Niat Puasa 6 Pada Bulan Syawal : Pengertian, Hukum & Hikmahnya

Setiap tahun selepas menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, umat Islam pastinya akan melalui sebulan Syawal pula. Ibadah puasa dalam Ramadan adalah pemula, dan puasa pada bulan-bulan selepasnya adalah penerus amalan tersebut dilaksanakan.

Dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA (mafhumnya):

“Daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk aku (Allah) dan akulah yang memberi ganjarannya.”

Apakah puasa sunat?

Puasa sunat ialah puasa yang sangat digalakkan dan mendapat pahala yang banyak jika dilakukannya. Contohnya seperti puasa setiap isnin dan khamis, puasa pada hari Arafah, puasa Asyura, puasa pada bulan Syaaban, dan puasa enam hari pada bulan Syawal.

Dalil tentang puasa 6 Syawal

Nabi SAW bersabda;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” – (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Imam al-Nawawi RA dalam mensyarahkan hadis ini berkata, “Yang paling afdal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidilfitri.”

Niat puasa 6 Syawal

Niat puasa enam di bulan syawal adalah seperti yang berikut:

Nawaitu souma ghodin ‘an  sittatin min syawwalin sunnatan lillahi ta’ala 

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari syawal kerana Allah taala.”

Hukum puasa 6 Syawal bergabung dengan puasa qadha Ramadan

Hukum bagi puasa enam di bulan Syawal adalah amalan sunat yang sangat digalakkan.

Fuqaha Mazhab Syafi’e menyatakan bahawa menggabungkan antara puasa wajib seperti qada’ Ramadan, nazar dan kaffarah dengan puasa sunat adalah harus hukumnya.

Ini bermaksud menggabungkan puasa qada’ Ramadan dengan puasa 6 Syawal juga diharuskan. Namun begitu, ganjaran atau pahala puasa yang diperoleh kurang sempurna. Hal ini kerana, puasa tersebut lebih afdal dilakukan terpisah atau pada hari yang berlainan.

Tempoh puasa 6 Syawal dilaksanakan

Puasa sunat enam Syawal boleh dilaksanakan seawal 2 Syawal sehingga habis sebulan Syawal. Namun begitu, haram hukumnya berpuasa pada 1 Syawal.

Manakala tempoh masa yang terbaik dan dianjurkan adalah sebaiknya bermula dari 2 Syawal sehingga 7 Syawal. Contohnya, jika Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei, maka bolehlah berpuasa enam mulai 3 Mei sehingga 8 Mei (7 Syawal).

Manfaat bagi yang berpuasa sunat

1. Berpuasa selama setahun

Sepertimana Hadis yang dinyatakan di awal tadi, dengan berpuasa enam menjadikan kesemua puasa Ramadan dan juga enam hari pada bulan Syawal menyamai puasa selama setahun;

Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” – (Hadis Riwayat Imam Muslim)

2. Pelengkap amalam fardhu

Puasa enam merupakan puasa sunat yang mempunyai kelebihan yang besar. Kita sentiasa berharap agar amalan-amalan sunat kita boleh menjadi pelengkap kepada amalan-amalan fardhu yang terkurang, sepertimana Hadis Qudsi:

Maksudnya:“Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di Hari Kiamat ialah solat. Baginda SAW bersabda, Allah SWT berfirman kepada para malaikat Nya sedang Dia lebih mengetahui: Lihatlah pada solat hamba Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih ada kurang? Sekiranya sudah sempurna, tulislah sempurna. Sekiranya masih ada kurang, Firman Nya: Lihatlah adakah ada pada hamba Ku itu amalan-amalan sunat. Sekiranya ada, Firman Nya: Sempurnakanlah bagi hamba Ku itu amalan fardhunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu.”- (Hadis Riwayat al Hakim)

3. Diberikan pahala yang berlipat kali ganda

Allah SWT ada berfirman dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).” – (Surah Az-Zumar, ayat 73)

4. Masuk ke dalam syurga melalui pintu ar-Rayyan

Syurga mempunyai beberapa pintu, pintu bagi mereka yang rajin berpuasa ialah pintu ar-Rayyan sepertimana Hadis Nabi SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang membelanjakan harta di jalan Allah, dia akan dipanggil daripada pintu syurga: Wahai hamba Allah ini adalah kebaikan untukmu. Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, dipanggil daripada pintu solat. Sesiapa yang berjihad, dipanggil daripada pintu jihad. Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang bersedekah, dipanggil daripada pintu sedekah. Saidina Abu Bakar RA berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah SAW. Mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda SAW: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.” – (Muttafaqun Alaih)

Kesimpulan

Dalam kita seronok bergembira menyambut bulan Syawal yang penuh keriangan ini jangan dilupakan juga untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Semoga dengan berkat Ramadan dan keberkahan Syawal, kita dapat mengeratkan lagi hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Rujukan

  1. Puasa Enam dan Kelebihannya (May, 2020). Harakahdaily dari, https://harakahdaily.net/index.php/2020/05/28/puasa-enam-dan-kelebihannya/
  2. Ramadan Bulan Tarbiah (May, 2017). Malaysiakini dari https://www.malaysiakini.com/news/383592
  3. Niat Puasa 6 Syawal & Hukum Gabung Puasa Ganti (Qadha’) Serentak. Harian Post dari, https://harianpost.my/niat-puasa-6-gabung-ganti/
  4. Irsyad Al-Fatwa Ke-120: Adakah Puasa 6 Di Bulan Syawal Perlu Dilakukan Secara Berturutan ataupun Boleh Dipisahkan (Julai, 2016). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1327-irsyad-al-fatwa-ke-120-adakah-puasa-6-di-bulan-syawal-perlu-dilakukan-secara-berturutan-ataupun-boleh-dipisahkan
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113