Niat Solat Jumaat: Cara, Niat & Sunnah Pelaksanaannya
Islam sangat menitikberatkan tentang solat. Solat dalam Islam adalah berbeza dengan agama lain di mana ia membawa nilai spiritual yang tinggi dalam membentuk peribadi manusia kepada Allah SWT, dan makhluk di sekelilingnya.
Selain manusia dituntut untuk mendirikan solat lima waktu setiap hari, terdapat satu lagi kewajipan yang dimestikan kepada kaum Adam iaitu solat jumaat.
Rasulullah SAW ada bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya: “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Apakah solat Jumaat?
Solat jumaat adalah solat fardhu, dua rakaat yang dilakukan pada hari Jumaat untuk menggantikan solat Zuhur. Niat solat jumaat juga berbeza dengan solat fardhu yang lain. Ia haruslah dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah Jumaat.
Dalil pelaksanaan solat Jumaat
Syariat Islam telah mewajibkan bagi umat Islam yang dalam kalangan lelaki, baligh, berakal, orang yang bermukim di sesuatu tempat, dan tidak mempunyai keuzuran untuk mendirikan solat jumaat secara berjemaah.
Pernyataan ini disokong oleh dalil daripada Al-Quran, Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”- (Surah al-Jumu’ah, ayat 9)
Ayat ini jelas menunjukkan yang Allah SWT mewajibkan solat jumaat kepada kaum lelaki. Manakala bagi kaum wanita pula, hukumnya harus oleh kerana mereka cukup sahaja bersolat Zuhur di rumah.
Haram bagi mereka untuk meninggalkan solat Jumaat. Dari Abu Jakdi ad-Dhamri bahawa Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)
Bagi mereka yang tidak mempunyai keuzuran, atau alasan yang munasabah untuk tidak hadir menunaikan solat jumaat secara berjemaah, haram hukumnya. Mereka juga wajib mengantikannya dengan solat Zuhur.
Syarat wajib solat Jumaat
- Islam – tidak wajib bagi orang kafir
- Baligh – tidak wajib bagi kanak-kanak belum baligh
- Berakal – tidak wajib bagi orang yang gila
- Merdeka – tidak wajib ke atas hamba abdi
- Lelaki – tidak diwajibkan berjemaah untuk orang perempuan
- Sihat – tidak wajib berjemaah bagi orang yang uzur, dan berhalangan
- Bermastautin atau bermukim – tidak wajib berjemaah bagi orang yang musafir
Syarat sah solat Jumaat
- Didirikan di dalam waktu Zuhur
- Tempat mendirikan solat Jumaat itu mestilah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang, dan sebagainya
- Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang beriman yang tinggal di kawasan itu
- Didahului dengan dua khutbah
Niat solat Jumaat
Niat solat Jumaat yang perlu kita baca adalah seperti berikut:
“Usolli fardol jum’ati rak’ataini makmuman lillahi taala”
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.”
Tatacara melakukan solat Jumaat
Rukun dalam cara solat Jumaat sama sahaja seperti solat-solat fardhu yang lain. Tetapi yang membezakannya adalah niat sahaja dan bilangan rakaat paling sedikit adalah sebanyak dua rakaat.
1. Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat
2. Membaca niat solat Jumaat
“Usolli fardol jum’ati rak’ataini makmuman lillahi taala”
3. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut
الله أكبر
Allahuakbar
Maksudnya: Allah Maha Besar
4. Membaca doa iftitah
Doa iftitah bukanlah rukun solat tetapi ia sunat dibaca.
“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”
Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.
5. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan
“Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin”
Maksudnya: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
6. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan
7. Rukuk sambil bertakbir
“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.
Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.
8. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini
“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”
Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
Dalam keadaan ini juga, anda perlu berdiri tegak menghadap kiblat. Manakala kedua-dua belah tangan harus berada di sisi tanpa digerak-gerakkan dengan sengaja.
9. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini
“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Berbeza bagi keadaan yang sebelum tadi, bagi sujud pula kedua-dua tapak tangan harus diletakkan di atas lantai atau pelapik yang digunakan untuk sujud biasanya sejadah. Kedudukannya lebih kurang separas bahu sahaja.
10. Bacaan duduk antara dua sujud
“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
11. Sujud kembali sambil bertakbir
12. Berdiri semula sambil bertakbir intiqalat untuk memulakan rakaat kedua. Ulangi dengan membaca surah Al-Fatihah sehingga habis dan sujud di rakaat kedua
13. Duduk tahiyat akhir
Maksudnya: Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.
14. Memberikan salam
15. Selesai solat fardhu Jumaat, duduk dan amat baik jika kita mengikut imam bertasbih, tahmid, takbir dan berdoa.
Hikmah disyariatkan solat Jumaat
Solat Jumaat banyak kelebihannya yang boleh kita hayati dalam kehidupan. Antara hikmahnya adalah seperti:
- Melatih diri menjadi hamba yang taat kepada perintah Allah SWT
- Merapatkan ukhuwah, dan memupuk perasaan kasih sayang
- Mendengar nasihat, teguran, bimbingan, dan pedoman daripada khutbah
- Mendapatkan pahala, dan ganjaran yang besar
- Melatih diri melakukan perkara yang baik secara berjemaah
- Lambang perpaduan, dan kekuatan umat Islam
Kesimpulan
Diharapkan panduan ini memberikan anda pengetahuan yang berguna untuk melaksanakan solat Jumaat dengan lebih baik, dan sempurna.
Rujukan
- Cara Solat Fardhu Jumaat (July, 2020). The Aqra dari, https://theaqra.com/2020/07/16/cara-solat-fardhu-jumaat/
- Sheikh Daud al-Fatani. Matla’ al-Badrain.