Makanan SUPER Untuk Kencing Manis, Ketahui Khasiat Sebenar Peria!

Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia merupakan sebuah tumbuhan menjalar yang tergolong dalam keluarga labu. Walaupun rasanya pahit, ia sebenarnya adalah adik beradik dengan sayur seperti timun dan zukini!

Bukan itu sahaja, peria sebenarnya merupakan sejenis buah dan bukannya sayur!

Malah, buah ini juga merupakan satu-satunya bahagian yang boleh dimakan pada tumbuhan ini dan yang paling pahit antara semua buah-buahan dan sayur-sayuran.

Di negara kita, ulam ini terkenal dengan 1001 kebaikan terutamanya dalam keupayaannya untuk mengawal diabetes. Ia juga dimakan setiap hari sebagai ulam dan dipadankan bersama nasi.

Bukan itu sahaja, ia juga banyak dimakan disebabkan khasiatnya untuk merawat penyakit seperti asma, sembelit, malaria, demam, selesema, cacing, batu karang, buasir dan sebagainya.

Peria boleh didapati di kawasan Amerika Selatan, Asia, beberapa tempat di Afrika dan juga kepulauan Caribbean.

Selain melawan diabetes, peria juga mempunyai pelbagai manfaat lain terhadap kesihatan. Di bawah, kami senaraikan 6 kebaikannya untuk kesihatan kita.

6 Khasiat peria yang baik untuk kesihatan

1. Mengandungi pelbagai jenis nutrisi

Walaupun rasanya pahit, peria sebenarnya kaya dengan vitamin C!

Vitamin C sangat penting untuk mengelakkan penyakit, menggalakkan pembentukan tulang dan juga memudahkan penyembuhan luka.

Bukan itu sahaja, sayur yang turut dikenali sebagai bitter gourd ini juga mengandungi vitamin A, sejenis vitamin larut lemak yang baik untuk kesihatan kulit dan mata.

Siapa sangka, ulam ini mempunyai 2 kali ganda kalsium berbanding bayam. Malah, ia juga mempunyai lebih banyak beta karotina berbanding brokoli!

Peria juga dapat memudahkan pernafasan, mencantikkan serta memudarkan kesan penuaan pada kulit wajah.

2. Boleh mengurangkan kadar gula dalam darah

Peria sudah lama digunakan untuk merawat kondisi yang berkait rapat dengan kencing manis.

Salah satu kebaikan ulam ini adalah kebolehannya untuk menurunkan kadar gula dalam darah pesakit yang menghidap diabetes.

Peria mengandungi sekurang-kurangnya 3 bahan yang mempunyai sifat anti diabetes.

Salah satunya ialah charanti yang boleh mengurangkan kadar gula dalam darah.

Selain itu, peria turut mengandungi sejenis bahan yang seakan-akan insulin yang bernama polypeptide-p atau insulin-p.

Insulin berasaskan tumbuhan ini bukan sahaja dapat membantu pesakit diabetes jenis 2, ia juga boleh memberikan kesan yang sama terhadap pesakit diabetes jenis 1.

Menurut kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Ethnopharmacology, ujian klinikal selama 4 minggu menunjukkan pengambilan 2,000 mg dapat menurunkan kadar gula dalam darah pesakit kencing manis dengan drastik.

3. Peria dapat mengurangkan kolesterol jahat

Jus peria bukan sahaja bersifat anti radang, ia juga dapat membantu menurunkan kadar kolesterol jahat dalam badan. 

Oleh sebab itu, pengambilan jus peria secara berkala dapat mengurangkan risiko serangan jantung dan juga strok.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai kadar potassium yang tinggi yang mampu menyerap lebihan garam di dalam badan.

Ia juga kaya dengan asid folik dan zat besi yang mampu merendahkan risiko strok dan memastikan jantung anda sentiasa sihat.

4. Mencantikkan kulit dan melebatkan rambut

Peria mengandungi antioksidan serta vitamin A dan C yang dapat mengelakkan masalah penuaan dan mengurangkan kedutan.

Bukan itu sahaja, bahan-bahan di dalam ulam ini juga boleh mengurangkan jerawat dan dapat membantu merawat ekzema dan psoriasis.

Untuk melebatkan rambut, cuba sapukan jus peria pada kawasan kulit kepala anda. Ia boleh mengurangkan masalah rambut gugur, kelemumur dan juga masalah gatal-gatal.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh gabungkannya dengan produk yang sedia ada dan urutkan pada kawasan kulit kepala untuk melebatkannya.

5. Dapat membantu mengurangkan berat badan

Peria rendah kalori, lemak dan juga karbohidrat. Ia dapat membuatkan anda rasa kenyang dalam jangka masa yang panjang dan mudah untuk digabungkan di dalam pelan diet anda.

Malah, menurut kajian yang dimuatkan di dalam Jurnal BMC Complementary and Alternative Medicine, pakar mendapati ekstrak peria dapat mengelakkan pembentukan sel-sel lemak baharu.

Ia juga sudah lama dikenali sebagai bahan semula jadi untuk menurunkan berat badan.

6. Peria baik untuk mata

Peria juga dapat membantu mengelakkan masalah yang berkaitan dengan penglihatan seperti katarak. Ia mengandungi beta karotena dan vitamin A yang amat baik untuk mata.

Bukan itu sahaja, ia juga merupakan salah satu bahan yang boleh digunakan untuk menghilangkan lingkaran hitam di bawah mata. 

Hiris sahaja dan sapu pada kawasan mata. Ini juga merupakan antara petua turun temurun untuk hilangkan lingkaran gelap bawah mata. 

Kesimpulan

Tidak dinafikan lagi, peria mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang amat baik untuk badan. 

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua benda perlulah dilakukan secara bersederhana.

Terlalu banyak mengambil jus peria juga tidak baik kerana ia boleh menyebabkan sakit perut dan cirit birit.

Malah, ibu mengandung juga tidak digalakkan untuk mengambil terlalu banyak ulam ini kerana ia mungkin boleh mendatangkan masalah terhadap kesihatan.

Rujukan

  1. https://food.ndtv.com/food-drinks/7-health-benefits-of-bitter-gourd-karela-juice-1423896
  2. https://www.hindustantimes.com/fitness/health-benefits-of-bitter-gourd-5-reasons-why-it-must-be-in-your-diet/story-23UzjCuVfD9bt608drczmN.html
  3. https://www.webmd.com/diet/health-benefits-bitter-gourd#1
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Prev
Bukan Sahaja Sedap, Ini 7 Khasiat Limau Kasturi Terhadap Kesihatan Kita

Bukan Sahaja Sedap, Ini 7 Khasiat Limau Kasturi Terhadap Kesihatan Kita

Manis, masam dan berwarna terang – Ini merupakan antara ciri buah-buahan sitrus

Next
Kurap : Punca, Simptom, Rawatan dan Kaedah Pencegahan
kurap

Kurap : Punca, Simptom, Rawatan dan Kaedah Pencegahan

Kurap merupakan jangkitan pada kulit dan boleh dialami oleh sesiapa sahaja

You May Also Like