Bagi yang ingin merancang kehamilan, pil perancang adalah kaedah yang selamat, berpatutan dan berkesan jika diambil tepat pada waktunya.
Secara asasnya, pil perancang atau pil kontraseptif berfungsi dengan menghalang ovulasi.
Dengan kaedah ini, persenyawaan ovum dan sperma dapat dicegah.
Ia juga bertindak dengan menebalkan mukus pada serviks bagi menghalang kemasukan sperma.
Baca Juga : Kencing Berbuih : Punca Dan Kaedah Rawatan
Kenali Jenis Pil Perancang
Sebelum anda ingin mula mengambil pil perancang, anda perlulah tahu jenis-jenis pil perancang yang dijual di pasaran.
Ianya dimakan dalam tempoh jangka masa dan memberikan kesan yang berbeza.
Terdapat dua jenis pil perancang yang dijual di farmasi iaitu :
- Combined Oral Contraceptive (COC). Antara jenama yang sering diambil ialah Pil Yasmin.
Pil ini mengandungi dua hormon iaitu Estrogen dan Progestin
- Mini Pill atau Progesteron Only Pill (POP)
Pil ini mengandungi satu jenis hormon sahaja iaitu Progesteron.
Ia juga dikenali sebagai emergency pill atau pil kecemasan. Jenama popular bagi emergency pill ialah Postinor-2.
Jangka Masa & Cara Pengambilan Pil Perancang
Kedua-dua jenis pil perancang perlulah dimakan tepat pada waktunya.
Jika terlupa untuk makan, anda mungkin berisiko hamil.
Bagi pil perancang COC, ia dijual dalam bentuk pek 21 hari atau 28 hari. Sebiji pil perlulah diambil pada masa yang sama setiap hari selama 21 hari. Untuk pek 21 hari, anda perlulah berhenti mengambil pil selama 7 hari.
Bagi pek 28 hari pula, anda perlulah mengambil pil yang tidak mengandungi hormon selama 7 hari. Sesetengah wanita lebih gemarkan pek 28 hari kerana ia membantu mereka membiasa diri dalam pengambilan pil setiap hari.
Bila anda berhenti mengambil pil yang mengandungi hormon, anda akan mengalami haid.
Bagi pil POP pula, ia didatangkan dalam pek 2 tablet. Satu tablet perlulah dimakan secepat mungkin setelah melakukan hubungan seks tanpa perlindungan (kondom dan sebagainya).
Tablet pertama perlulah diambil tidak lewat daripada 72 jam atau 3 hari selepas bersetubuh.
Tablet kedua pula perlu diambil 12 jam selepas tablet pertama. Lebih cepat anda mengambilnya, lebih berkesan tindakbalas pil tersebut.
Jika anda muntah dalam masa 2 jam selepas makan pil, dos perlulah diulang. Anda boleh ulangi tidak lebih daripada 4 tablet dalam satu bulan.
Kesan Pengambilan Pil Perancang
Kesan Sampingan Pil COC
Menurut The Diagnosa, selain mencegah kehamilan, pil COC juga membantu dalam mengatur semula kitaran haid, mengurangkan risiko cyst dalam ovari serta mengurangkan kesakitan ketika haid.
Namun, ia juga dapat memberikan kesan sampingan seperti :
- Pendarahan Kecil Sebelum Haid
Secara purata, separuh daripada wanita yang mengambil pil ini mengalami masalah pendarahan faraj.
Keadaan ini juga dikenali sebagai pendarahan kecil intermenstrual iaitu pendarahan yang berlaku antara tempoh jangkaan haid.
Biasanya ia berlaku dalam masa 3 bulan pertama sejak anda mula mengambil pil perancang.
- Loya
Jika anda mengambilnya buat pertama kali, anda juga mungkin merasa loya.
Bagi mengurangkan ketidakselesaan akibat mual, anda perlulah mengambilnya dengan makanan atau sebelum tidur.
Biasanya anda hanya akan merasa loya dalam tempoh yang pendek.
- Sakit Pada Bahagian Payudara
Kesan ini juga sering terjadi bila anda mengambil pil COC, namun ia akan reda sendiri selepas beberapa minggu.
Bagi mengurangkan rasa sakit pada payudara, anda perlulah kurangkan pengambilan garam dan kafein serta pakailah coli sokongan.
Sekiranya rasa sakit semakin teruk dan anda dapati ketulan tumbuh pada payudara, segeralah berjumpa doktor.
- Sakit Kepala
Hormon yang ada dalam pil perancang boleh menyumbang kepada sakit kepala dan migrain.
- Kenaikan Berat Badan
Walaupun tiada bukti saintifik yang mengesahkan kesan pil perancang dalam peningkatan berat badan, namun ramai wanita yang dapati pinggul dan payudara mereka semakin membesar selepas mengambil pil kontraseptif ini.
- Mood Tidak Menentu
Wanita yang mengambil pil kontraseptif juga cenderung untuk alami kemurungan atau perubahan emosi.
Jika anda pernah alami kemurungan, bincanglah dahulu dengan pakar perubatan sebelum mengambilnya.
- Terlepas Haid
Walaupun anda makan pil dengan rutin yang tepat, kebarangkalian untuk terlepas haid tetap ada.
Ia boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti stres, sakit atau paras hormon tidak stabil.
Jika anda tidak datang haid walaupun masih mengambil pil perancang, doktor akan mengesyorkan anda untuk jalankan ujian kehamilan sebelum meneruskan pengambilan pil.
- Libido Menurun
Bagi sesetengah wanita, hormon yang terkandung dalam pil boleh menyebabkan keinginan seks menurun.
Jika gejala-gejala ini berterusan, dapatkan nasihat daripada doktor.
Kesan Sampingan Pil POP
Kebanyakan masa, pil ini tidak menyebabkan kesan sampingan serius.
Antara kesan sampingan yang normal berlaku ialah muntah-muntah, loya dan keletihan.
Kesan sampingan lain yang boleh berlaku ialah :
- Pening Kepala
- Cirit- birit
- Alahan pada kulit
- Pendarah yang banyak dari faraj
Bergantung kepada individu, kesan sampingan lain selain yang tidak disenaraikan juga boleh berlaku.
Sekiranya anda merasakan sakit perut yang teruk, anda perlulah segera dapatkan pemeriksaan doktor kerana anda berisiko mengalami kehamilan luar rahim (ectopic pregnancy).
Rujuklah pada doktor jika anda rasa tidak sihat selepas mengambil pil.
Larangan Pengambilan POP
Pil POP ini tidak sesuai diambil bagi wanita yang :
- Sedang hamil
- Telah lepas tempoh 72 jam selepas melakukan seks kerana pil ini sudah tidak berkesan.
- Mengalami pendarahan faraj yang tidak diketahui sebabnya.
- Menghidap kanser payudara
- Alahan kepada kandungan pil POP
- Sedang mengambil ubat yang menggangu keberkesanan pil POP seperti :
- Ubatan untuk merawat epilepsi atau sawan seperti barbiturat, primidon, penytoin, dan carbamazepine.
- Ubat untuk merawat tuberkolosis seperti rifampisin dan rifabutin.
- Ubat untuk merawat jangkitan HIV seperti ritonavir
- Ubat untuk merawat jangkitan kulat seperti griseofulvin
- Rawatan herba yang mengandungi wort St John (Hypericum perforatum)
Pil kontraseptif hanya berkesan bagi mencegah kehamilan.
Ia tidak melindungi seseorang daripada jangkitan seksual atau penyakit kelamin.
Kebanyakan masa pil ini selamat dan memberikan kesan sampingan yang normal.
Namun, anda bolehlah dapatkan nasihat doktor bagi mendapatkan kepastian sebelum mula mengambil pil ini.
Sumber :
Postinor: Fungsi, Dos dan Kesan Sampingan
thediagnosa.com
Yasmin: Fungsi, Dos dan Kesan Sampingan
thediagnosa.com