalam darah dan kolesterol adalah dengan kawal juga pengambilan makanan yang lebih sihat, teratur, dan sesuai.
Makanan bagi pesakit kencing manis perlulah seimbang, berzat, asli. Makanan ini haruslah bersifat ‘wholefood’ iaitu tidak diproses secara kimia, ‘refined’, ‘polished’ sehingga menyingkirkan sebahagian besar zat, vitamin, mineral, serat dan kandungan phytonutrien yang bermanfaat seperti antioksidan.
Ianya penting kerana boleh membantu indeks glycemik yang tinggi dengan penghadaman karbohidrat serta penyerapan glukos dalam darah berlaku secara perlahan menjadikan tahap insulin dalam darah normal dan stabil.
Senarai makanan untuk kencing manis yang diambil secara bebas
Berikut adalah senarai makanan untuk kencing manis yang boleh diambil tanpa mengikut sukatan atau bebas dalam apa-apa hidangan:
1. Sayur-sayuran
Makan apa sahaja jenis sayur-sayuran, tiada kesan yang buruk kepada anda yang sihat atau mempunyai sakit kencing manis. Sekiranya anda tidak biasa makan sayur, cuba ubah ambil hidangan itu secara berperingkat.
Misalnya sehari 1 hidangan, kemudian tingkatkan lagi sehingga 5 – 7 hidangan sehari. Terdapat bukti baru bahawa mendapatkan tujuh hidangan sayur-sayuran setiap hari adalah lebih baik untuk kesihatan anda.
Hal ini kerana, sayur-sayuran kurang lemak dan kalori, tinggi serat, vitamin, mineral, dan ada nutrien lain yang kuat.
Ia membantu memerangi penyakit, mengurangkan dan menstabilkan gula dalam darah, serta mengekalkan berat badan yang sihat.
2. Minuman tanpa gula
Bosankan semua minuman manis tidak boleh minum. Asyik air masak sahaja mestilah kita kadang kala teringin juga nak minum air yang berperisa.
Tiada masalah untuk minum minuman tanpa gula seperti teh cina, teh biasa, barli, kopi, dan sebagainya. Pastikan sahaja tiada gula dalam minuman tersebut.
3. Rempah dan herba
Rempah-ratus dan herba dalam masakan seperti serbuk cili, serbuk kayu, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, ketumbar, halia, serai, kunyit, jintan, lada hitam, lada putih, asam, lengkuas, dan sebagainya boleh dimakan.
4. Sumber protein
Semua daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan lemak, tauhu, telur, ikan serta ikan bilis juga sesuai untuk pesakit kencing manis.
Senarai makanan untuk kencing manis yang diambil ikut sukatan
Berikut adalah senarai makanan untuk kencing manis yang memerlukan sukatan tertentu iaitu direndahkan dari biasa untuk kawal gula dalam darah:
1. Bijirin
Walaupun bijirin banyak diambil ketika sarapan pagi, namun bagi pesakit kencing manis ia bukanlah pilihan yang tepat setiap hari.
Penghidap diabetes perlu mengambil makanan yang rendah karbohidrat dan kaya dengan protein.
2. Nasi
Hormon insulin bagi pesakit kencing manis biasanya tidak mencukupi atau tidak bertindak balas untuk menukarkan glukosa dalam darah ke dalam bentuk tenaga dengan efisien.
Oleh sebab itu, penghidap kencing manis disarankan untuk mengurangkan makanan yang mempunyai glukosa yang tinggi seperti nasi.
Namun pesakit kencing manis boleh ambil jenis beras yang kurang kanji seperti beras basmathi dan beras perang.
3. Buah-buahan
Buah memang baik untuk vitamin dalam badan tetapi bagi pesakit diabetes tidak semua buah boleh mereka makan.
Buah yang sesuai untuk kencing manis adalah seperti epal hijau, oren, jambu batu, pir, peach, kiwi, buah-buahan beri, nangka, belimbing, dan nenas.
4. Kekacang
Kurangkan kuantiti dan pastikan kualiti kacang yang diambil ini di tahap paling ideal untuk elak sebarang komplikasi lain.
5. Produk tenusu
Kencing manis boleh meningkatkan risiko tulang dan sendi rapuh akibat osteoporosis. Namun begitu, tidak semua produk tenusu sesuai untuk pesakit diabetes.
Bagi penderita diabetes, sebaik-baiknya pilih susu rendah lemak yang tidak mengandungi gula tambahan.
6. Makanan dari tepung
Roti bukan dari sumber gandum, nasi dan pasta ialah makanan berkarbohidrat tinggi yang telah terbukti meningkatkan paras gula dalam darah serta mengurangkan fungsi otak pada penghidap diabetes tahap 2.
7. Pelbagai jenis mee
Pasta, makaroni, spageti, mi, bihun, kuetiau, laksa, dan sebagai boleh diambil tetapi pada sukatan yang betul dan bukannya setiap hari dalam hidangan harian.
8. Ubi-ubian
Sayuran berkanji seperti ubi kentang, ubi kayu, keledek, dan keladi mempunyai kadar karbohidrat yang sangat tinggi.
Hidangan ini perlu diambil tidak terlalu banyak serta dimasak dengan cara sihat seperti dibakar atau dipanggang.
Jauhi ubi kentang yang diproses seperti snek kerepek kentang, dan kentang frozen kerana banyak gula dan lemak.
Senarai makanan untuk kencing manis yang perlu dielakkan
Berikut adalah senarai makanan yang perlu dielakkan jika anda mempunyai sakit kencing manis kerana ia akan membawa paras gula dalam darah meningkat secara mendadak:
1. Semua jenis gula
Apa sahaja jenis gula seperti gula pasir, gula halus, gula aising, gula kastor, gula perang, gula melaka, gula merah, sirap emas, gula hitam, dan sirap gula perlu dijauhkan dari pesakit kencing manis.
2. Makanan dan minuman yang manis
Makanan dan minuman yang manis termasuklah minuman berkarbonat dan kordial juga perlu dielakkan kerana tinggi kandungan gula.
3. Sapuan roti
Sapuan roti atau jem roti pelbagai perisa banyak di jual dipasaran. Memang selalunya berpinar-pinar mata kita melihatnya untuk beli dan rasa.
Tetapi ingat nampak macam berkhasiat kerana terdiri dari buah-buahan tetapi ianya bukan buah asli sebaliknya gula perasa.
4. Pencuci mulut
Pencuci mulut memang sedap dipandang dan dimakan. Tetapi berhati-hatilah kerana ianya mempunyai kadar gula yang sangat tinggi.
Kesimpulan
Ingat apa pun keadaan anda sihat atau berpenyakit, perlu sentiasa amalkan sukatan makanan yang betul iaitu suku-suku separuh 1/4 pinggan bijirin, 1/4 pinggan ikan, 1/2 pinggan buah dan sayur. Bagi pesakit diebetes lebihkan pada sayur-sayuran dan kurangkan bijiran dalam hidangan.
Diharapkan artikel berkenaan dengan makanan untuk kencing manis ini dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang bermanfaat dalam kehidupan yang lebih sihat.
Rujukan
- Diet Untuk Diabetes Mellitus. Kementerian Kesihatan Malaysia
- Diabetic Meal Plan. Ministry of Health Malaysia
- Diabetes Diet: Create Your Healthy-Eating Plan. Mayo Clinic
- The Diabetes Diet. Help Guide