Buang Air Besar Berdarah, Adakah Petanda Kanser Usus?
Berak berdarah adalah merupakan satu keadaan yang merisaukan sesiapa yang mengalaminya.
Pendarahan yang berlaku boleh menjadi petanda penyakit yang serius namun jangan risau, ia juga boleh disebabkan oleh gejala-gejala yang tidak membahayakan kesihatan secara serius.
Buang Air Besar Berdarah
Untuk mengetahui punca berlakunya pendarahan ketika anda sedang membuang air, doktor perlu mengetahui beberapa perkara penting seperti, kuantiti darah, warna darah, kekerapan berak berdarah, tahap kesakitan, dan sebagainya.
Mengetahui kuantiti darah adalah perlu bagi memastikan keadaan pesakit stabil. Hal ini kerana, sekiranya darah keluar secara berlebihan ia boleh menyebabkan pesakit pengsan kerana kekurangan darah.
Oleh itu, sekiranya anda buang air besar berdarah, sila perhatikan seberapa banyak darah yang keluar.
Untuk pengetahuan anda, semakin pekat (merah) darah yang keluar dari dubur pesakit, semakin dekat lokasi pendarahan dengan lubang dubur.
Jika lokasi pendarahan berlaku jauh dari lubang dubur, darah yang keluar akan menjadi lebih gelap bahkan boleh menjadi warna hitam disebabkan berlakunya oxidasi haem (molekul sel darah merah) oleh bakteria di dalam usus.
Contohnya, sekiranya pesakit mempunyai luka di bahagian dalam perut, najis yang keluar akan bercampur darah yang berwarna hitam.
Manakala, sekiranya darah berwarna merah pekat, ia kemungkinan disebabkan oleh masalah sembelit, buasir, dll.
Mari baca lebih lanjut mengenai punca buang air besar berdarah di bawah.
Punca & Penyakit Yang Berkaitan Berak Berdarah
- Buasir
Biasanya berak berdarah sering dikaitkan dengan buasir. Menurut portal MyHealth, Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur.
Ia akan membawa masalah apabila ianya menjadi radang atau bengkak. Ini boleh menjadi punca kenapa anda berak berdarah.
- Fisur Anus (Anal fissure)
Buang air besar berdarah boleh terjadi disebabkan oleh fisur anus; berlaku kekoyakan pada kawasan sekitar dinding anus.
Keadaan ini menyebabkan rasa sakit ketika membuang air kerana dubur terasa seperti terkoyak ketika najis ingin dikeluarkan dan najis berdarah.
- Penyakit Crohn
Penyakit Crohn merupakan salah satu penyakit yang menyebabkan lapisan dinding sistem pencernaan, bermula dari mulut hingga anus akan mengalami keradangan. Selalunya, ia memberi kesan kepada usus besar.
Antara gejala penyakit ini ialah cirit-birit, sakit perut, muntah yang agak teruk serta berak berdarah. Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya gejala berlanjutan.
- Ulser Peptik
Ulser peptik adalah ulser yang berlaku di dinding perut atau usus sehingga boleh menyebabkan pendarahan berlaku. Sehubungan itu, darah tersebut boleh dilihat ketika membuang air besar.
- Keracunan Makanan
Antara gejala keracunan makanan ialah sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah, loya termasuklah berak berdarah.
Keracunan makanan adalah disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang telah dicemari oleh bakteria.
Antara sebab terjadinya keracunan makanan adalah penjagaan kebersihan yang kurang dititikberatkan, makanan tidak dimasak dengan sempurna, makanan tidak disimpan dengan baik dan sebagainya.
- Polip Kolon
Polip kolon ialah gumpalan kecil sel yang terbentuk pada lapisan kolon (usus besar). Kebanyakan polip kolon tidak berbahaya.
Walaubagaimanapun, dari masa ke masa, beberapa polip kolon boleh berkembang menjadi kanser kolon, yang mungkin membawa maut apabila ditemui pada peringkat akhir.
Kehadiran polip (gumpalan pada kolon) ini juga boleh menjadi punca anda buang air besar berdarah.
- Kanser
Ya benar, berak berdarah juga boleh menjadi salah satu petanda kewujudan kanser. Hal ini kerana, terdapat 2 jenis kanser yang boleh menyebabkan pendarahan ketika membuang air besar; Kanser pada kolon (usus) dan kanser anal.
Kesimpulan
Walaupun tidak semua berak berdarah itu berbahaya, namun ia adalah satu keadaan yang perlukan perhatian dan rawatan segera.
Dengan mendapatkan rawatan, anda boleh mengetahui punca disebalik najis yang berdarah itu, lebih lebih lagi sekiranya ia turut disertai dengan gejala lain seperti berat badan turun drastik, demam, kerap sakit perut dan sebagainya.
Jangan ambil mudah ya. Dapatkan rawatan segera.
Sumber: https://www.doctoroncall.com.my, hellodoktor.com