Niat Puasa Hari Putih: Panduan Lengkap & Kelebihannya
Berpuasa pada bulan Ramadhan adalah rukun Islam ketiga bagi semua umat Islam. Namun begitu, masih ada puasa yang dikategorikan dalam sunnah yang boleh diamalkan oleh kita seperti puasa hari putih. Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda tentang panduan lengkap berserta niat puasa hari putih untuk rujukan bersama.
Apa itu puasa hari putih?
Puasa hari putih dikenali dengan gelaran Ayyamul Bidh yang bermaksud berpuasa pada hari bulan mengambang di pertengahan bulan Islam.
Perbezaanya dengan malam-malam biasa, pada ketika itu waktu cahaya bulan amat terang-benderang dan sangat indah sekali apabila dipandang.
Berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, katanya:
صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa setiap umat Islam sangat digalakkan untuk lazimkan diri berpuasa tiga hari pada setiap bulan Islam. Dan tarikh yang afdhal dipilih adalah pada hari ke-13, 14, dan 15 dalam bulan-bulan Islam.
Mengapa dinamakan hari putih?
Ia dinamakan hari putih kerana pada malam-malam tarikh yang digalakkan untuk berpuasa itu waktu malamnya terang-benderang oleh rembulan.
Hukum puasa hari putih
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum puasa hari putih adalah sunat bagi berpuasa tiga hari setiap bulan-bulan Hijriyyah iaitu pada 13,14, dan 15 hari bulan.
Walaupun begitu, hukumnya haram untuk berpuasa pada 13 Zulhijjah memandangkan tarikh itu memang termasuk dalam senarai yang diharamkan untuk berpuasa.
Lafaz niat puasa hari putih
“Nawaitu sauma ayyaamal bidh sunnatan lillahi ta’ala”
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa sunat hari putih kerana Allah ta’ala.”
Tempoh & tarikh puasa hari putih
Afdhal berpuasa pada 13,14, dan 15 hari bulan pada setiap bulan Islam.
Kelebihan puasa hari putih
Berpuasa sudah tentu mempunyai banyak fadhilatnya kepada pembentukan iman diri, dan kesihatan seseorang juga. Namun, bagi sesiapa yang berpuasa hari putih ini adalah antara kelebihan yang boleh anda perolehi seperti:
1. Ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun
Pernah atau tidak anda berpuasa sepanjang tahun tanpa henti selama 365 hari? Nescaya tidak ada yang terdaya dan mampu. Sedangkan berpuasa 30 hari dalam bulan Ramadhan pun masih ada ramai yang ponteng.
Bayangkan juga ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun ini boleh kita perolehi dengan berpuasa pada hari putih. Ini merujuk pada hadis:
صَوْمُ ثَلاَثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Puasa tiga hari dari setiap bulan, dan bulan Ramadan ke bulan Ramadan adalah puasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Bahkan ada lagi hadis daripada Qatadah bin Milhan RA juga ada berkata bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” – ( Hadis Riwayat Abu Daud)
2. Meningkatkan imun badan menjadi kuat dan bertenaga
Kata orang kurang makan lagi cepat letih, tidak bertenaga. Tetapi lain yang berlaku dengan amalan berpuasa kerana ianya lagi meningkatkan ketahanan tubuh badan di samping menghindarkan dari pelbagai penyakit.
Sudah banyak kajian yang dijalankan dari dalam dan luar negara oleh orang Islam atau bukan Islam lalu mendapatkan hasil yang sama. Ketahanan tubuh manusia yang berpuasa lebih baik daripada yang tidak berpuasa.
3. Amalan yang menjadi wasiat Rasulullah SAW
Salah satu wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Hurairah RA adalah dengan berpuasa tiga hari dalam setiap bulan. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّكَ لَتَصُومُ الدَّهْرَ، وَتَقُومُ اللَّيْلَ؟» ، فَقُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ هَجَمَتْ لَهُ العَيْنُ، وَنَفِهَتْ لَهُ النَّفْسُ، لاَ صَامَ مَنْ صَامَ الدَّهْرَ، صَوْمُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ» ، قُلْتُ: فَإِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: «فَصُمْ صَوْمَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا، وَلاَ يَفِرُّ إِذَا لاَقَى»
Bermaksud: “Aku mendengar Abdullah bin `Amru bin al-`As RA katanya, Nabi SAW bersabda: Bahawasanya engkau berpuasa sepanjang tahun dan bangun di waktu malam? Jawabku, “Ya.”, Nabi SAW menjawab: Bahawasanya engkau jika engkau lakukan yang demikian, cengkung matamu dan lemah dirimu. Tiada puasa bagi orang yang puasa sepanjang tahun. Puasa tiga hari (dalam sebulan) adalah puasa sepanjang tahun. Aku menjawab: Aku mampu lebih daripada itu, Nabi SAW menjawab: Puasalah puasa Nabi Daud AS Baginda Nabi Daud AS berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Nabi Daud tidak lari ketika bertemu.” – (Hadis Riwayat Sahih Bukhari)
4. Belajar dan kenal erti susah tentang hidup orang lain
Dengan berpuasa kita belajar untuk melihat kepayahan hidup orang lain yang miskin dan tidak berkemampuan. Bagaimana untuk makan setiap hari pun amat sukar sekali bagi sesetengah mereka.
5. Membersihkan jiwa
Latihan spiritual, rohani, dan jasmani yang mantap boleh kita bentuk dengan amalan berpuasa. Ia akan mendidikan kita untuk menjauhi sifat-sifat mazmumah dan melazimkan dengan sifat-sifat mahmudah.
Kesimpulan
Diharapkan artikel berkenaan dengan panduan puasa hari putih beserta niat dan kelebihannya ini dapat memberikan anda pengetahuan yang bermanfaat untuk diamal dan disampaikan.
Rujukan
- Niat Puasa Hari Putih (Panduan Lengkap). Akumuslim.asia
- Jangan Lepaskan Peluang Berpuasa Pada Hari Putih Pada Setiap Bulan. Banyak Kelebihan Yang Boleh Kita Raih. Sinar Plus (28 Jan, 2021)
- Al-Kafi #731 : Adakah Fadhilat Khusus Puasa 27 Rejab Sempena Isra’ Mi’raj? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan