Pilihan Makanan Untuk Pesakit Kemoterapi Mengikut Keaadaan

Rawatan perubatan untuk penyakit kanser seperti radioterapi dan kemoterapi sememangnya terkenal dengan pelbagai kesan sampingan, antaranya ialah:-

  • Hilang selera makan
  • Sakit mulut/tekak
  • Mulut kering
  • Loya/muntah
  • Cirit-birit
  • Perubahan deria rasa dan bau
  • Kurang sel darah putih

Pelbagai faktor seperti jenis kanser, bahagian anggota yang terlibat serta jenis, dos dan tempoh rawatan yang akan menentukan sejauh mana kesan sampingan yang dialami.

Makanan Untuk Pesakit Kemoterapi

Makanan Untuk Pesakit Kemoterapi

Pengambilan makanan yang sihat dan sesuai semasa tempoh rawatan adalah sangat penting untuk membantu pesakit berasa lebih sihat dan bertenang semasa menjalani proses rawatan. Pesakit perlu mengambil makanan yang seimbang dari segi kandungan karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral serta pengambilan air yang secukupnya. 

Panduan Pemakanan Mengikut Keadaan Pesakit

1. Hilang Selera Makan

Apabila pesakit kehilangan selera makan, anda boleh cuba usahakan untuk memberi makanan yang digemarinya. Selain itu, berikan snek yang berkhasiat dan mudah dimakan seperti biskut, telur rebus, puding, yogurt, keju, kacang dan biji-bijian.

Anda juga boleh berikan minuman berkhasiat seperti jus buah-buahan kocak (fruit shake), susu kocak (milkshake) dan produk susu formula khas. Atau, makanan berkuah seperti sup cendawan, sup ayam dan sebagainya. Di samping itu, anda juga boleh tambahkan susu, marjerin lembut, mentega, minyak masak, madu dan karamel pada makanan. 

Sekiranya pesakit ingin mencuba makanan baru, anda boleh cuba berikan makanan yang berkhasiat tinggi. Pastikan pesakit makan walaupun sedikit, dan setiap kali lapar. Makanlah bersama ahli keluarga yang lain atau sekali-sekala, makan di restoran luar. 

2. Sakit Mulut/Tekak

Sekiranya pesakit mengalami sakit tekak, makan makanan yang lembut dan mudah dikunyah seperti kastard, jeli, puding, aiskrim, buah-buahan lembut atau buah-buahan dalam tin. Elakkan makanan yang kasar, kering, berempah, pedas, terlalu masam atau masin atau terlalu panas. Jangan lupa minum air sebanyak 8 gelas (2 liter) sehari untuk mengelakkan kekeringan. Gunakan straw untuk minum bagi mengelakkan kawasan yang sakit. 

Untuk melegakan kesakitan anda boleh cuba hisap ketulan ais dan jangan lupa juga untuk mencuci mulut anda dengan berkumur setiap kai selepas dan sebelum tidur dengan cecair khas untuk mulut atau bancuhan soda (1 sudu teh serbuk penaik dengan 2 cawan air). 

3. Mulut Kering

Untuk kesan sampingan mulut kering pula, anda boleh hidangkan pesakit dengan makanan berkuah. Pastikan pesakit meminum air dengan kerap dan bawa botol air ke mana sahaja agar pesakit boleh minum di mana sahaja. Di samping itu, minta pesakit untuk berkumur dengan kerap agar mulut pesakit tidak terlalu kering. 

Hisap gula-gula atau kunyah gula-gula getah untuk merangsang penghasilan air liur bagi mengurangkan kekeringan mulut. Selain itu, ambil makanan pencuci mulut sebelum makanan utama. Sekiranya bibir pesakit juga mengalami kekeringan, sapukan pelembab bibir. 

4. Loya/Muntah

Apabila pesakit mengalami loya atau muntah, berikan makanan yang mudah dihadam, lembut dan kering seperti kek, biskut , ban dan puding. Elakkan makanan yang berlemak/ bergoreng, terlalu manis, pedas, panas dan berbau kuat. Hisap gula-gula yang berperisa pudina atau limau bagi mengurangkan loya. 

Berikan pesakit makanan dalam kuantiti kecil tetapi kerap dan kunyah perlahan-lahan. Untuk mengelakkan loya dan muntah, elakkan minum sambil makan. Berehat sekurang-kurangnya 1 jam selepas makan secara duduk atau bersandar. Anda juga boleh minta pesakit makan sebelum menjalani rawatan. 

5. Cirit-birit

Lebihkan:

  • Air untuk menggantikan air yang hilang
  • Bubur, sup, minuman isotonik bertenaga, pisang dan jus buah-buahan bertapis untuk menggantikan garam mineral yang hilang
  • Yogurt atau minuman yogurt
  • Minuman pada suhu bilik lebih sesuai berbanding air yang terlalu panas atau sejuk

Elakkan:

  • Makanan yang berlemak/bergoreng, terlalu manis, terlalu pedas dan berempah
  • Makanan tinggi serat terutama kacang dan sayuran seperti brokoli, bunga kobis dan kobis
  • Minuman bergas dan makanan yang menghasilkan gas seperti kekacang, brokoli, kobis bunga, kobis dan gula-gula getah
  • Minuman dan makanan berkafein seperti kopi, soda dan coklat
  • Susu semasa keadaan cirit-birit yang teruk. Jika mengambil susu, pilih susu tanpa laktosa dan susu formula khas

6. Perubahan Deria Rasa dan Bau

Perisakan daging, ikan dan ayam dengan jus limau, rempah, sos, perencah asli seperti halia, bawang putih, lengkuas dan serai. Selain itu, hidangkan makanan panas pada suhu panas dan makanan sejuk pada suhu sejuk. 

Sekiranya makanan terasa metalik (berlogam), tukar peralatan kepada jenis plastik atau kaca. Pesakit boleh memakan gula-gula berperisa lemon atau pudina bagi mengurangkan rasa pahit mulut atau metalik (berlogam). Jangan lupa ambil buah-buahan seperti limau, mangga, belimbing atau oren untuk merangsang penghasilan air liur. 

Sekiranya pesakit mengalami masalah mengunyah, gantikan daging dengan makanan berprotein lain seperti ikan, telur, produk tenusu dan produk soya seperti tahu dan tempe. 

7. Kurang Sel Darah Putih

Pilih makanan segar dan elak makanan diawet. Sekiranya anda ingin memakan makanan dalam tin, pastikan tin dalam keadaan baik, tidak kemek atau rosak. Selain itu, elakkan sayur-sayuran mentah seperti ulam/salad. 

Masak telur, daging, ikan, ayam dengan sempurna. Elakkan mengambil makanan separuh masak mentah. Nyahbekukan makanan menggunakan ketuhar gekombang mikro atau chiller dan masak makanan sejurus selepas dinyahbeku. 

Sumber: https://nci.moh.gov.my/index.php/ms/info-sihat/245-panduan-mengatasi-masalah-pemakanan-kesan-dari-rawatan-kanser 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161