Nak Kurus? Jom Cuba 7 Minuman Ini Untuk Turunkan Berat Badan!

Semua orang tahu, anda boleh menurunkan banyak berat badan dengan meninggalkan minuman manis. Atas sebab yang samalah, ramai yang mencari minuman untuk kurus yang dapat membantu menurunkan berat badan.

Air berkarbonat, jus buah yang manis serta banyak lagi minuman yang dijual di pasaran bukan sahaja mengandungi gula dan kalori yang banyak, ia juga sebenarnya dapat mendatangkan pelbagai penyakit!

Dalam artikel kali ini, kami akan membincangkan mengenai jenis-jenis minuman yang sesuai untuk mereka yang sedang berdiet. Jika anda ingin tahu lebih lanjut, mari teruskan pembacaan!

7 Minuman untuk kurus bagi mereka yang sedang berdiet

Sebenarnya, bukan air kosong sahaja yang baik untuk mereka yang sedang berdiet.

Malah, ada banyak lagi air lain yang boleh dimasukkan ke dalam diet harian. Air ini bukan sahaja mengandungi pelbagai vitamin dan mineral, ia juga boleh membantu anda menguruskan berat badan.

Di bawah, kami senaraikan 7 jenis minuman untuk mereka yang sedang berdiet:

1. Air kosong, minuman untuk kurus yang terbaik

minuman untuk kurus

Betul tu, minuman yang terbaik untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan ialah air kosong!

Lagipun, air kosong tidak mempunyai sebarang kalori, jadi ia tidak akan menyebabkan anda menjadi gemuk.

Kajian mendapati, jumlah kalori yang dibakar ketika tidak bergerak (resting energy expenditure) akan meningkat sebanyak 24-30% selepas 10 minit minum air.

Malah, minum air kosong sebelum makan juga dapat buatkan anda rasa lebih kenyang. Jadi, tidak adalah anda makan secara berlebihan nanti.

Bukan itu sahaja, ramai yang keliru antara rasa lapar atau dahaga. Oleh sebab itu, cuba minum lebih banyak air sebelum mengambil sebarang snek.

2. Teh hijau

Teh hijau kaya dengan komponen yang dapat meningkatkan metabolisme badan. Komponen yang dikenali sebagai cathechin dan kafein ini dapat membakar lemak dan meningkatkan pembakaran kalori ketika tidak bergerak.

Malah, menurut sebuah kajian kecil yang dijalankan pada tahun 2005, individu yang sering mengambil teh hijau yang mengandungi kafein dapat menurunkan lebih banyak berat berbanding dengan mereka yang minum plasebo.

Jika anda tidak menyukai rasa teh hijau yang pahit, anda boleh tambahkan madu untuk buatkan ia sedikit manis. Malah, ada banyak teh hijau di pasaran. Anda boleh menikmatinya ketika panas atau sejuk.

3. Cuba teh hitam sebagai minuman untuk kurus

Sama seperti teh hijau, teh hitam juga kaya dengan pelbagai jenis antioksidan terutamanya polifenol yang dapat mengurangkan risiko obesiti.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2018, polifenol didapati dapat mengurangkan penyerapan lemak dan gula dalam darah.

Bukan itu sahaja, sebuah kajian pada tahun 2014 juga mendapati minum teh hitam setiap hari selama 3 bulan dapat mengurangkan risiko peningkatan berat badan.

Malah, mereka yang mengamalkan minuman ini juga mempunyai pinggang yang lebih langsing berbanding mereka yang mengambil minuman yang sama, tetapi tidak mempunyai polifenol.

4. Air lemon

minuman untuk kurus

Air lemon bukan sahaja dapat meningkatkan pembakaran lemak, ia juga boleh ditambah ke dalam air kosong untuk menjadikannya minuman rendah kalori yang bagus untuk mereka yang sedang berdiet.

Malah, jika anda tidak suka minum air kosong, cuba tambahkan perahan air lemon ke dalam air. Jus lemon mengandungi vitamin C yang tinggi dan dapat meningkatkan imuniti badan dan mengurangkan risiko kanser tertentu.

5. Protein shake

Bagi mereka yang sedang berdiet, makanan yang tinggi protein sering menjadi pilihan. Manakan tidak, ia dapat membuatkan kita rasa kenyang dalam masa yang lebih lama.

Bagi mereka yang tidak boleh mendapatkan nutrisi yang cukup melalui pemakanan, cuba ambil minuman tinggi protein semasa diet. Minuman protein rendah kalori tapi kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral.

Walau bagaimanapun, elakkan minuman yang mengandungi banyak gula dan menggunakan pewarna tiruan. Minuman protein jenis ini selalunya hanya akan membuatkan berat badan anda bertambah.

6. Minum air halia

Halia mengandungi pelbagai antioksidan dan bahan anti inflamasi yang dapat mengelakkan kerosakan kardiovaskular. Teh halia mengandungi gingerol yang membantu mengawal kadar gula dalam darah dan mengurangkan kolesterol jahat dalam badan.

Malah ada juga kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan teh halia sebelum makan dapat mengurangkan rasa lapar.

7. Kopi o

minuman untuk kurus

Anda suka kopi tapi ingin berdiet? Tinggalkan susu dan gula!

Sebaiknya pilihlah kopi o yang kosong. Kandungan kalorinya yang rendah menjadikan kopi sebagai pilihan terbaik sebagai minuman untuk kurus.

Sebarang penambahan, misalnya creamer atau gula akan meningkatkan kadar kalori kopi. Jadi, cara yang terbaik untuk menikmati kopi ialah tanpa gula atau dengan penambahan susu rendah kalori seperti susu almond.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: