Solat Hajat: Panduan Paling Ringkas Berserta Doa

Tipulah jika sepanjang hidup ini kita tidak pernah terpalit dengan permasalahan atau kesukaran. Mengalami kesulitan dalam hidup itu wajar. Tidak ada yang sentiasa gembira sahaja sepanjang hidupnya, tidak ada juga yang sentiasa sedih dan bahagia selama-lamanya.

Pasti akan ada ujian dan dugaan yang dihadirkan bersama dengan pertolongan dan hikmah baik di hujungnya nanti. Islam mengajarkan umatnya untuk melaksanakan solat hajat untuk memohon sesuatu perkara atau menolak sesuatu yang tidak diingini agar apa yang dihajati termakbul atas kehendak Allah SWT jua.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.” – (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad shahih dari Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian solat dua raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa saja yang dimintanya, sama ada cepat ataupun lambat.”

Hukum mengerjakan solat hajat

Hukum mengerjalan solat hajat adalah sunat. Iaitu bermaksud jika amalan ini dilakukan, kita akan mendapat pahala. Sebaliknya jika tidak dilakukan ia tidak mendatang dosa sebaliknya tidak mendapat apa-apa.

Waktu mendirikan solat hajat

Solat sunat ini boleh didirikan pada bila-bila masa sahaja sama ada siang atau pun malam. Paling afdal dilaksanakan pada waktu sepertiga malam sewaktu berqiamulail.

Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Bilangan rakaat

Bilangan rakaat yang paling sedikit boleh anda lakukan adalah sebanyak dua rakaat dengan satu salam. Manakala paling maksima adalah 12 rakaat dengan 6 salam.

Boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian?

Situasi ini pasti pernah berlaku kepada anda seperti dijemput untuk solat hajat berjemaah di sekolah anak sempena minggu SPM yang bakal tiba, solat hajat perdana di pejabat atau sebagainya. Sebelum ini kita selalu dengar solat hajat lazim dilakukan secara bersendirian. Tetapi bagaimana jika ia dilakukan secara berjemaah pula?

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah:

“Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa’. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya jamaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal. Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjamaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan. Tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam Al-Syafie telah menaskan di dalam Mukhtasar Al-Buwaithi dan Mukhtasar Al-Rabi’ bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat.” – (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi)

Cara solat hajat lengkap niat dan doa

Rukun dalam cara solat dhuha sama sahaja seperti solat-solat fardhu yang lain. Tetapi yang membezakannya adalah niat sahaja dan bilangan rakaat paling sedikit adalah sebanyak dua rakaat.

1. Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat

2. Membaca niat solat

Usolli sunnatal hajati rak’ataini lillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

3. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut

الله أكبر

Allahuakbar

Maksudnya: Allah Maha Besar

4. Membaca doa iftitah

“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”

Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.

5. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

6. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan

Untuk solat hajat digalakkan untuk membaca surah Al-Kafirun atau Ayat Kursi sebanyak (1 atau 11 kali) pada rakaat pertama. Manakala untuk rakaat kedua membaca surah Al-Ikhlas sebanyak (1 atau 11 kali).

7. Rukuk sambil bertakbir

“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)

Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.

Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.

8. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini

“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”

Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.

Dalam keadaan ini juga, anda perlu berdiri tegak menghadap kiblat. Manakala kedua-dua belah tangan harus berada di sisi tanpa digerak-gerakkan dengan sengaja.

9. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini

“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”

Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.

Berbeza bagi keadaan yang sebelum tadi, bagi sujud pula kedua-dua tapak tangan harus diletakkan di atas lantai atau pelapik yang digunakan untuk sujud biasanya sejadah. Kedudukannya lebih kurang separas bahu sahaja.

10. Bacaan duduk antara dua sujud

“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “

Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.

11. Sujud kembali sambil bertakbir

12. Berdiri semula sambil bertakbir dan ulangi dengan membaca surah Al-Fatihah sehingga habis dan sujud di rakaat kedua

Ketika sujud di rakaat kedua, mohonlah apa sahaja hajatan yang anda inginkan di dalam hati engan bahasa yang mudah difahami.

13. Duduk tahiyat akhir

Maksudnya: Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.

14. Memberikan salam

Doa solat hajat

“Allahumma inna nas aluka maujibati rahmatika wa ‘azaa ‘ima magfiratika wal ghonimata min kulli birrin wassalamat min kulli ismin wal fauza bil jannati wannajati minannar.

Allahumma innaka tasma’u kalami, watara makani wataq lamu sirri wa’ala niyati walaa yahfa alaika syai-unn min amri wa analba’isulfakir wal mustaghi sul mustajir wal wajilul mushfiqul muqirrul ma’tarifu ilaika bizanbihi as aluka mas alatal miskin wa abtahilu ilaika ibtihal

Ilmuznibil zalili wa ad auka dua alkhoifil dhorir dua ‘aman khodhoatt laka raqabatuhu wazalla laka jismuhu wara ghima laka anfuhu”

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada Mu hal-hal yang dapat menentukan rahmat Mu dan menguatkan pengampunan Mu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuan Mu.

Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepada Mu.

Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.
Aku mohon kepada Mu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepada Mu.”

Jangan kecewa dengan pemberian Allah

Manusia suka apabila diberikan hadiah tetapi manusia akan bersedih apabila diberikan musibah dan kegagalan. Itu fitrah sebagai seorang manusia yang diberikan perasaan untuk merasakan dan meluahkan apa yang dirasa.

“Marah pada Allah SWT kerana gagal walaupun kita sudah berdoa dan berusaha.”

Pernah atau tidak anda merasakan perasaan seperti itu? Sedarlah duhai manusia, sesungguhnya segala pemberian dan takdir Allah SWT itulah yang terbaik bagi setiap kehidupan makhluknya.

Apabila seseorang itu berhajat lalu dia berdoa. Dia mengharapkan 100% kemahuan dalam doanya itu dikabulkan. Lalu apabila Allah takdirkan ia tidak berjalan mengikut apa yang kita mahu, kita mula menyalahkan takdir. Sebenarnya cara pemikiran seperti itu salah sama sekali.

Pertama yang perlu kita perhatikan adalah adab dalam berdoa iaitu betul-betul menyerahkan kepada Allah SWT. Tidak mempersoalkan atau menolak takdir Allah SWT.

Hakikatnya, Allah Maha Mengetahui dan mendengar keluhan apa yang dipohon oleh kita sama ada secara tersurat atau tersirat. Cuma kita sahaja yang kadang kala terburu-buru mahu hajat itu dikabulkan segera.

Sabda Rasulullah SAW: “Berdoalah kamu sekalian pada ALLAH SWT dengan perasaan yakin akan dikabulkannya doamu. Ketahuilah bahawasanya DIA tidak akan mengabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh-sungguh.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Makna “kabul” itu sangat luas untuk difahami oleh kita. Kabul bukan bermakna kita berdoa sedemikian, maka Allah SWT akan memberi sedemikian juga.

Allah SWT mengkabulkan doa kita dengan bebera cara:

  • Dalam bentuk yang berbeza
  • Dikabulkan secara spontan
  • Ditunda nanti di akhirat kelak

Oleh itu, kita haruslah sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT. Kita perlu beriman dengan ketentuan takdir Allah SWT. Setiap daripada kita selain mempunyai takdir yang cenderung kepada perkara yang baik-baik kita juga diuji dengan qadar yang buruk .Namun yakinlah ia yang terbaik. Kerana buruk yang kita sangka itu hanya buruk dari pandangan kita bukan dari pandangan Allah.

Dalam surah al-Baqarah ayat 216 Allah menjelaskan akan hal ini. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal sejatinya itu buruk dan merugikan bagi kalian, seperti tidak berangkat ke medan jihad. Tindakan ini dapat mendatangkan kehinaan dan penjajahan oleh musuh. Dan Allah benar-benar mengetahui secara pasti mana perkara yang baik dan mana perkara yang buruk, sedangkan kalian tidak mengetahuinya. Maka sambutlah perintah-Nya, karena perintah-Nya itulah yang berisi kebaikan bagi kalian.”

Kelebihan solat hajat

Solat hajat mempunyai kebaikannya yang tersendiri kepada kita seperti:

  • Kehidupan menjadi lebih tenang
  • Membentuk diri dengan akhlak yang baik, ikhlas, dan redha dengan ketentuan Allah SWT
  • Menambah keimanan terhadap kekuasaan Allah SWT
  • Mudah dikabulkan doanya oleh Allah SWT

Kesimpulan

Mencairkan kekusutan dalam hidup, carilah dengan jalan Allah SWT. Meleburkan segala jurang dalam memiliki keinginan, carilah juga dengan jalan Allah SWT. Semoga dengan mendahulukan Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan kita akan menjadi lebih tenang dan ikhlas dalam berdamai dengan takdir.

Rujukan

  1. Cara Solat Hajat Paling Ringkas (Untuk Peperiksaan & Jodoh). The Rohani dari, https://therohani.com/cara-solat-hajat-ringkas/
  2. Al-Kafi #656: Solat Hajat Secara Berjemaah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/681-al-kafi-656-solat-hajat-secara-berjamaah
  3. Cara Solat Sunat Hajat Yang Mudah & Ringkas. Wadah Amru dari, https://wadah.amru.com/siri/tentang-solat/cara-solat-sunat-hajat-yang-mudah-ringkas/
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113