Supplement Tambah Berat Badan, Perlu Atau Tidak Perlu?
Benar, semua orang ingin kurus. Walau bagaimanapun, individu yang kurang berat badan atau mempunyai BMI kurang daripada 18.5 sebenarnya terdedah dengan pelbagai jenis penyakit. Namun, perlukah mereka yang underweight ini mengambil supplement tambah berat badan?
Ada banyak pernyakit yang boleh berlaku kepada mereka yang kurang berat badan. Antaranya ialah keguguran rambut, masalah kesuburan, sistem imun yang lemah dan lebih berisiko menghidap osteoporosis pada masa akan datang.
Selain pengambilan supplement tambah berat badan, anda juga boleh melakukan pelbagai cara untuk meningkatkan berat badan. Sebagai contoh, tambahkan lemak sihat dalam pemakanan harian anda seperti bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai cara naikkan berat badan secara semula jadi dan suplemen yang mungkin dapat membantu.
Cara tingkatkan berat badan secara semula jadi
1. Makan dengan lebih kerap
Pertama sekali, anda perlulah makan dengan lebih kerap.
Cuba dapatkan kalori tambahan daripada makanan supaya anda boleh meningkatkan berat badan dengan selamat.
Jika anda sukar untuk makan kerana cepat rasa kenyang, cuba makan 6 kali sehari tetapi dengan jumlah hidangan yang kecil.
2. Dapatkan kalori melalui minuman
Minuman yang manis mengandungi banyak kalori. Walau bagaimanapun, elakkan minuman yang manis seperti diet soda, kopi atau teh.
Sebaiknya, minum lebih banyak jus, susu atau smoothies untuk dapatkan kalori tambahan. Minuman ini juga mempunyai pelbagai nutrisi yang diperlukan tubuh.
3. Kurangkan pengambilan makanan ringan
Untuk meningkatkan berat badan dengan selamat, elakkan pengambilan makanan segera atau makanan ringan.
Makanan jenis ini penuh dengan garam, gula dan lemak tidak sihat. Tambahkan lebih banyak daging pejal, makanan tenusu, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet harian.
4. Tambah lebih banyak kekacang dalam makanan
Kacang tanah, almond dan mentega kacang adalah antara contoh kekacang yang boleh menambah lebih banyak kalori sihat dalam pemakanan anda.
Malah, makanan ini juga boleh dijadikan snek sihat untuk dikunyah ketika bekerja atau di antara waktu makan.
5. Pilih makanan yang sihat
Walaupun anda ingin menambah berat badan, itu bukanlah lesen untuk anda makan sesuka hati.
Untuk meningkatkan berat badan dengan sihat, anda perlulah memilih makanan yang sihat dan berkhasiat seperti bijirin penuh, daging pejal, lemak sihat, sayur serta buah-buahan.
6. Bersenam untuk bina otot
Cuba lakukan senaman seperti yoga, senaman angkat berat dan aktiviti lain yang dapat membantu anda meningkatkan berat badan.
Walaupun otot akan membakar lebih banyak kalori, ia dapat membuatkan anda rasa lebih lapar. Oleh sebab itu, anda cenderung untuk makan lebih banyak.
Jika anda ingin meningkatkan berat badan, namun menghidap penyakit tertentu, pastikan anda dapatkan nasihat daripada doktor sebelum bermula.
3 supplement tambah berat badan yang boleh anda dapatkan di pasaran
Individu yang ingin menambah berat badan haruslah fokus untuk membina otot.
Walaupun senaman dan pemakanan yang sihat memainkan peranan penting, anda juga boleh mengambil supplement tambah berat badan untuk membantu menambah berat badan.
Di bawah, kami senaraikan 4 jenis supplement tambah berat badan yang boleh membantu anda menambah otot badan.
Supplement tambah berat badan 1: Protein
Kajian menunjukkan, mereka yang mengambil protein, sama ada dalam bentuk shake atau bar selalunya dapat menjana lebih banyak pertumbuhan otot.
Walau bagaimanapun, pengambilan protein tidak terhad dalam bentuk suplemen sahaja. Anda juga boleh menambah lebih banyak makanan yang kaya dengan protein seperti daging ke dalam diet harian.
Namun, jika anda sibuk dengan kerjaya masing-masing, pengambilan suplemen protein mungkin dapat membantu menambah kalori dalam pemakanan.
Supplement tambah berat badan 2: Kreatina
Kreatina atau creatine merupakan salah satu suplemen yang selamat dan telah banyak kali dikaji. Molekul ini boleh dijumpai secara semula jadi dalam sel badan atau di dalam makanan tertentu.
Pengambilan kreatine dapat menambah otot badan dan meningkatkan prestasi senaman.
Jika anda ingin membeli suplemen yang mengandungi kreatine, cuba cari produk yang mengandungi creatine monohydrate. Menurut kajian, kreatine jenis ini paling selamat dan efektif untuk pengambilan.
Supplement tambah berat badan 3: Weight gainers
Untuk meningkatkan berat badan, anda perlu mengambil lebih banyak kalori daripada biasa.
Disebabkan ada individu yang mengalami kesukaran untuk meningkatkan berat badan, ada produk khas yang dikenali sebagai ‘weight gainers’ yang banyak dijual di pasaran.
Weight gainers mengandungi banyak kalori. Malah, ada juga makanan tambahan yang mengandungi lebih 1000 kalori dalam satu hidangan!
Walaupun pengambilan suplemen ini mungkin dapat membantu meningkatkan berat badan, rasanya mungkin tidak sedap bagi sebahagian orang.
Oleh sebab itu, pastikan anda dapatkan suplemen yang disukai dan minta pendapat ahli farmasi atau doktor sebelum mengamalkannya.