Aduh, Sakitnya Dada! Adakah Ia Disebabkan Pedih Ulu Hati?

Pedih ulu hati merupakan satu kondisi yang menyebabkan rasa sakit dan pedih pada kawasan dada.

Kesakitan ini selalunya akan menjadi semakin teruk selepas makan, pada waktu petang ataupun ketika sedang berbaring.

Selalunya, masalah ini merupakan simptom penyakit yang lebih teruk seperti GERD (gastroesophageal reflux disease). Malah, ia juga boleh menjadi petanda kehamilan.

Walaupun namanya pedih ulu hati atau heartburn, kondisi ini tidak ada kena mengena langsung dengan organ hati.

Walau bagaimanapun, rasa pedih dan sakit yang disebabkan oleh heartburn ini kadang-kadang boleh menyerupai serangan jantung.

Ketika anda diserang pedih ulu hati, selalunya kesakitan tersebut akan disusuli dengan rasa masam atau pahit pada tekak. Untuk pengetahuan anda, kondisi ini boleh berlangsung selama beberapa minit ke beberapa jam.

Jika masalah ini berlaku dengan kerap, dapatkan konsultasi daripada doktor dengan segera. Ia mungkin merupakan simptom penyakit yang lebih serius dan memerlukan pemeriksaan daripada pakar.

Adakah pedih ulu hati sesuatu yang normal?

pedih ulu hati

Pedih ulu hati merupakan sesuatu yang lazim berlaku. Walaupun begitu, jika ia berlaku dengan kerap sehingga mengganggu aktiviti harian anda, ia mungkin merupakan tanda penyakit kronik.

Oleh sebab itu, jangan berlengah untuk berjumpa doktor jika anda kerap mengalami masalah ini.

Ramai juga yang keliru antara serangan jantung dan pedih ulu hati.

Malah, kedua-dua kondisi ini mempunyai simptom yang hampir sama iaitu sakit dada, sesak nafas, mual dan muntah-muntah.

Walaupun begitu, mereka yang mengalami serangan jantung selalunya akan rasa hendak pitam, pening kepala dan sakit gigi.

Manakala, mereka yang mengalami pedih ulu hati pula akan mengalami masalah untuk menelan, sakit tekak dan suara menjadi garau.

Apakah rasanya ketika mengalami pedih ulu hati?

Pedih ulu hati selalunya akan menyebabkan rasa pedih dan sakit pada kawasan tengah dada.

Apabila anda mengalami serangan pedih ulu hati, selalunya anda akan turut mengalami simptom lain seperti:

  1. Rasa panas pada kawasan dada yang mungkin mengambil masa beberapa minit atau beberapa jam untuk hilang.
  2. Rasa sakit dada apabila anda membongkok atau berbaring.
  3. Rasa panas atau sakit pada kawasan tekak.
  4. Rasa masam, berasid atau masin di belakang tekak.
  5. Sukar untuk menelan.

Punca

pedih ulu hati

Sebenarnya, semua orang akan mengalami heartburn dari masa ke masa. Namun, punca sebenarnya masih belum dapat dikenalpasti.

Kadangkala, masalah ini berpunca daripada:

  1. Beberapa jenis makanan dan minuman seperti kopi, tomato, alcohol, coklat atau makanan yang pedas dan berlemak.
  2. Mempunyai berat badan berlebihan.
  3. Mengandung.
  4. Merokok.
  5. Tertekan atau gelisah.
  6. Beberapa jenis ubat-ubatan, contohnya ubat tahan sakit seperti ibuprofen.
  7. Penyakit hiatus hernia – satu keadaan yang berlaku apabila sebahagian daripada perut naik ke bahagian dada.

Menurut Mayo Clinic, heartburn juga boleh berlaku disebabkan tabiat pemakanan. 

Kadangkala, makanan yang anda ambil serta berapa banyak yang anda makan boleh menyebabkan anda kerap mengalami masalah ini.

Ada juga beberapa jenis makanan yang boleh menyebabkan masalah ini. Sebagai contoh:

  1. Bawang
  2. Buah-buahan sitrus
  3. Tomato
  4. Produk berasaskan tomato
  5. Alcohol
  6. Jus buah sitrus
  7. Minuman berkafein
  8. Minuman bergas.

Bagaimana hendak merawat masalah ini?

Dalam kebanyakan kes, pedih ulu hati boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan yang boleh dibeli di farmasi (over-the-counter). 

Selain itu, anda juga boleh mengubah tabiat pemakanan untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku dengan kerap.

Jika masalah ini berlaku sekali sekala, ia adalah normal dan tidak serius.

pedih ulu hati

Walau bagaimanapun, jika ia kerap berlaku, anda perlu berjumpa doktor dengan segera. Ia mungkin merupakan tanda penyakit GERD.

GERD boleh menyebabkan penyakit lain seperti esophagitis, Barrett’s esophagus dan kanser. 

Kadangkala, doktor mungkin perlu melakukan endoskopi untuk memeriksa sama ada anda menghidap sebarang masalah kesihatan lain.

Untuk pengetahuan anda, endoskopi merupakan sejenis pemeriksaan saluran pencernaan dengan sebuah instrumen yang fleksibel dan mempunyai cahaya di hujungnya.

Jika anda menghidap masalah ini, anda boleh membeli antasid di farmasi berdekatan.

Antasid boleh mengurangkan asid di dalam perut dan mengurangkan kekerapannya. Ia juga boleh mengurangkan sakit perut dan masalah ketidakhadaman.

Sebelum anda beli ubat ini, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi yang bertugas.

Bolehkah saya mengelakkan masalah ini?

pedih ulu hati

Sebenarnya, ada banyak cara yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan pedih ulu hati. Antaranya adalah:

  1. Jangan tidur dengan perut yang penuh. Makan sekurang-kurangnya 3 hingga 4 jam sebelum anda tidur. Ini akan memberikan masa untuk perut anda mencerna makanan dan mengurangkan kebarangkalian pedih ulu hati daripada berlaku.
  2. Kurangkan makan terlalu banyak. Elakkan makan terlalu banyak sekali duduk.
  3. Makan dengan perlahan. Kunyah dengan betul sebelum menelan.
  4. Pakai baju yang longgar. Kadangkala, baju yang ketat boleh menyebabkan masalah ini.
  5. Elakkan makanan yang boleh menyebabkan heartburn. Jika anda selalu mengalami masalah ini setelah minum kopi misalnya, elakkan minum kopi dengan kerap.
  6.  Jangan merokok. Nikotin boleh menyebabkan heartburn.

Untuk kebanyakan orang, masalah ini akan pergi dengan sendirinya. Pastikan anda menjaga diet dan elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan masalah ini.

Rujukan

  1. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heartburn/symptoms-causes/syc-20373223
  2. https://www.nhs.uk/conditions/heartburn-and-acid-reflux/
  3. https://www.medicalnewstoday.com/articles/9151
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: