Oh Ini Rupanya Punca Kenapa Telinga Berdesing & Berdengung

Anda pernah alami telinga berdesing atau berdengung? Mesti rasa kurang selesa kan. 

Biasanya, ia terjadi ketika anda berada di dalam kapal terbang. Ini kerana tekanan di tempat yang beraltitud tinggi tidak sama seperti di altitud yang biasa. 

Kebanyakan keadaan ini hanyalah terjadi dalam tempoh masa yang singkat dan bukan disebabkan oleh penyakit berbahaya. Kondisi juga dikenali sebagai tinnitus. 

kenapa telinga berdesing

Namun, telinga berdesing juga boleh disebabkan oleh pelbagai punca lain. Ia boleh jadi antara salah satu tanda/simptom penyakit sekiranya kerap berlaku sehingga menimbulkan rasa sakit serta ketidakselesaan. 

Mari baca selanjutnya untuk mengetahui punca-punca kenapa telinga berdesing. 

Kenapa Telinga Berdesing

  1. Terdedah Kepada Bunyi Kuat 

Memakai earphone/headphone secara kerap dengan tempoh yang lama dan bunyi yang kuat atau terlalu lantang boleh menyebabkan telinga anda berdesing atau berdengung. Ini juga akan menyebabkan gegendang telinga anda rosak. 

Elakkan pendedahan kepada bunyi yang kuat dalam masa yang lama sama ada ketika bekerja di kilang atau di mana sahaja. Pastikan anda memakai alat yang boleh melindungi telinga anda. 

  1. Presbikusis

Presbikusis adalah merupakan gangguan pendengaran sensorineural dan selalunya berlaku kepada individu yang berusia 65 tahun ke atas. Ia menyebabkan kedua belah telinga kehilangan pendengaran secara beransur-ansur sehinggakan ramai yang tidak menyedari pada awalnya.

Selain itu, ia juga boleh disebabkan oleh pendedahan berulang kepada bunyi trafik harian atau kerja pembinaan, pejabat bising, peralatan yang menghasilkan bunyi bising, muzik yang kuat dan sebagainya. 

Antara simptom presbikusis adalah telinga berdengung disebabkan oleh gegendang telinga yang terjejas akibat penuaan.

  1. Jangkitan Dalam Telinga (Otitis Media)

Sekiranya telinga anda berdesing dalam tempoh yang agak lama, anda boleh cuba dapatkan pemeriksaaan lebih lanjut.

Ia boleh disebabkan oleh jangkitan kuman yang menyebabkan telinga anda tersumbat bahkan boleh menyebabkan gegendang telinga anda pecah. Jangkitan ini juga dikenali sebagai Otitis Media.

Jangan biar lama-lama, dapatkan segera rawatan untuk mengelakkan kemungkinan yang lebih buruk berlaku. 

  1. Kesan Ubat 

Pengambilan ubat tertentu juga adakalanya boleh menjadi punca telinga berdengung antaranya ialah gentamicin, aspirin dan anti malaria.

  1. Kecederaan Pada Kepala Atau Tengkuk

Kecederaan pada kepala atau tengkuk juga akan mempengaruhi pendengaran anda termasuklah menyebabkan telinga anda berdesing atau berdengung. Ini kerana struktur dalaman telinga sangat sensitif pada perubahan drastik posisi kepala mahupun tengkuk.

  1. Masalah Pada Salur Darah

Telinga berdesing juga boleh disebabkan oleh aliran darah yang tidak selari berdekatan dengan telinga. Keadaan ini boleh mengakibatkan komplikasi lebih teruk sehingga menyebabkan terjadinya strok/ serangan angin ahmar. 

  1. Tahi Telinga

Tahi telinga yang mengeras lalu menyebabkan lubang telinga tersumbat juga boleh menjadi punca telinga anda berdesing. 

Bersihkan telinga anda dengan cara yang betul apabila tahi telinga mulai keluar. Jangan korek pulak ya kerana ia boleh menyebabkan telinga anda mengalami masalah kelak. 

  1. Schwannoma Vestibular

Schwannoma Vestibular adalah merupakan ketumbuhan yang terbentuk pada bahagian urat saraf telinga vestibular. Ketumbuhan ini boleh menyebabkan pelbagai gejala antaranya ialah pening, kebas bahagian muka, badan tidak seimbang dan juga telinga berdengung atau tinnitus. 

Rawatan

Selalunya keadaan ini tidak memerlukan rawatan dan akan hilang dengan sendirinya. Walaubagaimanapun, sekiranya ia menimbulkan ketidakselesaan serta menyebabkan kesakitan anda perlu berjumpa doktor dengan segera. 

Dapatkan diagnosis doktor untuk mengetahui masalah sebenar yang dihadapi oleh telinga anda. 

Selain itu, anda boleh cuba beberapa petua sebagai ikhtiar untuk menghilangkan bunyi berdesing di telinga anda. 

Cara yang anda boleh cuba ialah, telan air liur banyak kali untuk membuka kembali tiub dalam telinga anda yang tersumbat. Anda juga boleh cuba menguap atau mengunyah sesuatu. Jangan lupa cuba tarik nafas dalam-dalam kemudian lepaskan. 

Kesimpulan 

Walaupun telinga berdesing adalah perkara normal yang berlaku, namun pastikan anda mengambil berat serta memerhati simptom yang anda alami. Segera dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor sekiranya masalah ini berlanjutan. Jangan ambil mudah ya!

Sumber: hellodoktor.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161