Tahi Telinga Keras? Jangan Korek, Ini Cara Selamat Buang Tahi Telinga!

Setiap apa yang diciptakan mempunyai fungsi-fungsinya yang tersendiri. Begitu juga dengan tahi telinga. Ia mempunyai fungsi tersendiri walaupun akhirnya akan dibuang. 

Antara fungsi utama tahi telinga adalah mengekalkan tahap kesihatan telinga selain melindungi dinding lubang telinga anda.

Setiap individu mempunyai tahi telinga namun sudah pasti berbeza-beza warnanya, kuantitinya termasuklah jenis keadaannya iaitu sama ada basah atau kering dan keras. 

Tahukah anda, tahi telinga keras boleh menimbulkan masalah kepada telinga anda seperti menyebabkan telinga terasa gatal.

Selain itu, sekiranya anda tidak menggunakan cara selamat untuk mengeluarkannya, ia juga boleh menyebabkan telinga anda sakit, mendapat jangkitan bahkan sehingga mengalami kehilangan pendengaran.

Kalau dibiarkan pula, ia boleh membuatkan telinga anda berdesing sekiranya tahi telinga kering berkumpul dan menyumbat lubang telinga anda. 

Punca Tahi Telinga Keras 

Antara punca tahi telinga menjadi keras adalah apabila tahi telinga berkumpul terlalu lama dalam saluran telinga. 

Selain itu, penggunaan putik kapas secara kerap, mengorek telinga menggunakan benda tajam serta saluran telinga yang kecil serta berbulu juga boleh menjadi antara puncanya. 

Cara Selamat Membuang Tahi Telinga

Jangan korek!

Itu pantang larang utamanya. Hal ini kerana, ia akan membuat telinga anda berpotensi untuk luka seterusnya mendapat jangkitan. 

Ada dua kaedah yang disarankan untuk dilakukan, iaitu menggunakan ubat tahi telinga yang spesifik dan juga menggunakan minyak.

  • Ubat tahi telinga

Ubat tahi telinga yang mengandungi hidrogen atau mana-mana jenis peroksida (peroxide) boleh membantu melembutkan tahi telinga yang keras. Sila dapatkan di mana-mana farmasi yang diiktiraf. Jangan beli ubat di tempat yang meragukan ya. 

Cara Penggunaannya:-

  1. Baring mengiring dengan telinga yang ingin dibersihkan berada di bahagian atas.
  2. Titiskan ubat tahi telinga ke dalam lubang telinga anda.
  3. Biarkan ubat tersebut berada dalam telinga anda sekitar lima minit. Ini bertujuan agar ubat tersebut meresap dan melembutkan tahi telinga kering.
  4. Sediakan tisu dan letakkan pada lubang telinga anda.
  5. Lap cecair dan tahi telinga yang keluar daripada telinga anda.
  • Minyak

Anda juga boleh gunakan minyak untuk melembutkan tahi telinga. Antara jenis minyak yang boleh digunakan adalah seperti minyak mineral, minyak zaitun dan minyak kelapa. 

Selain minyak, anda juga boleh menggunakan beberapa jenis cecair lain seperti gliserin dan saline solution.

Caranya mudah sahaja, gunakan penitis untuk mengoles beberapa titis minyak ke dalam saluran telinga.

Selepas satu atau dua hari, ia akan menjadi lembut, gunakan picagari getah untuk memancutkan air suam ke dalam telinga anda.

Setelah selesai, condongkan kepala ke tepi untuk membiarkan air dan tahi telinga keluar.

Elakkan Guna Cara Ini!

  • Putik Kapas/Alat 
Tahi Telinga Keras

Sekiranya anda menggunakan putik kapas atau apa-apa alat untuk mengorek tahi telinga anda, ia sebenarnya tidak membersihkan telinga anda, malah menolak tahi telinga anda lebih jauh ke dalam lubang telinga.

Maka, ini menyebabkan semakin banyak tahi telinga yang terkumpul di dalam lubang telinga.

Bukan itu sahaja, ia juga berisiko untuk mencederakan gegendang telinga anda, menyebabkan luka serta jangkitan. 

  • Lilin pembuang tahi telinga

Lilin pembuang tahi telinga atau waxing juga sangat berbahaya untuk telinga. Ia berpotensi menyebabkan saluran telinga menjadi melecur, tersumbat dengan lilin serta kerosakan pada saluran telinga.

Kesimpulan

Lakukan pemeriksaan di hospital atau klinik sekiranya telinga anda bermasalah. Jangan biarkan lama-lama kerana ia mungkin boleh menjejaskan pendengaran anda dengan lebih teruk. 

Sumber: hellodoktor.com 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161