Period Tak Teratur? Ketahui 7 Punca Utama Masalah Kecelaruan Haid
Anda alami masalah period tak teratur? Bagi wanita, anda pasti tahu bahawa haid tak semestinya ‘on time’. Kadangkala, ia akan datang awal atau lewat beberapa hari. Ada wanita yang haid datang tepat pada masanya iaitu sekali setiap 28 hari. Namun, ada juga wanita yang alami kecelaruan haid!
Menurut sebuah kajian yang diterbitkan di dalam jurnal PloS One pada Mac 2019, hampir 14% wanita dewasa dalam lingkungan umur 19 hingga 54 tahun melaporkan mengalami masalah period tak teratur.
Malah, wanita yang terpaksa bekerja dalam shift, di pusat membeli belah atau suri rumah sepenuh masa dilaporkan lebih berisiko mengalami haid yang tidak teratur.
Namun, normal untuk wanita yang baru mencecah akil baligh, sedang menyusukan anak atau mengampiri menopaus untuk mengalami masalah kecelaruan haid.
Bukan itu sahaja, banyak lagi faktor lain seperti stres, pengambilan ubat-ubatan tertentu atau penyakit yang boleh menyebabkan kaum Hawa mengalami masalah haid.
Dalam artikel kali ini, ketahui punca period tidak teratur dan cara terbaik untuk mengatasinya.
Bilakah kitaran haid dikira tidak teratur?
Menurut laman sesawang Everyday Health, kitaran haid yang normal adalah 21 hingga 35 hari.
Tambah lagi, menurut Dr. Becky Lynn, pengarah di Evora Center for Menopause and Sexual Health, bukan semua wanita mempunyai kitaran haid yang tepat selama 28 hari. Ia berbeza mengikut individu.
Untuk menentukan tempoh kitaran haid anda, mula mengira pada hari pertama period sehingga hari pertama period seterusnya.
Cuba ambil bacaan yang konsisten sekurang-kurangnya selama 3 bulan. Jika anda rasa sukar untuk melakukannya, ada banyak aplikasi atas talian yang dapat membantu.
Jika tempoh haid anda adalah di sekitar 21 hingga 35 hari, kitaran haid anda adalah normal.
Namun, jika kitaran tersebut berbeza mengikut bulan; misalnya pada bulan pertama kitaran adalah 20 hari manakala bulan seterusnya pula 40 hari, anda dikira mempunyai kitaran haid yang tidak teratur.
Malah, kitaran haid juga dikira tidak teratur jika beza antara satu haid ke haid yang seterusnya lebih daripada 20 hari.
7 Punca lazim period tak teratur
Sebenarnya, ada banyak punca haid tidak teratur. Kadangkala, penyebabnya adalah kurangnya tidur malam atau stres yang melampau di tempat kerja.
Namun, ada kalanya masalah haid berpunca daripada masalah yang lebih besar seperti penyakit tertentu.
Di bawah, kami senaraikan 7 punca lazim period tak teratur. Antaranya:
- Diabetes yang tidak terkawal. Jika anda menghidap kencing manis, besar kemungkinan haid yang dialami tidak teratur disebabkan kadar gula dalam darah yang tinggi.
- Mempunyai gangguan pemakanan. Jika anda menghidap anoreksia atau bulimia, anda mungkin akan alami masalah haid pada masa yang sama. Badan penghidap gangguan pemakanan akan mengalami kesukaran untuk menghasilkan hormon yang cukup untuk mengawal kitaran haid.
- Mempunyai hyperprolactinemia. Hyperprolactinemia bermaksud badan anda tidak dapat menghasilkan hormon yang cukup untuk mengawal kitaran haid.
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu. Ada beberapa jenis ubat seperti ubat anti psikotik dan anti epilepsi yang boleh menyebabkan period tak teratur.
- Menghidap PCOS. PCOS berlaku disebabkan hormon seks yang tidak seimbang. Penyakit ini boleh menyebabkan gangguan haid dalam kalangan wanita.
- Kerosakan ovari pramatang (POF). Wanita yang menghidap POF mempunyai ovari yang berhenti berfungsi apabila usia mereka mencecah 40 tahun.
- Stres atau tekanan perasaan. Tidak dinafikan, stres boleh menyebabkan gangguan haid. Sebab itulah, wanita yang sering tertekan selalunya tidak datang haid!
Ada banyak lagi punca haid yang tidak teratur selain yang disenaraikan di atas.
Jika anda mempunyai masalah kecelaruan haid, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin. Doktor dapat memberikan diagnosis yang betul dan membekalkan ubat-ubatan untuk merawat penyakit anda.
Wanita akan alami masalah kesukaran untuk hamil jika mempunyai haid yang tidak teratur. Jadi, dapatkan pemeriksaan doktor jika anda merancang untuk hamil dalam masa terdekat.
Kadangkala, wanita mungkin perlukan bantuan ubat-ubatan tertentu atau rawatan kesuburan jika mempunyai kesukaran untuk hamil.
Bolehkah saya betulkan semula masalah period tak teratur?
Jawapannya ialah ya, anda boleh lakukan beberapa langkah untuk normalkan semula kitaran haid anda. Antara cara mudah untuk pastikan kitaran haid kembali stabil ialah:
- Cuba kekalkan berat badan dalam julat yang sihat. Makan makanan yang berkhasiat dan bersenam dengan kerap.
- Pastikan anda mendapat rehat yang cukup. Cuba lakukan sesuatu jika anda stres dan dapatkan bantuan jika anda alami masalah tidur malam.
- Ambil pil perancang seperti diarahkan doktor. Ada sesetengah kaedah kontraseptif yang mungkin akan menyebabkan masalah haid. Jadi, dapatkan konsultasi doktor jika kaedah kontraseptif yang dipilih membuatkan period tak teratur.
- Jangan pakai tuala wanita terlalu lama. Tukar sekali setiap 4 jam. Jika tidak, anda terdedah kepada ‘toxic shock syndrome’ yang boleh menyebabkan komplikasi serta jangkitan yang teruk.
Rujukan
- Abnormal Menstruation (Periods). https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/14633-abnormal-menstruation-periods. Diakses pada 3 Jun, 2022.
- Hyperprolactinemia. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/22284-hyperprolactinemia. Diakses pada 3 Jun, 2022.
- Irregular periods. https://www.nhs.uk/conditions/irregular-periods/. Diakses pada 3 Jun, 2022.
- Irregular Periods: Why Is My Period Late? https://www.pennmedicine.org/updates/blogs/womens-health/2020/november/irregular-periods-why-is-my-period-late. Diakses pada 3 Jun, 2022.
- Prevalence of irregular menstruation according to socioeconomic status: A population-based nationwide cross-sectional study. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6424400/. Diakses pada 3 Jun, 2022.
- What Are Irregular Periods? https://www.everydayhealth.com/pms/irregular-periods.aspx. Diakses pada 3 Jun, 2022.