Proses tanam rambut merupakan satu prosedur yang dilakukan untuk mengatasi masalah rambut gugur. Untuk kebanyakan orang, prosedur ini dapat mengembalikan keremajaan yang hilang dan membuatkan mereka lebih yakin dalam kehidupan seharian.

Sewaktu prosedur ini dijalankan, doktor akan memindahkan rambut kepada bahagian kepala yang terkesan. Selalunya, rambut pada bahagian sisi atau belakang kepala akan dipindahkan ke hadapan atau atas kepala.

Prosedur ini selalunya dilakukan di hospital atau klinik di bawah anestesia (ubat bius).

Jika masalah rambut gugur mengganggu anda, prosedur tanam rambut mungkin dapat menjadi solusi. Walau bagaimanapun, dapatkan konsultasi daripada doktor sebelum melakukan apa-apa prosedur kesihatan.

Masalah rambut gugur merupakan punca kebanyakan orang menjadi botak. Punca utama masalah ini adalah faktor genetik.

Menurut WebMD, ada banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi pertumbuhan rambut. Antaranya:

  1. Diet
  2. Stres
  3. Penyakit tertentu
  4. Ketidakseimbangan hormon
  5. Pengambilan ubat-ubatan tertentu

Kini, tidak mustahil untuk anda mempunyai rambut yang nampak semula jadi disebabkan kemajuan teknologi dalam bidang perubatan.

Malah, jika dibandingkan dengan zaman 70 dan 80 an, prosedur penanaman rambut kini nampak seakan-akan rambut sebenar.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai prosedur tanam rambut, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

Bagaimanakan proses tanam rambut dilakukan?

Doktor akan mengambil graf kulit, atau sampel kulit yang kecil dari bahagian kepala yang mempunyai pertumbuhan rambut yang sihat. Doktor menggelar kawasan ini sebagai ‘donor site’.

Selalunya, kawasan ini terletak di belakang kepala. Doktor akan memindahkan graf kulit tersebut di kawasan kepala yang mempunyai masalah rambut gugur. Apabila kawasan tersebut mula sembuh, ia akan perlahan-lahan tumbuh rambut seperti biasa.

Perkara yang perlu difikirkan sebelum melakukan prosedur ini

Sebelum melakukan prosedur tanam rambut, ada beberapa perkara yang perlu anda fikirkan:

  1. Letakkan jangkaan yang realistik. Jika masalah rambut anda serius, prosedur penanaman rambut mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk menunjukkan hasil.
  2. Selalunya, rambut tebal yang berwarna cerah mempunyai kebarangkalian untuk tumbuh dengan lebih cepat.
  3. Selepas melakukan prosedur ini, ia mungkin memakan masa selama 9 bulan sebelum rambut mulai tumbuh memenuhi kepala.
  4. Jangan lupa berbincang mengenai kos prosedur ini terlebih dahulu.
  5. Orang yang merokok mempunyai risiko komplikasi yang paling tinggi. Jika anda ingin melakukan prosedur ini, anda perlulah berhenti merokok.
  6. Anda mungkin perlu terus mengambil ubat selepas prosedur tanam rambut.

Kondisi yang boleh dipulihkan melalui prosedur penanaman rambut

Ada banyak sebab yang menjadi punca anda kehilangan rambut. Kadangkala, ia merupakan masalah yang sementara. Namun, ada juga orang yang mengalami masalah rambut gugur yang kekal.

Prosedur tanam rambut mungkin dapat membantu mereka yang kehilangan rambut secara kekal, terutamanya yang disebabkan oleh:

  1. Alopecia. Sejenis penyakit autoimun yang menyerang folikel rambut.
  2. Alopecia androgenik.
  3. Penyakit tiroid atau ketidakseimbangan hormon.
  4. Pernah mengalami kecederaan traumatik seperti luka terbakar.

Siapa yang boleh melakukan prosedur ini?

Anda merupakan calon yang terbaik untuk prosedur ini jika:

  1. Anda mempunyai kesihatan yang baik.
  2. Mempunyai jangkaan yang realistik mengenai keputusan prosedur penanaman rambut.
  3. Masih lagi mempunyai kawasan rambut yang lebat.

Ada beberapa ujian yang bakal dijalankan untuk menentukan sama ada anda sesuai atau tidak untuk menjalani prosedur ini. Bukan itu sahaja, ada juga beberapa individu yang perlu melakukan biopsi kulit kepala sebagai pemeriksaan awal.

Untuk mengetahui mengapa anda mengalami masalah rambut gugur, doktor juga akan menjalankan beberapa siri pemeriksaan.

Jika ujian menunjukkan keputusan yang positif, anda boleh meneruskan dengan prosedur tanam rambut. Mungkin anda tidak akan mempunyai rambut selebat dahulu, namun prosedur ini dapat memulihkan rambut dan mengembalikan keyakinan diri anda.

Proses pemulihan prosedur tanam rambut

Selepas pembedahan, anda boleh kembali bekerja dalam masa 2-3 hari. Namun, anda perlu mengambil ubat tahan sakit selama beberapa hari.

Kawasan kulit yang terlibat juga akan menjadi sangat lembut apabila disentuh. Anda juga mungkin perlu memakai pembalut selama beberapa hari untuk memastikan luka benar-benar sembuh dan untuk mengelakkan sebarang jangkitan.

Selain ubat tahan sakit, doktor juga mungkin akan membekalkan anda dengan ubat antibiotik atau ubat anti radang.

Leave a comment

Your email address will not be published.