Rakyat Malaysia Paling Gemuk Di Asia Tenggara. Ini 5 Punca Obesiti Yang Ramai Tidak Tahu!

Sebenarnya, apakah punca obesiti? Adakah ia berlaku disebabkan pemakanan yang tidak sihat atau penyakit? Untuk pengetahuan anda, ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kegemukan, contohnya stres atau tidak cukup tidur.

Kegemukan merupakan satu masalah kesihatan yang sukar untuk dibendung. Mereka yang obes bukan sahaja berisiko menghidap pelbagai jenis penyakit, kegemukan juga boleh menyebabkan penghidapnya rasa rendah diri dan tidak yakin dengan imej diri.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar obesiti di negara kita adalah yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus. Data ini diambil berdasarkan Laporan Semakan Populasi Dunia 2019.

Tambah lagi, menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada tahun 2019, 50.1 peratus rakyat negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Dalam artikel kali ini, kami akan senaraikan 5 punca obesiti dalam kalangan orang dewasa. Sebenarnya, banyak makan bukanlah satu-satunya punca obesiti. Ada banyak lagi faktor lain rupanya!

5 Punca obesiti dalam kalangan orang dewasa

punca obesiti

Ada banyak faktor lain yang boleh menyebabkan kegemukan, antaranya ialah genetik, persekitaran dan juga kurangnya senaman.

Walau bagaimanapun, kebanyakan punca yang menyebabkan obesiti boleh diubah.

Menurut CDC, ada beberapa punca obesiti yang telah dikenal pasti:

1. Terlalu banyak makan atau diet yang tidak sihat

Tidak dinafikan, mereka yang makan terlalu banyak akan berhadapan dengan masalah kegemukan. Kita akan mengalami peningkatan berat badan jika mengambil terlalu banyak kalori, lebih daripada apa yang badan mampu bakar setiap hari.

Ketidakseimbangan inilah yang menyebabkan berat badan kita meningkat secara mendadak.

Obesiti juga bukanlah satu kondisi yang berlaku semalaman. Ia terjadi apabila anda mengambil terlalu banyak makanan, terutamanya makanan yang tidak sihat dalam satu jangka masa yang panjang.

Selain itu, diet yang tidak sihat juga boleh menyebabkan kegemukan. Sebagai contoh:

  1. Terlalu banyak mengambil makanan yang diproses. Makanan ini kaya dengan lemak dan gula.
  2. Minum terlalu banyak alkohol. Alkohol mengandungi banyak kalori. Mereka yang sering mengambil minuman keras lebih berisiko untuk mengalami kegemukan dan juga pelbagai lagi penyakit lain.
  3. Selalu makan luar. Makanan di kedai selalunya ditambah banyak gula dan garam. Malah, saiz hidangannya juga terlalu besar, kadangkala lebih banyak daripada apa yang badan anda perlukan.
  4. Selalu minum manis. Sering memesan teh ais di kedai? Ini adalah antara punca obesiti yang ramai orang terlepas pandang.
  5. Selalu makan ketika stres. Ada di antara kita yang akan beralih kepada makanan ketika stres. Amalan ini turut dikenali sebagai ‘comfort eating’ dan ia boleh menyebabkan obesiti.

2. Faktor genetik

punca obesiti

Kajian menunjukkan, genetik memainkan peranan penting sebagai punca obesiti. Sebagai contoh, penyakit Prader-Willi akan membuatkan penghidapnya lebih berisiko untuk menjadi obes.

Selain itu, genetik juga boleh menyebabkan seseorang itu lebih mudah gemuk. Saintis juga percaya bahawa genetik boleh menyebabkan obesiti selain masalah pemakanan dan kurangnya senaman.

Walau bagaimanapun, bukan semua kes obesiti adalah disebabkan genetik semata-mata. Selalunya, seseorang boleh menjadi obes disebabkan faktor persekitaran seperti gaya pemakanan yang tidak sihat sejak kecil.

3. Kurangnya bersenam punca obesiti

Kurang bersenam merupakan salah satu lagi punca obesiti. Ramai orang yang mempunyai kerja sedentari; kerja yang memerlukan kita untuk duduk sepanjang hari. Malah, selepas habis kerja, kita akan duduk pula di dalam kereta.

Jika anda tidak aktif, badan tidak akan menggunakan tenaga daripada makanan yang diambil sepenuhnya. Semua lebihan tenaga ini akan ditukarkan pula kepada lemak.

Orang dewasa digalakkan untuk bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu. Untuk memudahkan, anda boleh pecahkan senaman tersebut kepada beberapa bahagian. Sebagai contoh, anda boleh bersenam selama 30 minit, 5 kali seminggu.

Namun, orang yang mempunyai berat badan berlebihan mungkin perlu bersenam dengan lebih kerap.

Tidak dinafikan, senaman sangat sukar untuk dilakukan jika anda baru sahaja bermula. Tetapi, penurunan berat badan, walaupun sedikit, sangat bermanfaat untuk mereka yang obes.

Mulakan senaman dengan perlahan. Lama-kelamaan, tambah masa senaman supaya anda boleh turunkan berat badan.

4. Menghidap penyakit tertentu

Individu yang menghidap penyakit hormon mungkin akan berhadapan dengan masalah berat badan. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai penyakit tiroid tidak aktif, sindrom Cushing dan sindrom polisistik ovari (PCOS) lebih berisiko untuk obes.

Selain itu, ada juga ubat-ubatan yang boleh menjadi punca kegemukan. Ubat kortikosteroid, anti depresi dan juga anti sawan adalah contoh ubat-ubatan yang boleh menyebabkan obesiti.

5. Tekanan perasaan yang melampau punca obesiti

punca obesiti

Benar, tekanan perasaan, sama ada disebabkan masalah peribadi atau di tempat kerja boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, salah satunya ialah obesiti.

Ada orang yang akan makan dengan lebih banyak ketika mereka marah, bosan atau tertekan.

Kajian juga menunjukkan, masa tidur juga mempengaruhi berat badan seseorang. Semakin lambat anda tidur, besar kemungkinan anda akan makan berlebihan pada waktu malam.

Selain itu, hormon yang dirembeskan ketika tidur juga dapat membantu kita mengawal nafsu makan. Jika kita sering tidur lewat, kita mungkin akan makan lebih banyak pada waktu siang.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: