Perkara Membatalkan Solat: Panduan Berserta Contoh Situasi

Pentingnya solat bagi seorang Muslim adalah untuk membezakan dia sama ada Islam atau kafir. Tiang agama yang menjadi penghulu bagi segala amal ibadah seseorang adalah solat. Artikel kali ini akan membincangkan tentang perkara membatalkan solat dan permasalahan yang selalunya berlaku kepada kita ketika sedang solat.

Perkara membatalkan solat

Dalam memahami kewajipan solat, kita mestilah ambil tahu tentang hal-hal yang berhubung kait tentangnya seperti perkara membatalkan solat.

1. Bercakap-cakap dengan sengaja

Berkata-kata sesuatu sekurang-kurangnya dua huruf yang bukan bacaan di dalam solat dengan sengaja boleh membatalkan solat. Namun ada juga pertuturan tanpa sengaja yang disebabkan oleh batuk, bersih, atau menguap.

Disarankan untuk kita berhenti sebentar dari melafazkan bacaan dalam solat ketika mahu batuk, bersin, atau menguap. Habis semuanya, baru diulang kembali bacaan tersebut.

2. Ketawa atau menangis sehingga mengeluarkan suara/menggerakkan badan

Perbuatan ketawa atau menangis yang boleh mengeluarkan suara serta menggerakkan badan akan menyebabkan solat terbatal. Sekiranya itu berlaku, kita perlu mengulangi semula solat yang tersebut.

Namun ketawa yang tidak mengeluarnya suara dan perkataan, hukumnya adalah makhruh. Ini bermakna perbuatan ini juga haruslah dielakkan untuk mengekalkan momentum khusyuk kita.

3. Menggerakkan badan 3 kali berturut-turut

Tidak boleh sama sekali menggerakkan badan 3 kali berturut-turut iaitu secara berterusan tanpa henti. Pergerakan yang dimaksudkan ini adalah gerakan yang tidak ada di dalam solat seperti menggaru-garu, mengusap muka, dan sebagainya.

4. Takbiratul ihram putus bacaan

perkara membatalkan solat

Bacaa takbiratul ihram perlu bersambung dan tidak terputus atau terhenti di tengah-tengah bacaannya.

Bacaan yang betul: Allah….hu….akhbar (Bersambung dalam satu nafas)

Bacaan yang salah: Allahu. Akbar (Terputus dan terpisah)

5. Sengaja memanjangkan rukun yang pendek

Rukun pendek adalah iktidal dan duduk antara dua sujud. Semasa kita melakukannya, ia tidak boleh sengaja dipanjangkan melainkan jika ada keuzuran tertentu untuk bergerak, sakit, atau sebagainya.

6. Rukun qauli dibaca bukan pada tempatnya dengan sengaja

Rukun qauli adalah lafaz perkataan dan bacaan yang wajib didengari oleh telinga sendiri ketika membaca. Dalam konteks kesalahan melakukan rukun qauli bukan pada tempatnya contohnya seperti membaca al-Fatihah ketika duduk antara dua sujud dan rukuk.

7. Makan dan minum ketika solat

Makan dan minum dalam solat memang akan membatalkan solat kita walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Makan dan minum yang dimaksudkan termasuklah makan dan minum dalam keadaan zahirnya atau pun menelan sisa makanan di dalam mulut ketika solat.

Oleh yang demikian, lazimi untuk menggosok gigi atau berkumur sebelum solat untuk memastikan mulut kita hilang dari segala sisa makanan dan minuman.

8. Berhadas besar/berhadas kecil ketika dalam solat

Apa-apa cairan yang keluar melalui qubur dan dubur adalah najis yang membatalkan wuduk seperti darah haid, air mani, dan sebagainya. Jika wuduk terbatal, maka solat pun terbatal juga.

9. Pakaian atau tempat solat terkena najis

perkara membatalkan solat

Solat mestilah dalam keadaan suci dari segala najis dan hadas. Pakaian, badan atau tempat solat seperti tikar sejadah yang terkena najis akan terbatalnya solat kita.

10. Niat yang berubah

Mula-mula berniat untuk solat fardhu Maghrib tetapi lepas takbiratul ihram kita tiba-tiba mengubah niat untuk solat fardhu Isyak pula. Niat yang berubah dan was-was boleh membatalkan solat. Pastikan kita benar-benar yakin, dan fokus semasa solat untuk mengelakkan perkara ini berlaku.

11. Terbuka aurat dengan sengaja

Menutup aurat semasa solat adalah wajib bagi lelaki dan wanita mengikut paras aurat mereka. Namun apabila sedang solat dan aurat terbuka ia boleh membatalkan solat.

Aurat ketika solat boleh terbuka apabila telekung singkat, baju singkat, kain jarang, terselak, atau sebagainya. Jadi amatlah wajar untuk kita memakai pakaian yang melebihi lutut dan atas dari bahagian pusat serta tidak ketat dan selesa untuk solat.

12. Mata memandang ke tempat lain dengan sengaja

Ketika solat pastikan mata tetap memandang pada tempat sujud. Elakkan memandang ke tempat lain dengan sengaja kerana ia juga tergolong dalam perkara membatalkan solat.

13. Murtad keluar dari Islam

Murtad iaitu keluar dari agama Islam bermakna tiada lagi akidah dan keimanannya. Maka sekiranya keinginan untuk murtad itu timbul ketika dalam solat maka automatik solatnya juga terbatal.

Kesimpulan

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran tentang solat,

Maksudnya: “Dan mintalah pertolongan kepada Allah SWT atas segala pekerjaan kamu itu dengan membanyakkan sabar dan melakukan sembahyang. Dan sesungguhnya sembahyang itu sangat berat mengerjakannya melainkan bagi orang-orang yang khusyuk. Iaitu mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada Nya.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 45-46)

Semoga dengan ilmu pengetahuan ini memberikan kita semua kekuatan untuk terus mempraktikkan solat dengan lengkap 5 waktu setiap hari.

Rujukan

  1. Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus, Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid
  2. Inilah 13 Perkara Yang Membatalkan Solat Anda. Bidadari.my
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113