Diet Keto: Panduan Ringkas Serta Manfaatnya Terhadap Kesihatan

Diet ketogenic atau diet keto merupakan satu pelan makanan yang memfokuskan pada pengambilan lemak sihat dan protein. 

Diet yang seakan-akan diet Atkins ini memerlukan anda untuk mengurangkan pengambilan karbohidrat.

Tujuan utama diet ini adalah untuk mendapatkan kalori daripada lemak dan bukannya karbohidrat atau gula.

Dengan mengurangkan pengambilan gula, badan akan menggunakan lemak untuk tenaga. Lama-kelamaan, lemak di dalam badan akan dibakar dan menyebabkan penurunan berat badan.

Kajian juga menunjukkan diet rendah karbohidrat ini mungkin bermanfaat untuk mengelakkan kanser, penyakit Alzheimer dan kondisi lain.

Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk menentukan keberkesanan serta keselamatannya dalam jangka masa panjang.

Di dalam artikel kali ini, kami akan menjelaskan lebih lanjut mengenai diet keto serta risikonya terhadap kesihatan.

Bagaimanakah diet keto berfungsi?

diet keto

Apabila anda makan kurang daripada 50 gram karbohidrat sehari, badan kita akan kehabisan sumber tenaga yang boleh digunakan dengan pantas.

Kemudian, badan akan mula menggunakan protein dan membakar lemak untuk menghasilkan tenaga. Ini akan menyebabkan anda kehilangan berat badan. Proses ini turut dikenali sebagai ketosis.

Walau bagaimanapun, diet ketogenik merupakan sejenis diet jangka pendek yang bertujuan untuk menurunkan berat badan semata-mata. Kesan sampingannya terhadap kesihatan masih belum jelas.

Pun begitu, ada penghidap penyakit tertentu seperti epilepsi, sakit jantung dan penyakit yang berkaitan dengan otak yang mungkin akan mendapat manfaat tersendiri dari diet ketogenik.

Diet keto dapat membantu anda menurunkan berat badan dengan pantas dalam masa 3 hingga 6 bulan pertama.

Namun, untuk pesakit diabetes, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat pakar sebelum melakukan diet keto.

Makanan yang perlu dielakkan

Semua makanan yang mengandungi karbohidrat yang tinggi perlu dielakkan. Sebagai contoh:

  1. Makanan bergula: Air berkarbonat, jus buah, smoothies, kek, ais krim, gula-gula.
  2. Makanan berserat: Nasi, pasta, bijirin sarapan pagi.
  3. Buah-buahan kecuali beri dalam jumlah yang sedikit.
  4. Sayur seperti kentang, ubi kayu, lobak merah.
  5. Sos: Sos barbeku, teriyaki, tomato, cili dan sebagainya.
  6. Lemak tidak sihat: Minyak, mayonis.
  7. Semua makanan yang tertulis bebas manisan atau ‘sugar free’.

Makanan yang boleh diambil

diet keto

Sebahagian besar diet anda perlulah berdasarkan makanan ini:

  1. Daging: Daging merah, steak, ayam.
  2. Ikan: Salmon, tuna, mackerel.
  3. Telur: Telur yang kaya dengan asid lemak omega-3.
  4. Keju: Cheddar, mozzarella.
  5. Minyak sihat: Minyak zaitun, minyak kelapa dara, minyak avocado.
  6. Sayuran berkarbohidrat rendah: Tomato, bawang, cili, sayuran berdaun hijau.
  7. Perasa makanan: Garam, herba.

Manfaat diet keto terhadap kesihatan

Tidak dinafikan, diet ketogenik mempunyai manfaatnya yang tersendiri terhadap kesihatan. Sebagai contoh:

1. Dapat membantu mengurangkan berat badan

Diet keto dapat meningkatkan metabolisme badan dan mengurangkan selera makan.

Manakan tidak, pelan makanan diet keto terdiri daripada makanan yang dapat mengurangkan kelaparan.

Sebab itulah, pengamal diet keto dapat menurunkan berat badan dengan pantas.

2. Mengurangkan jerawat

Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan jerawat naik pada wajah. Salah satunya ialah diet dan pengambilan gula yang terlalu banyak.

Malah, diet yang tinggi dengan makanan diproses serta karbohidrat boleh mengganggu keseimbangan bakteria dalam perut. Ini boleh menyebabkan kesihatan kulit turut terganggu.

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Skin Pharmacology and Physiology, dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat, pengamal diet ketogenik boleh mengurangkan simptom jerawat.

3. Mungkin dapat mengurangkan risiko kanser

Saintis di seluruh dunia telah melakukan pelbagai kajian ke atas diet keto serta kemampuannya untuk merawat beberapa jenis kanser.

Menurut kajian, diet ketogenik merupakan satu diet yang selamat untuk pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan kemoterapi dan terapi radiasi.

Selain itu, disebabkan kemampuan diet ini untuk menurunkan kadar gula dalam darah, ia juga boleh mengurangkan risiko komplikasi disebabkan insulin.

Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk mengetahui keupayaan sebenar diet ini di kalangan pesakit kanser.

4. Diet keto dapat meningkatkan kesihatan jantung

diet keto

Apabila seseorang melakukan diet ketogenik, mereka perlu mengamalkan pengambilan makanan yang sihat.

Kajian menunjukkan, makanan sihat seperti avokado, ikan, kekacang dan dada ayam dapat meningkatkan kesihatan jantung dengan cara mengurangkan kolesterol.

Kadar kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Oleh sebab itu, diet keto yang dapat mengurangkan kolesterol mungkin dapat mengurangkan risiko komplikasi jantung.

Rujukan

  1. Foods to Eat on a Ketogenic Diet. (n.d.). Healthline. Retrieved February 13, 2022, from https://www.healthline.com/nutrition/ketogenic-diet-foods#animal-protein
  2. Keto diet: Benefits and nutrients. (n.d.). Medical News Today. Retrieved February 13, 2022, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/319196#4-may-improve-heart-health
  3. The Ketogenic Diet: A Detailed Beginner’s Guide to Keto. Healthline. Retrieved February 13, 2022, from https://www.healthline.com/nutrition/ketogenic-diet-101#sample-plan
  4. Keto Diet: What is a Ketogenic Diet? WebMD. Retrieved February 13, 2022, from https://www.webmd.com/diet/ss/slideshow-ketogenic-diet
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: