Sujud Syukur: Panduan Ringkas Beserta Doa Tanda Kita Bersyukur

Sujud adalah perbuatan meletakkan dahi bersentuhan langsung dengan tempat sujud. Dalam solat, sujud adalah salah satu dari rukun solat yang wajib dilakukan oleh kita, jika tidak amalan itu tidak sah. Terdapat banyak jenis sujud yang boleh kita ketahui dalam Islam seperti sujud solat, sujud syukur, sujud tilawah, dan sujud sahwi.

Dari Ma’daan Bin Abi Thalhah Al Ya’mary, katanya, “Aku pernah bertemu dengan Tsaubaan, maulaa (hamba) Rasulullah SAW lalu aku bertanya (kepadanya) ceritakanlah kepadaku suatu amalan yang dengan sebabnya aku dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Atau suatu amalan yang paling disukai oleh Allah. Lalu dia (Tsaubaan) diam. 

Kemudian aku bertanya lagi. Dia juga diam. Kemudian aku bertanya kali yang ketiga, maka dia berkata, “Aku pernah bertanya tentang perkara itu kepada Rasulullah SAW lalu sabda baginda, “Hendaklah engkau memperbanyak sujud kepada Allah kerana sesungguhnya engkau tidaklah sujud kepada Allah dengan satu sujud kecuali Allah akan tinggikan engkau dengan satu darjat dan hapuskan daripadamu satu kesalahan.”- (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Apakah itu sujud syukur?

Sujud syukur adalah sujud yang dilakukan oleh seseorang apabila mendapat berita gembira ataupun simbolik kepada ucapan terima kasih yang diberikan kepada Allah SWT.

Dalil tentang sujud syukur

Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Abu Bakar RA:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Perbuatan itu dicontohi oleh beberapa sahabat seperti Abu Bakar RA yang sujud ketika pembukaan Yamamah. Ali RA yang sujud syukur setelah Dzu al-Thudayyah berada dalam kawanan Khawarij. Dan Ka’ab Bin Malik yang juga sujud syukur ketika mendengar khabar bahawa taubatnya diterima.

Waktu yang paling sesuai untuk dilakukan

Abu Bakar RA ada menyatakan bahawa apabila beita gembira datang kepada Rasulullah SAW, baginda akan terus sujud kepada Allah SWT.

Malah penyataan ini disokong oleh Sheikh Ibnu Utsaimin dalam Fatawa Islamiyyah :

Maksudnya: “Sujud Syukur dilakukan kerana selamat dari sesuatu musibah atau menerima nikmat yang dikurniakan kepada seseorang (tanda terima kasih).”

Oleh kerana itu, ia sunat dilakukan dalam dua keadaan seperti:

  1. Apabila memperolehi anugerah, nikmat, atau berita gembira
  2. Apabila terselamat daripada sebarang bencana, dan musibah

Syarat sujud syukur

Walaupun terdapat sedikit khilaf dalam hal ini, namun begitu banyak pendapat yang mengatakan sujud syukur sama dengan sujud dalam solat yang lain. Pendapat dari mazhab Syafie, dan Hanbali menyatakan bahawa antara syarat untuk sujud adalah:

  • Suci daripada hadas besar, dan kecil
  • Pakaian, badan, dan tempat yang di duduki juga suci daripada sebarang najis
  • Hendaklah menghadap ke arah kiblat
  • Mesti menutup aurat

Cara sujud syukur yang betul

1. Berniat (Sahaja aku mengerjakan sujud syukur kerana Allah Taala)

2. Bertakbir sepertimana takbiratul ihram dengan mengangkat tangan kerana diqiyaskan dengan solat

3. Bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan untuk sujud

4. Sujud sekali seperti di dalam solat. Bacaan sujud syukur sama dengan bacaan sujud di dalam solat. Kemudian, boleh ditambah dengan lafaz tahmid memuji Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan Nya dengan lafaz seperti:

sujud syukur

Maksudnya: “Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.”

5. Bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) lalu memberi salam

Doa sujud syukur

Maksudnya: “Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.”

Bolehkah sujud syukur tanpa wuduk & tidak menghadap kiblat?

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, sujud syukur boleh dilakukan tanpa wuduk, atau tidak menghadap kiblat. Kenyataan ini disokong oleh beberapa pendapat lain seperti:

  • Tiada pendapat yang jelas bahawa sujud ini memerlukan seseorang itu untuk mengambil wuduk dahulu
  • Zahir hadis Abu Bakar RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur apabila menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tidak pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwuduk
  • Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta.

Kesimpulan

Terlalu banyak nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita selama ini. Jika dihitung buih dalam lautan, sudah tentu kita tidak mampu menghitungnya satu per satu. Begitulah cinta Allah SWT kepada makhluk Nya.

Rujukan

  1. Ensiklopedia Solat, Telaga Biru
  2. Irsyad Al-Fatwa Ke – 136: Sujud Syukur: Adakah Memerlukan Wudhu’ & Menghadap Kiblat. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1223-irsyad-al-fatwa-ke-136-sujud-syukur-adakah-memerlukan-wudhu-menghadap-kiblat
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113