Surah Al-Ikhlas: Terjemahan Rumi & Hadis Kelebihan Membacanya
Al-Quran diturunkan sebagai kitab suci yang menjadi panduan seluruh umat Islam sehingga kiamat. Dalam Al-Quran terdapat sebuah surah yang dipanggil sebagai surah al-Ikhlas. Ia terdiri daripada 4 ayat sahaja, dan merupakan surah ke-112 di antara surah-surah lain.
Latar belakang
Al-Ikhlas membawa maksud “Kesucian” atau “Penulenan”. Ikhlas dalam perlambagan surah ini beerti keikhlasan pada keesaan Allah Yang Maha Satu. Surah ini telah diturunkan di Mekah yang mengisahkan tentang Bilal Bin Rabah ketika diseksa oleh tuannya yang kejam, beliau berulang kali mengatakan “Ahad! Ahad!” (yakni Esa, merujuk kepada Allah SWT).
Imam Fakhruddin al-Razi dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa terdapat 19 lagi nama lain bagi surah al-Ikhlas. Ini adalah salah satu surah yang paling banyak dibaca oleh Muslim di seluruh dunia yang menghafalnya sebagai salah satu surah pertama dari petikan Al-Quran yang mulia.
Mengapa dinamakan al-Ikhlas?
Imam Fakhruddin al-Razi menukilkan bahawa sebenarnya terdapat sembilan belas lagi nama lain bagi surah ini selain surah al-Ikhlas:
- Al-Tafrid
- Al-Tajrid
- Al-Tauhid
- An-Najat, kerana ia menyelamatkan daripada kekufuran di dunia dan azab di akhirat
- Al-Wilayah, kerana seseiapa yang mengarifi keesaan Allah SWT, maka dia termasuk daripada wali-wali-Nya
- Al-Nisbah
- Al-Ma’rifah, surah ini dipenuhi dengan sifat-sifat Allah SWT yang perlu diketahui bagi menyempurnakan ma’rifatullah
- Al-Jamal, kerana ia menghimpunkan sifat-sifat Allah SWT yang merupakan sesempurna seindah-indah sifat
- Al-Muqasyqisyah(المُقَشْقِشَة) , kerana ia membersihkan dan menyucikan orang beriman daripada syirik
- Al-Mu’awwizah, iaitu penyembuh atau pelindung
- Al-Somad, kerana surah ini menjadi tumpuan dalam isu aqidah
- Al-Asas, kerana ia asas aqidah
- Al-Mani’ah, kerana ia mampu menghalang daripada azab kubur dan neraka
- Al-Mahdhar, kerana para malaikat hadir untuk mendengarnya tatkala ia dibaca
- Al-Munaffirah, kerana syaitan lari daripadanya tatkala dibaca
- Al-Barra’ah, kerana ia berlepas diri daripada syirik
- Al-Muzakkirah, kerana ia mengingatkan tentang
- Al-Nur, dimana terdapat riwayat dimana Rasulullah SAW menyebut surah ini sebagai cahaya
- Al-Aman, kerana siapa yang membacanya akan selamat daripada azab
Namun begitu, dalam banyak nama, dan panggilan yang diberikan, surah ini lebih dikenali dengan nama surah al-Ikhlas kerana orang yang menyakini isi kandungannya akan menjadi ikhlas dalam menjalankan agama Allah SWT, dan orang yang mati dengan ikhlas, akan dijauhkan daripada api neraka.
Bacaan dalam rumi
“Bismillahirrahmanirrahim”
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,lagi Maha Mengasihani
“Qul huwallahu ahad”
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (1)
“Allahus samad”
Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat (2)
“Lam yalid wa lam yulad”
Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan (3)
“Wa lam yakul lahu kufuwan ahad”
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya (4)
Isi kandungan surah al-Ikhlas
Asbabun nuzul dari surat ini ialah sebagaimana diterangkan dalam riwayat Imam Ahmad bahwa orang-orang musyrik telah menyampaikan kepada Nabi SAW:
Maksudnya: “Hai Muhammad, terangkanlah nasab Tuhanmu kepada kami kemudian Allah menurunkan wahyu “katakanlah, dialah Allah Yang Maha Esa. Allah ialah Tuhan yang bergantung kepadanya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”
- Ayat 1: Menerangkan tentang Dia Satu, dan Tunggal, yang tidak mempunyai bandingan, wakil, saingan, yang ibarat dan yang menyamai Nya. Hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa untuk memakai lafaz ini kerana Dialah Yang Maha Sempurna
- Ayat 2: Perkataan “Ash Shamad” dalam ayat kedua ini diterangkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa yang semua makhluk menyandarkan diri kepada Nya dalam setiap keperluan, dan permasalahan mereka.
- Ayat 3 : Menerangkan tentang Allah SWT yang tunggal tidak mempunyai keluarga atau anggota keluarga seperti anak, ayah, isteri, dan sebagainya.
- Ayat 4: Menegaskan bahawa tidak ada apa-apa atau sesiapa atau mana-mana makhluk yang boleh dibandingkan dengan Allah SWT
Maka jelaslah, surah al-Ikhlas memberi perincian yang amat mendalam tentang pengesaan Allah SWT yang mutlak, dan tiada tandingannya. Maka sebagai makhluk, kita perlu yakin, percaya, dan beriman dengan keesaan itu.
Kelebihan membaca surah al-Ikhlas
1. Seperti membaca 1/3 Al-Quran
Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW ada bersabda dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca ‘Qul hu wallah hu A’had’ dengan mengulang-ulangnya, maka tatkala pagi harinya, dia mendatangi Rasulullah dan menceritakan hal itu kepadanya dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah al-ikhlas, maka Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga al-Quran.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, An-Nasaie)
Dalam Al-Quran terdapat 3 pembahasan keseluruhannya yang utama iaitu tentang hukum, janji dan ancaman, dan penceritaan mengenai Allah.
Bila dibaca terjemahan surah al-Ikhlas memang benar ia merangkumi 3 pembahasan utama Al-Quran yang disebutkan tadi, kerana itulah nilainya seperti sepertiga Al-Quran.
Kata al-Hafidz Ibnu Hajar, “Bernilai sepertiga Al-Quran seperti dalam sabda Rasulullah SAW itu difahami oleh sebahagian ulama akan makna zahirnya. Ulama-ulama tersebut menerangkan bahawa surah ini bernilai sebegitu kerana dipandang dari sudut kandungan makna Al-Quran. Oleh kerana isi Al-Quran itu adalah hukum, berita dan tauhid, dan surah al-Ikhlas membentangkan penceritaan tauhid, berdasarkan tinjaun ini, ia bernilai sepertiga Al-Quran.” – (Fathul Bari)
2. Sebagai perlindungan sebelum tidur
Surah al-Ikhlas yang dibaca bersama-sama dengan surah al-Fatihah sebelum tidur boleh melindungi kita dari segala bahaya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Jika kamu membaca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas ketika berbaring di tempat tidurmu, kamu akan dilindungi dan menjadi tidak takut akan segala sesuatu kecuali kematian.” – (Tafsir Mazhari)
3. Beriman kepada Allah SWT Yang Maha Esa
Dalam Al-Quran, Allah SWT ada berfirman:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) : “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya.” – (Surah al-Ikhlas, ayat 1 – 4)
Beriman kepada Allah adalah kewajipan yang mesti diakui, dilakukan, dan dijalankan perintah Nya. Tanpa keimanan kepada Allah SWT, nescaya seseorang itu mungkin sudah terkeluar dari Islam.
4. Penyebab masuk syurga
Pernah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW berkata : “Aku sangat menyukai surah ini (al-Ikhlas).”
Nabi SAW menjawab : “Dan cintamu terhadapnya akan membuatkan kamu memasuki syurga.” – (Hadis Riwayat Tirmizi)
Ikhlaskan diri membaca Al-Quran, tidak kiralah ia surah Al-Ikhlas atau bukan. Sesungguhnya dengan keikhlasan itu Allah SWT akan melimpahkan lagi rezeki kepada kita di dunia, dan akhirat.
Kesimpulan
Beriman kepada Allah SWT adalah wajib bagi setiap orang Islam. Dan salah satunya juga meyakini sifat-sifatnya seperti Yang Maha Esa. Semoga dengan ilmu yang bermanfaaat kita peroleh dari surah al-Ikhlas ini, dapat menambah lagi keimanan kita kepada Nya.
Rujukan
- 9 Kelebihan Surah Al-Ikhlas Yang Perlu Anda Tahu. Aku Muslim Asia, https://akumuslim.asia/kelebihan-surah-al-ikhlas-yang-perlu-anda-tahu/
- AL-Kafi #1061: Rahsia Penamaan Surah Al-Ikhlas. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3043-al-kafi-1061-rahsia-penamaan-surah-al-ikhlas
- AL-Kafi #346 : Surah Al-Ikhlas Dan Peristiwa Matahri Redup Kerana Muawiyah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1338-al-kafi-346-surah-al-ikhlas-dan-peristiwa-matahari-redup-kerana-muawiyah