Ada Masalah Senggugut? Ketahui Bila Kesakitan Tersebut Menjadi Tidak Normal
Senggugut atau dysmenorrhea merupakan satu masalah lazim dalam kalangan wanita.
Ketika datang haid, wanita akan alami kesakitan yang teruk pada bahagian bawah abdomen. Selalunya, masalah period pain akan berlaku sebelum atau selepas datang bulan.
Pada masa yang sama, wanita juga akan mengalami simptom lain seperti sakit belakang, rasa loya, cirit-birit dan pening kepala.
Namun, jangan keliru antara senggugut dengan premenstrual syndrome (PMS). PMS menyebabkan simptom yang berbeza seperti peningkatan berat badan, kembung perut, mood swing dan keletihan.
Berbeza dengan kesakitan ketika datang bulan, PMS selalunya berlaku 2 minggu sebelum mulanya haid.
Apakah yang menyebabkan senggugut?
Ada dua jenis dysmenorrhea yang perlu wanita ketahui iaitu dysmenorrhea primer dan dysmenorrhea sekunder.
Dysmenorrhea primer merupakan senggugut yang paling lazim dialami wanita. Kondisi ini juga tidak berlaku disebabkan penyakit lain.
Ketika datang bulan, badan akan melepaskan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai prostaglandin. Bahan kimia ini menyebabkan uterus mengembang dan mengecut. Inilah punca rasa sakit ketika wanita datang bulan!
Selalunya, kesakitan ini akan bermula 2 atau 3 hari sebelum period. Kemudian, ia akan kekal selama beberapa hari.
Walau bagaimanapun, ada wanita yang mengalami senggugut dalam tempoh yang lebih panjang.
Ramai wanita yang mengalami period pain ketika mereka remaja.
Namun, ketika menginjak dewasa, masalah senggugut akan berkurangan. Malah, ada juga wanita yang kurang mendapat period pain selepas melahirkan anak.
Dysmenorrhea sekunder pula berlaku apabila wanita menginjak ke usia yang lebih lanjut.
Kondisi ini berlaku disebabkan penyakit yang mempengaruhi organ reproduktif seperti endometriosis atau fibroid uterus.
Kesakitan yang berlaku disebabkan penyakit ini akan menjadi semakin teruk dari semasa ke semasa. Malah, simptom akan bermula ketika datang bulan sehinggalah ia berakhir.
Senggugut yang berlaku disebabkan penyakit
Ada beberapa penyakit yang boleh menyebabkan kesakitan yang teruk sewaktu datang bulan.
Selalunya, penyakit ini akan mempengaruhi wanita yang berusia 30 hingga 45 tahun.
Antara penyakit yang boleh menyebabkan senggugut yang teruk:
1. Endometriosis. Penyakit ini berlaku apabila sel yang melapisi rahim boleh tumbuh pada tempat lain seperti di tiub falopio dan ovari. Apabila datang bulan, wanita akan rasa sakit ketika sel ini mulai luruh.
2. Fibroid. Fibroid merupakan ketumbuhan bukan tumor yang boleh membesar di kawasan rahim. Ia akan membuatkan wanita mengalami haid yang berat dan menyakitkan.
3. Penyakit radang pelvis (PIV). PIV berlaku apabila rahim, tiub falopio dan ovari dijangkiti bakteria yang menyebabkan ia mengalami inflamasi yang teruk.
4. Adenomyosis. Penyakit ini berlaku apabila tisu pada kawasan rahim mulai tumbuh pada bahagian dalam dinding rahim. Ia akan menyebabkan kesakitan yang teruk ketika datang bulan.
Berapa lamakah kesakitan selalunya berlaku?
Senggugut merupakan sesuatu yang normal. Selalunya, kesakitan akan bermula apabila pendarahan berlaku.
Namun, ada wanita yang mula mengalami senggugut sebelum period bermula.
Kesakitan juga akan berlangsung selama 48 hingga 72 jam. Kesakitan paling teruk berlaku ketika pendarahan paling berat.
Gadis yang baru datang haid selalunya akan mengalami period pain.
Senggugut yang normal selalunya akan berkurangan apabila wanita semakin berusia. Sama jugalah selepas bersalin. Ramai wanita yang mengakui kesakitan yang mereka alami ketika datang bulan semakin berkurangan.
Rawat period pain di rumah
Masalah senggugut sebenarnya boleh dirawat sendiri di rumah.
- Ambil ubat tahan sakit
Wanita yang mengalami period pain boleh ambil ubat tahan sakit seperti ibuprofen atau aspirin untuk menghentikan kesakitan.
Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai asma atau masalah perut tidak digalakkan untuk mengambil ibuprofen atau aspirin.
Paracetamol turut mempunyai kesan yang sama. Walau bagaimanapun, kesannya tidak sekuat ibuprofen atau aspirin.
- Bersenam
Walaupun sukar untuk bersenam ketika senggugut, kajian mendapati senaman ringan dapat mengurangkan kesakitan yang dialami ketika datang bulan.
Lakukan senaman aerobik seperti berjalan kaki, berlari, menaiki basikal, berenang atau apa sahaja aktiviti yang boleh membuatkan degupan jantung anda meningkat.
Paling ideal jika anda boleh bersenam selama 30 minit setiap minggu.
- Jaga pemakanan
Ambil makanan yang sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan yogurt. Pada masa yang sama, kurangkan pengambilan makanan berlemak, kafein dan juga alkohol.
Pastikan anda mendapatkan vitamin yang cukup melalui diet harian.
Jika anda kurang mendapat kalsium, ambil suplemen kalsium sebanyak 1200 mg setiap hari. Pengambilan suplemen magnesium dan vitamin E juga dapat membantu.
Kesimpulan
Jika anda mempunyai senggugut yang teruk, anda boleh berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Senggugut yang berlaku disebabkan datang haid tidak akan mempengaruhi kesuburan wanita.
Walau bagaimanapun, jika puncanya adalah disebabkan penyakit lain, ia mungkin akan mempengaruhi kesuburan anda.
Sebagai contoh, endometriosis dan PIV akan menyebabkan parut pada kawasan tiub falopio. Ini akan membuatkan sperma lebih sukar untuk melakukan proses persenyawaan.
Rujukan
- Christianson, M. (n.d.). Period Pain: Could It Be Endometriosis? Johns Hopkins Medicine. Retrieved January 11, 2022, from https://www.hopkinsmedicine.org/health/wellness-and-prevention/period-pain-could-it-be-endometriosis
- Menstrual Cramp Home Remedies to Manage Pain. (n.d.). Healthline. Retrieved January 11, 2022, from https://www.healthline.com/health/womens-health/menstrual-cramp-remedies#essential-oils
- Menstrual cramps – Symptoms and causes. (2020, April 8). Mayo Clinic. Retrieved January 11, 2022, from https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/menstrual-cramps/symptoms-causes/syc-20374938
- Period pain. (n.d.). NHS. Retrieved January 11, 2022, from https://www.nhs.uk/conditions/period-pain/
- Period Pain | Menstrual Cramps. (2021, May 7). MedlinePlus. Retrieved January 11, 2022, from https://medlineplus.gov/periodpain.html
- PMS Symptoms | How to Relieve Premenstrual Syndrome Symptoms. (n.d.). Planned Parenthood. Retrieved January 11, 2022, from https://www.plannedparenthood.org/learn/health-and-wellness/menstruation/what-can-i-do-about-cramps-and-pms