Maksud Syirik: Jenis & Bagaimana Untuk Terhindar Dari Dosa Syirik

Setiap manusia tidak akan terlepas dari berbuat dosa tidak kiralah dosa ringan atau berat. Namun dosa yang boleh menyebabkan keruntuhan akidah sehingga seseorang itu boleh terkeluar dari Islam adalah dosa syirik. Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda tentang apakah maksud syirik dan bagaimana untuk menghindarkan diri dari dosa ini.

Apakah pengertian syirik?

Maksud syirik adalah tindakan mempersekutukan Allah SWT dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, perbuatan dan iktiqad.

Ibnu Taimiyah berkata “Asal syirik adalah bahawa menyamakan Allah SWT dengan makhluk Nya dalam sebahagian perkara yang merupakan hak Nya semata. Hal ini kerana, tidak seorang pun dapat menyamakan Allah SWT dengan makhluk-makhluk dalam masalah apa pun.

Manusia yang melakukan perbuatan syirik ini dipanggil sebagai musyrik. Menyekutukan Allah jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan mengaku diri sebagai Tuhan.

Jenis-jenis syirik

Syirik juga boleh terbahagi kepada dua jenis iaitu yang utama iaitu syirik akhbar dan syirik asghar.

Maksud syirik akhbar: Syirik yang menjai penyebab keluarnya seseorang dari agama Islam.

Contoh syirik akhbar: Menyembah benda seperti kubur, pokok, batu, dan sebagainya. Menganggap diri lebih rendah dari benda-benda.

Maksud syirik asghar: Setiap ucapan atau perbuatan yang dinyatakan syirik oleh syarak tetapi tidak mengeluarkan seseorang itu dari agama Islam.

Contoh syirik asghar: Kebiasaannya syirik ini terjadi apabila seseorang itu melakukan sesuatu dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:

  1. Syirik istiqlal : Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi yang mempercayai adanya Ahura Mazda dan Angra Mainyu.
  2. Syirik tab’id : Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
  3. Syirik taqrib : Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  4. Syirik taqlid : Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain.
  5. Syirik asbab : Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya.
  6. Syirik aghrad : Beramal kerana selain daripada Allah SWT.

Bagi no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Adapun bagi no. 5, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah.

Dosa melakukan syirik dalam Al-Quran

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Penegasan salahnya perbuatan syirik ini juga ada dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” – (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Bahkan mereka yang ingin bertemu dengan Allah SWT juga mestilah bersih dan suci dari dosa-dosa syirik. Ini berdasarkan firman Nya dalam Surah al-Kahfi, ayat 110:

Maksudnya: “Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadahnya.”

Bagaimana untuk tidak terlibat dalam perbuatan syirik?

Untuk terhindar dari perbuatan syirik atau dosa-dosa besar seperti ini, kita haruslah berpegang teguh kepada Rukun Islam dan Rukun Iman. Selain itu, berikut adalah antara langkah yang boleh diambil:

  • Banyakkan berdoa
  • Sentiasa taat pada perintah Allah
  • Menjauhi ilmu hitam dan ajaran sesat
  • Bergaul dengan rakan-rakan yang taat pada Allah
  • Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW
  • Sentiasa merendah diri

Kesimpulan

Sesungguhnya syirik adalah tipu daya syaitan yang ingin menyesatkan manusia kemudian terus hanyut menjadi manusia yang murtad kepada Allah.

Diharapkan artikel berkenaan dengan maksud syirik, jenis-jenis syirik, dan tips untuk terhindar dari dosa ini dapat memberikan anda semua pengetahuan yang bermanfaat untuk meningkatkan lagi keimanan kepada Allah SWT.

Rujukan

  1. Al-Afkar #40: Jenis-jenis Syirik. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Syirik Misi Hidup Syaitan. Addeen.my
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113